AMANI – Sebuah Cerpen Terbaru Hasmini

Oleh: Hasmini Che Wil


Faruq meneliti kiriman whatsapp yang diterimanya melalui grup sekolahnya dulu. Dia mengeluh lama sebelum meletakkan telefonnya di atas meja. Matanya tertumpu ke luar tingkap bangunan tinggi itu.

“Bro, kau ni kenapa? Ada masalah ke?” soal Amar yang tiba-tiba muncul di bilik pejabatnya itu.

Faruq sedikit terperanjat sebelum menjeling geram.

“Dah tak pandai ketuk pintu ke?” sindir Faruq.

“Hello bro, berpuluh kali aku ketuk tapi kau tak jawab pun, jadi aku serbu masuklah,” jelas Amar mempertahankan diri. “Kau ni kenapa? Ada masalah ke?” soal Amar dengan mata menentang pandangan Faruq.

Sekali lagi Faruq mengeluh.

“Kau dah baca whatsapp dari grup sekolah?” soal Faruq.

“Dah. Oh kau fikir pasal reunion tu ke?” Akhirnya Amar mendapat jawapan punca rakan baiknya itu tidak mendengar ketukan pintunya tadi. Rupa-rupanya ada sesuatu yang mengganggu fikiran Faruq saat ini.

“Kau join tak nanti?” soal Faruq.

Amar tersengih. “Of course! Setiap kali buat reunion aku tak pernah pun tak pergi. Kau tu yang liat semacam nak pergi reunion. Orang lain sibuk tanya pasal kau. Nak jumpa kau. Dah lebih 10 tahun kan dia orang tak jumpa kau. Mestilah dia orang nak tengok keadaan kau sekarang ni. Berjaya ke? Ke dah jadi ketua gangster,” seloroh Amar di hujung ayat.

“Amboi, sedapnya mulut kau kata aku jadi ketua gangster,” hambur Faruq tidak berpuas hati.

“Aku gurau sajalah. Don’t take it seriously,” balas Amar.

“Tapi aku pun pelik juga dengan kau ni. Kenapa kau tak nak pergi reunion tu ya?” soal Amar berserta kerutan di dahi.

“Kau kan dah tahu sebabnya. Kenapa kau masih tanya lagi?”

“Oh pasal Amani ke?” Amar masih bersoal jawab lagi.
Faruq mengeluh lagi.

“Bro, aku rasa Amani dah lupalah peristiwa tu. Dah sepuluh tahun kejadian tu berlaku, aku tak rasa pun yang dia simpan dendam pada kau. Kau pun kenal kan Amani tu macam mana. Dia memang seorang yang tegas tapi hati dia baik,” ujar Amar.

“Tapi aku masih tak dapat maafkan diri aku ni, bro,”balas Faruq. “Kalau boleh aku nak minta maaf depan-depan dengan dia, tapi aku rasa malu sangat, Mar. Aku ni jahat sangat kan dulu?” soal Faruq penuh rasa kesal. Hatinya tidak tenang mengenangkan peristiwa sepuluh tahun yang lalu. Peristiwa yang hampir memusnahkan masa depan orang lain.

“Aku rasa hanya ada satu cara saja untuk kau tebus kesalahan kau pada dia,” usul Amar dengan riak tenang.

“Apa dia?” soal Faruq.

“Tahun ni, kau mesti pergi reunion tu. Kau mesti jumpa dia. Kau minta maaf dengan dia. Kau beritahu yang kau menyesal sebab buat dia macam tu dulu. Hanya dengan cara ini saja yang boleh tenangkan hati kau. Percayalah cakap aku ni,” cadang Amar pula.

Faruq merenung dalam ke arah Amar. Dia hanya membisu tanpa sebarang kata putus.

10 TAHUN LALU

Amani menjeling jam di tangannya. Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi pintu pagar sekolah akan ditutup. Setelah pintu pagar ditutup, pelajar yang lambat tidak akan dibenarkan masuk melainkan jika ada alasan yang munasabah. Tidak kurang juga ada segelintir pelajar yang lambat datang ke sekolah akan menjalani denda bergantung kepada arahan guru disiplin sekolah.

Jarum jam telah menunjukkan tepatnya pukul 7.30 pagi. Dengan rasminya pintu pagar utama sekolah ditutup. Baru sahaja Amani menapak untuk beredar dari situ, namanya dipanggil. Dan panggilan itu adalah panggilan biadab. Tiada secebis rasa hormat.

“Woi, Amani!” panggil satu suara.
Amani menoleh. Dia melemparkan jelingan maut ke arah lelaki itu.

