DENDAM – Cerpen Karya Hasmini (Bahagian 3)

DENDAM

Bahagian III

 

Setelah lelaki yang disyaki terlibat dengan pembunuhan seorang guru muda dilepaskan, siasatan diteruskan untuk mencari sesiapa sahaja yang mempunyai talian yang rapat dengan mangsa. Maklumat penting yang diperlukan untuk membantu siasatan daripada jiran-jiran dan sahabat handai berjaya diperoleh. Menurut salah seorang rakan mangsa yang juga merupakan seorang guru, mangsa dikatakan sering termenung dua tiga hari sebelum kematiannya. Apabila ditanya, mangsa hanya menggelengkan kepala dan mengatakan dia baik-baik sahaja.

“Kalau dia ada masalah, dia akan bagitahu saya. Tapi beberapa hari sebelum kematian dia, dia langsung tak buka mulut untuk ceritakan masalah dia. Saya percaya dia ada masalah sebab saya tengok dia selalu termenung. Kadang-kadang dia naik radang dengan tiba-tiba.” Guru bernama Juriah yang mengajar subjek Sejarah menjelaskan keadaaan arwah Intan Hanis sebelum kematiannya.

“Saya pernah dengar dia sebut nama Azran. Saya tak tahu siapa lelaki tu tapi pernah sekali saya terdengar perbualan dia dengan seseorang kat telefon. Dia marah-marah dan sebut nama Azran berkali-kali.” Ustaz Hanafi menyampuk sewaktu menghampiri Cikgu Juriah.

“Teman lelaki dia?”

“Saya tak tahulah, tuan. Tapi setahu saya dia pernah berkawan dengan seorang lelaki kat FB. Dia cakap lelaki tu CEO syarikat. Tapi saya tak pasti betul ke tak.”

‘Berkawan dengan seorang lelaki kat FB? Lelaki yang dihubungi bernama Azran? Encik Rafi yang menganggur di rumah dan pernah melamar mangsa melalui persahabatan di FB?’ Hati Raimi terdetik. Setakat ini Encik Rafi telah diputuskan bahawa dia bukan suspek. Bagaimana pula dengan dua lelaki yang masih tidak pasti identitinya? Mungkinkah salah seorang daripada mereka adalah suspek atau kedua-duanya mungkin tidak? Atau mungkinkah ada seseorang yang mana hanya mangsa sahaja yang tahu? Berkawan dengan seorang lelaki di FB bukankah bermaksud lelaki itu Encik Rafi? Tetapi Encik Rafi bukanlah CEO sebuah syarikat. Malah keadaan rumahnya juga sudah mencerminkan taraf kehidupannya yang serba kekurangan.

Tidak mungkin mangsa hanya berkawan dengan seorang lelaki sahaja di FB memandangkan FB adalah laman sosial untuk mencari kawan tidak mengira kaum atau jantina. Berapa ramai kawan lelaki yang dekat dengan mangsa? Atau mungkin sahaja Azran yang dihubungi mangsa di telefon dan lelaki yang berkawan dengan mangsa di FB adalah orang yang sama?

“Terima kasih atas kerjasama Cikgu Juriah dan Ustaz Hanafi. Maklumat yang cikgu berdua bagi dah cukup untuk saya buat siasatan lanjut,” ucap Raimi lantas menghulurkan tangan ke arah Ustaz Hanafi untuk berjabat tangan. Ustaz Hanafi yang berjanggut sejemput itu menyambut huluran tangan itu dengan senyuman tercalit di bibir.

“Mudah-mudahan orang yang buat arwah Cikgu Intan macam tu segera tertangkap. Saya harap sangat pada tuan inspektor.” Cikgu Juriah berkata dalam nada suara yang serak menahan sebab. Pemergian guru muda bernama Intan Hanis sungguh tidak terjangka. Yang lebih sadis, mayatnya dijumpai tergantung pada dahan pokok.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan dan kami akan segera menangkap suspek sebaik kami dapat maklumat mengenai identiti dan lokasi suspek,” balas Raimi.

