Malaysia, Indonesia Setuju Bebas Nelayan Yang Ditangkap Ceroboh Perairan

KUCHING: Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk membebaskan dengan segera semua nelayan yang ditahan oleh mana-mana satu negara kerana menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Kata sepakat itu dicapai di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia -Indonesia di sini hari ini.

“Kami prihatin bahawa mereka ini (nelayan) adalah orang miskin dan adalah tidak adil kita tutup mata pencarian mereka,? kata Perdana Menteri pada sidang media bersama Joko selepas rundingan itu.

Najib berkata, kedua-dua pihak bersetuju supaya nelayan-nelayan terbabit dibebaskan segera agar mereka dapat meneruskan penghidupan di tanah air masing-masing.

Beliau juga berkata rundingan pada kali ini mencapai kejayaan kerana banyak isu bersama yang dibincangkan dan mendapat kata sepakat, yang sekali gus memperlihatkan hubungan bilateral yang berada dalam keadaan sangat baik.

“Kita bersepakat dalam banyak isu termasuk isu politik, ekonomi, sosial dan kerjasama perbatasan dan kesediaan kedua-dua pemerintah negara menyelesaikan isu-isu terbabit akan membuka banyak peluang bagi rakyat kedua-dua negara,” kata Najib.

Menurut beliau, tumpuan pada rundingan kali ini adalah mengenai isu penyekatan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia oleh Kesatuan Eropah.

Katanya, Malaysia dan Indonesia bersependapat tindakan tersebut tidak adil dan tidak patut diteruskan kerana ia akan menyebabkan kira-kira 600,000 rakyat Malaysia dan 13.5 juta rakyat Indonesia terjejas punca rezeki.

Sebelum ini, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Papua New Guinea selaku negara pengeluar sawit dilaporkan akan bekerjasama untuk menentang diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara Kesatuan Eropah (EU).

Perdana Menteri berkata semua negara pengeluar kelapa sawit perlu mempunyai pendirian sama bagi mengatasi masalah itu, terutama menolak persepsi negatif bahawa penanaman kelapa sawit memusnahkan hutan, yang dilemparkan Ahli Parlimen Eropah (MEP).

Perdana Menteri berkata satu perjumpaan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah diadakan bersama kepimpinan Parlimen Eropah, Pesuruhjaya EU dan Ahli Parlimen EU (MEP) bagi membincangkan isu berkenaan.

Najib berkata, kerajaan kedua-dua negara akan menghantar wakil ke Kesatuan Eropah untuk membantah tindakan tersebut.

Mengenai isu pelarian Rohingya, Perdana Menteri berkata kerajaan Indonesia berpendapat bahawa isu berkenaan patut diselesaikan seberapa segera.

Katanya, bukan sahaja Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa yang mahu supaya isu berkenaan diselesaikan bagi memelihara nilai-nilai kesejagatan.

“Kami juga membincangkan isu persempadanan Malaysia-Indonesia, khususnya persempadanan Sarawak, Sabah dan Kalimantan dan kita telah bersetuju untuk membuka semula perdagangan di sempadan Entikong-Tebedu di Sarawak dan juga dua tempat di negeri Sabah.

“Perjanjian untuk membuka semula perdagangan di sempadan berkenaan secepat mungkin perlu kerana ia akan memanfaatkan penduduk kedua-dua negara, di samping membangunkan kawasan berkenaan secara bersepadu bagi pembangunan produk pertanian bernilai tinggi atau bidang lain termasuk pengwujudan zon perdagangan bebas dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga sedang mempertimbangkan permintaan daripada kerajaan Indonesia untuk membeli beras dari negara jiran itu.

Mengenai perjanjian tenaga pekerja, Perdana Menteri berkata perkara ini akan dirundingkan kerana Malaysia mahu ia diurus mengikut kaedah yang betul dalam perjanjian yang akan diputuskan tidak lama lagi.

Menyentuh keselamatan di perbatasan, Najib berkata kerajaan kedua-dua negara bersetuju untuk menambah pos sempadan bersama dan perkara itu akan dibincang lanjut oleh pihak kementerian pertahanan kedua-dua negara.

Perdana Menteri juga berkata bahawa isu persijilan halal yang tertangguh sekian lama akan diselesaikan bagi membolehkan barangan Malaysia dan Indonesia dapat dieksport tanpa banyak halangan.

Perdana Menteri berkata kedua?dua negara juga bersepakat memperluaskan kerjasama maritim sambil menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Indonesia kerana berjaya mengurangkan masalah jerebu lintas sempadan .

Sementara itu, Joko berkata perdagangan antara Indonesia dan Malaysia naik 21 peratus tahun ini, dan menganggapkannya sebagai peningkatan yang cukup besar.

Sehubungan itu, beliau berharap perjanjian perdagangan lintas sempadan dapat dimeteraikan secepat mungkin bagi meningkatkan lagi transaksi perdagangan kedua-dua negara.

Katanya, pos-pos sempadan kedua negara perlu dimantapkan bagi mengelak kegiatan terrorisme.

Mengenai isu kelapa sawit, beliau berkata kerjasama kedua-dua negara dalam isu ini penting kerana ia membabitkan masa depan petani kecil.

Beliau juga meminta supaya kerajaan Malaysia meluluskan penubuhan lebih banyak pusat pelajaran untuk anak-anak pekerja Indonesia di Malaysia bagi mendapatkan pendidikan. – Bernama, 23 November 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.