“Apa alasan awak kali ni?” soal Amani kepada Faruq. Dia memeluk tubuh, menantikan alasan yang bakal terbit dari mulut pelajar lelaki itu.

“Bukalah pintu pagar ni. Aku nak masuk ni,” marah Faruq. Dia mengoncang jeriji pagar agar Amani segera membukanya.

“Siapa suruh kau datang lambat? Inilah balasannya. Awak hadaplah guru disiplin nanti,” balas Amani dengan geram. Pintu pagar dibiarkan tertutup. Berkali-kali Faruq merayu, dia tidak mungkin lupa akan tugasnya sebagai pengawas. Dia perlu mengikuti peraturan sekolah, bukan melangarinya.

“Dahlah Amani, aku tiada masa nak bergaduh dengan kau. Aku nak kau buka pintu pagar ni sekarang juga! Kalau tak, tahulah nasib kau nanti,” jawab Faruq dengan lantang. Keadaan kawasan sekolah agak sunyi memandangkan sesi pembelajaran akan bermula sebentar lagi.

“Sikit-sikit nak ugut, itu saja yang awak tahu. Nak tunjuk samsenglah sangat. Ini sekolahlah, Faruq. Awak ni bila nak berubah? Hari-hari awak lambat datang ke sekolah. Alasannya sama saja, terlambat bangun. Sampai bila awak nak macam ni Faruq? SPM dah nak dekat tahu?” nasihat Amani dengan nada yang tegas namun masih lagi dalam nada terkawal.

“Aku tak nak dengar kau membebel macam mak nenek. Kau bukan mak ayah aku pun nak nasihatkan aku. Buka pintu pagar ni sekarang!” arah Faruq dengan mata terjegil.

Amani memandang wajah Faruq yang agak bengis dengan rambut serabai dan pakaian sekolahnya yang berkedut itu. Mungkin kerana ingin mengejar masa, Faruq tidak sempat menggosok pakaiannya. Tetapi itu salah sendirilah. Siapa yang terlambat bangun? Kalau mana-mana cikgu nampak, sudah pasti dia akan dihadiahi bebelan panjang kerana tidak berpakaian dengan kemas di sekolah.

Tanpa menunggu lama, Amani terus membuka pintu pagar itu. Dia malas bertekak lama-lama dengan lelaki itu kerana sesi pembelajaran sudah bermula. Dia tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana seorang pelajar tidak berbudi bahasa seperti Faruq.

Faruq terus meredah masuk ke dalam kawasan sekolah apabila pintu pagar dibuka. Dia sempat menarik tudung Amani ke hadapan, namun sempat Amani menahan tudungnya dari tertanggal. Faruq terus berlari laju menuju ke kelasnya sambil menjeling tajam kepada Amani. Amani merengus geram sebelum membetulkan tudungnya. Hatinya cukup geram dengan sikap Faruq yang berlagak samseng itu.

 

“AMANI, saya ada sesuatu nak tanya awak ni,” ujar Laila sambil mencuit bahu Amani yang leka membaca buku subjek Sejarah. Amani menoleh ke sisinya. Laila tersengih kepadanya. Suasana di dalam kelas itu agak hingar bingar memandangkan sesi pembelajaran hari ini tergendala disebabkan ada mesyuarat guru yang dijalankan pada waktu itu.

Kebanyakan pelajar mengambil peluang ini untuk melepak ke kelas kawan masing-masing.

“Awak nak tanya apa, Laila?” soal Amani tersenyum.
“Hmm… Pasal Faruq.”
“Kenapa dengan dia?” soal Amani sambil mengerutkan dahinya.
“Kenapa awak tak lapor saja pada guru disiplin pasal Faruq? Dia dah banyak aniaya awak. Pancitkan tayar basikal awaklah, curi buku teks awaklah, koyakkan buku latihan awaklah. Pendek kata, macam-macam benda buruk kat awak. Kenapa awak baik sangat Amani? Kalau saya jadi awak, memang nahaslah si Faruq tu saya kerjakan,” ujar Laila dengan geram.

Amani hanya tersenyum nipis.

“Setiap orang berhak diberi peluang kedua, Laila. Saya percaya suatu hari nanti dia akan berubah hanya masa yang akan menentukannya. Lagipun Laila, kalau saya buat laporan pada guru disiplin pun, saya tak akan menang juga sebab ayah dia kan orang kuat PIBG di sekolah ini. Sedangkan saya hanya orang biasa. Tak ada untungnya kalau kita nak besarkan hal ini sebab saya tahu saya akan kalah. Biarkanlah dia tu. Lama-lama nanti dia bosan dia berhentilah tu. Lagipun satu sekolah dah kenal dengan sikap samsengnya tu,” jawab Amani panjang lebar.