“Saya berharap kematian arwah terbela dan orang yang melakukan kekejaman tu akan dihukum dengan hukuman yang leih berat.” Ustaz Hanafi mencelah. Wajahnya mempamerkan wajah yang kesal.

“In shaa Allah. Semoga Allah mudahkan kerja kita,” sahut Raimi kemudiannya.

***

Raimi sudah menyiapkan tugasan yang bakal diagihkan kepada pasukan penyiasatan di unit jenayah itu. Dengan maklumat yang diperoleh daripada dua orang guru di sekolah yang mengajar di sekolah yang sama dengan mangsa, dia akan menjejaki kedua-dua gerangan yang dimaksudkan oleh Cikgu Juriah dan Ustaz Hanafi.

“Koperal Lisa, saya nak awak kesan identiti Azran. Saya nak awak kesan sama ada Azran adalah kawan mangsa di FB atau tak. Saya dah minta password akaun FB mangsa daripada mak dia. Awak perlu kesan kat mana keberadaan dia. Profil diri dia. Dan paling penting saya nak tahu apa pekerjaan dia,” arah Raimi kemudiannya menyerahkan kertas kerja kepada Koperal Lisa. Koperal Lisa mengangguk, menerima arahan.

“Zain dan Khalid, kau berdua ikut aku sekarang. Kita akan tinjau villa tu sekali lagi.” Raimi memberi arahan kepada Zain dan Koperal Khalid. Kedua-duanya mengangguk serentak.

“L. Koperal Halil, aku nak kau semak lokasi terakhir mangsa. Yang penting aku nak tahu sama ada dia ada jumpa seseorang atau tak sebelum bertolak untuk menghadiri kursus.”

  1. Koperal Halil menyahut dengan suara yang kuat. Dia bergegas mengambil tempat di meja kerjanya dan mula menghidupkan komputer.

“Tuan, kenapa kita nak tinjau kawasan tu sekali lagi?” Zain berbisik di telinga Raimi sebaik sahaja berjaya menyaingi langkah Raimi yang semakin laju.

“Bukan kawasan tu. Kita akan tinjau di dalam villa tu.” Raimi membetulkan ayat.

“Villa tu? Tak naklah, tuan. Orang kat kawasan tu cakap villa tu berhantu. Balik rumah nanti aku kena mandi bunga jawabnya. Nanti aku tinjau kat luar sajalah ya?” tolak Zain, mempamerkan wajah takut. Tidak kisahlah pergi berteman atau dalam kumpulan yang besar, dia memang tidak mahu menjejakkan kaki ke dalam villa lama itu. Tiba-tiba muncul lembaga putih atau hitam di depan mata, mana mahu menyorok? Apabila sudah menggeletar seluruh badan, kaki juga kaku. Lalu, bagaimana mahu melarikan diri? Dia tidak mahu terkucil di dalam seluar seperti kanak-kanak lelaki yang ternampak hantu.

Koperal Khalid yang mendengar celoteh anak muda itu segera mencuit bahu Zain dengan niat ingin mengusiknya. Zain hampir menyumpah kerana terkejut. Dia menolak bahu Koperal Khalid kerana geram.

“Orang yang cakap tu pernah nampak ke?” Inspektor Khalid bertanya. Dia juga mahu tahu sama ada khabar itu benar atau tidak. Sepanjang dia bertugas di daerah itu, tidak ada pula telinganya mendengar khabar bahawa penduduk pernah nampak lembaga di villa itu.

Zain mengangkat kedua-dua bahunya. “Tak ada pula orang tu cakap yang dia pernah nampak atau tak.”