“Tapi Amani, saya rasa dia lebih banyak buli awak daripada pelajar lain. Ini mesti ada sesuatu yang dia tak puas hati dengan awak kan?” serkap Laila lagi.
Amani agak rimas bila disoal bertalu-talu oleh rakannya itu. Fokusnya untuk membaca sedikit terbantut apabila nama Faruq menjadi topik perbualan mereka pada hari ini. Jujur hatinya langsung tidak ada perasaan berdendam pada Faruq cuma dia ada sedikit perasaan geram pada lelaki itu kerana selalu membulinya tidak kira di sekolah mahupun diluar sekolah.
“Takkan awak tak tahu lagi kenapa dia marah sangat dengan saya?” sela Amani malas bercerita dengan lanjut lagi.

“Yang saya tahu sebab awak selalu tangkap dia masa merokok, selalu datang lambat ke sekolah, pancitkan tayar guru. Rasanya banyak lagilah. Saya pun dah tak ingat,” jawab Laila.

“Kan, awak sendiri pun dah boleh agak. Biarkanlah dia tu. Lagi beberapa bulan saja lagi kita jumpa dia. Lepas SPM dah habis kita bebas. Tak payah jumpa dia lagi.”
“Betul juga kata awak tu,” sahut Laila kemudiannya sambil tersengih. Amani kembali kepada pembacaannya.

 

“HOI, Amani!” sergah Faruq dari belakang. Amani yang sedang mengayuh basikalnya sedikit terperanjat sebelum dia menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Faruq sedang berlari anak ke arahnya. Amani segera memberhentikan basikalnya.

“Awak nak apa ni, Faruq? Saya nak balik cepat ni, sekejap lagi ada latihan rumah sukana. Saya tak nak lambat nanti,” ujar Amani dengan geram. Pelajar sekolah yang berjalan kaki sempat menoleh kepada Faruq dan Amani sambil berbisik-bisik sesama mereka. Amani hanya mendengus geram kerana dia tahu pasti akan ada gosip liar yang akan menular ke sekolah esok.
“Aku nak bagi amaran pada kau ni!” amuk Faruq.
“Amaran apa pula?” soal Amani.
“Kau jangan nak sibuk dalam hal aku, boleh tak? Kau jangan nak busybody sangat sampai semua aktiviti aku kau nak laporkan pada guru disiplin. Kau kisahkan diri kau cukuplah. Jangan sibuk nak ambil tahu hal orang lain. Aku geram betul dengan kau ni!” marah Faruq sambil merenung tajam kepada Amani.

“Apa masalah awak ni, Faruq? Saya seorang pengawas. Saya hanya menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah. Sebarang kesalahan disiplin perlu saya laporkan pada guru disiplin. Saya tidak boleh berdiam diri saja. Itu dikira amanah. Saya tak nak bersuhabat dengan awak. Berdosa tahu tak?” balas Amani.

Faruq menolak bahu Amani dengan kasar. Hampir saja Amani terjatuh dari basikalnya namun nasib baik dia sempat mengawal imbangan.

“Apa ni, Faruq?” marah Amani. Dia mengetap bibir. Perlakuan Faruq itu semakin teruk.
“Aku bagi kau amaran terakhir! Jangan masuk campur urusan aku. Kalau tak, kau tahulah apa nasib kau nanti. Masa tu baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah,” amaran Faruq lalu beredar pergi bersama jelingan mautnya.
Amani meneguk air liur. Dia mulai cuak. Risau jika dirinya diapa-apakan oleh lelaki yang tidak ubah seperti orang mabuk itu. Amani hanya mampu berdoa agar dia dilindungi oleh Allah s.w.t.

SEMINGGU KEMUDIAN

“Faruq, kau ada dengar berita pasal Amani tak? Dia kena langgar lari,” ujar Amar sewaktu mereka sedang menikmati makanan di kantin. Faruq sedikit terkejut dengan soalan kawannya itu. Hatinya berdebar-debar.
“Faruq, kau okey ke tak ni?” soal Amar apabila melihat Faruq diam tidak berkutik. Amar mengamati lama wajah temannya itu. “Ada kena mengena dengan kau ke?” soal Amar menginginkan kepastian.

Faruq hanya menundukkan wajahnya. Tidak sanggup untuk menatap wajah Amar. Penyesalan mula menyelubungi dirinya kerana sikap dendam terhadap Amani menyebabkan dia bersikap agresif sehingga hampir meragut nyawa gadis itu.

“Maknanya itu memang kerja kau ke? Astaghfirullah, Faruq! Apa yang kau dah buat ni? Kau boleh didakwa atau dipenjarakan atas tuduhan cubaan membunuh. Kau tak takut ke? Sampai hati kau buat Amani sampai macam tu. Mana sifat perikemanusiaan kau?” Amar melepaskan geramnya terhadap Faruq. Tidak sangka kawannya boleh bertindak sekejam itu hanya kerana dendam.

“Aku.mengaku, aku yang langgar dia, Mar… Aku menyesal sekarang ni..,” ujar Faruq dengan tergagap-gagap. Wajahnya jelas cuak dengan hukuman yang bakal diterimanya nanti.

“Sanggupnya kau buat Amani macam tu. Dahlah kita nak dekat SPM. Ini bulan Oktober, bulan depan kita dah nak exam. Apalah nasib Amani nanti ya? Kau langsung tak fikir ke?” ujar Amar dengan nada sedih mengenangkan nasib Amani.

“Aku takut, Mar,” ujar Faruq tiba-tiba.
“Tahu pun takut, masa kau buat tu, kau tak takut? Sekarang ni kau kena berdepan dengan Amani. Hanya Amani yang akan menentukan nasib kau nanti, sama ada kau bebas atau sebaliknya,” ujar Amar dengan lemah. Sungguh dia berang dengan Faruq namun apalah dayanya nasi sudah menjadi bubur.

“Kau kena tolong aku, Mar,” rayu Faruq bersungguh-sungguh bersama linangan air mata yang mula membasahi pipinya. Amar mengeluh berat. Dia juga tidak tahu hendak kata apa. Itu kesilapan Faruq sendiri.

“Aku malu nak jumpa dia. Aku malu nak hadap muka keluarga dia…”
“Masa kau buat semua tu kau tak pula fikir pasal tu?” sindir Amar menyebabkan Faruq terdiam.

 

TAHUN 2017

Faruq merenung ke arah Amar yang termenung jauh seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu fikiran temannya itu.

“Kau ada masalah ke, Mar,” soal Faruq menepuk bahu temannya itu. Amar menoleh ke arah Faruq. Wajahnya sugul.
“Amani…” jawab Amar ringkas.
Faruq kecut perut. “Kenapa dengan Amani?” Dia mula tertanya-tanya.
“Dia dah meninggal!”
“Innalillah..,”
Bagai halilintar menyambar bumi saat Faruq mendengar berita itu. Belum sempat dia memohon maaf daripada gadis itu. Rancangannya adalah dia akan pergi majlis reunion akan datang untuk memohon maaf atas kesalahannya dulu namun apakan daya Allah s.w.t lebih menyayanginya.
“Dia meninggal sebab apa?” Faruq tertanya-tanya. Mungkinkah kesan daripada kemalangan yang lalu?
“Dia ada kanser,” sela Amar kemudiannya. “Aku sempat jumpa dia sebelum meninggal. Dia suruh aku beri kau surat ni,” ujar Amar selanjutnya seraya menghulurkan sepucuk surat kepada Faruq.

Faruq menyambutnya bersama linangan air mata. Menyesali kekejaman yang pernah dilakukan terhadap Amani.

Assalamualaikum faruq,

Faruq apa khabar? Sudah lama saya tak jumpa awak sejak peristiwa saya kena langgar lari dulu kan sebab lepas kejadian tu awak dah tak ganggu saya lagi dan awak tak pernah nak jumpa dengan saya untuk ceritakan semua yang berlaku. Tapi awak bertuah sebab awak ada kawan sebaik Amar. Amar sudah menceritakan segala-galanya tentang awak dari mula sampai habis. Jujur saya cakap, saya langsung tidak berdendam dengan awak dan seikhlas hati saya, saya maafkan awak. Saya gembira akhirnya awak menjadi seorang yang berguna dan bukan seorang gangster. Semua kisah hidup awak ada dalam tangan saya kerana Amar menjadi orang tengah yang menyampaikan semua berita tentang awak.

Akhir kata dari saya, saya tumpang gembira untuk kejayaan awak. Semoga awak berbahagia dan terus maju jaya.

Salam,
Amani

 

Faruq menitiskan air mata dengan semahunya. Amar yang melihat Faruq seoalah-olah berada diluar kawalan itu terus merangkul Faruq ke dalam pelukannya. Faruq membalas pelukan kawannya itu bersama tangisan yang makin kuat.

‘Terima kasih Amani. Maafkan saya kerana telah banyak menganiayai awak. Semoga Allah s.w.t tempatkan awak dalam kalangan orang yang beriman,’ ucap Faruq di dalam hati.

 

TAMAT

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.