“Dah tu yang kau percaya cakap dia orang tu kenapa? Selagi tak nampak depan mata, tak ada berhantunya villa tu. Itu kan villa lama. Kalau ada sesuatu pun, dia takkan makan kaulah. Paling teruk pun malam-malam kau akan mimpikan benda tu,” ujar Inspektor Khalid dalam masa yang sama mengenakan Zain. Dia ketawa terbahak-bahak setelah terpandangkan wajah Zain yang pucat.

“Dahlah kau orang berdua ni. Pasal ni pun nak ribut. Zain kau pun satu. Katanya polis tapi penakut. Macam manalah kau boleh jadi polis dengan sikap penakut kau tu?” Raimi terpaksa masuk campur percakapan dua anggota polis itu. Dia kemudiannya mengeluh mengenangkan sifat penakut Zain yang tidak pernah pudar walaupun sudah menginjak dewasa. Ingatkan apabila sudah tamat belajar dan masuk alam pekerjaan, sifat penakutnya itu hilang namun nampak gayanya anak muda itu memang tidak boleh ditinggalkan secara bersendirian di tempat yang gelap atau sunyi.

“Aku jadi polis nak tangkap orang jahat, bukan nak tangkap hantu. Aku bukan pawang, tuan!” Zain membela diri sendiri.

“Kalau orang jahat tu bela hantu, macam mana pula?” Koperal Khalid tidak habis-habis mengenakan Zain.

“Yalah. Aku mengaku kalah. Aku akan jadi berani. Untuk hari ni saja. Lepas ni jangan arahkan aku masuk ke villa tu lagi.” Zain beralah. “Jadi polis memang bukan kerja yang senang ya? Kita kena masuk longkanglah. Kena masuk hutanlah. Semuanya kerana nak tangkap orang jahat. Orang jahat pun satu. Dalam hutan pun nak menyorok ke? Tak takut dengan binatang buas ke? Ular ke? Kalau kena patuk kan baru tahu,” sambungnya dalam nada membebel. Dia sendiri tidak faham mengapa dia tertarik untuk memasuki akademi polis suatu ketika dahulu padahal dia sudah tahu tentang risiko kerjaya seorang anggota polis.

Gelagat Zain yang masih membebel itu hanya mengundang tawa Raimi dan Koperal Khalid. Mereka saling berpandangan seketika.

“Pergi dengan kereta tuan ke?” Koperal Khalid bertanya apabila Raimi tiba di tempat letak kereta. Mereka kini berdiri di sebelah sebuah kereta Honda Civic berwarna perak metalik kepunyaan Raimi.

Raimi mengangguk dan menunjukkan kunci kereta di tangannya menandakan dia sendiri yang akan memandu.

***

Villa lama itu masih kelihatan baru seolah-olah ada orang yang mendiaminya. Sebelum ini villa itu dihuni sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin namun pasangan itu nahas dalam satu kemalangan jalan raya menyebabkan villa itu kosong tanpa penghuni setelah kematian mereka berdua. Mereka mempunyai dua orang anak namun penduduk di kawasan itu tidak pernah melihat kemunculan mereka setelah itu. Ada yang mengatakan bahawa hubungan kekeluargaan telah berpecah belah yang menyebabkan dua anak kepada pasangan itu meninggalkan villa tersebut.

Raimi mengatur langkah ke arah sebuah bilik. Bilik yang berada di aras bawah dan terletak di hujung sekali. Dia menarik nafas perlahan sebelum tangannya mencapai tombol pintu kamar tersebut. Dia membuka pintu selepas kiraan tiga di dalam hatinya. Apa yang muncul di depan matanya bukanlah seperti apa yang digambarkan sebaliknya dia melongong dengan apa yang dilihatnya.

Raimi melambaikan tangan ke arah Zain dan Koperal Khalid supaya maju ke arahnya. Kedua-duanya mendekati Raimi tanpa banyak soal. Mereka tertanya-tanya apabila Raimi menyuruh mereka masuk ke dalam kamar itu.

Seperti Raimi, kedua-dua anggota polis itu turut terlongong. Mereka memandang antara satu sama lain sebelum mencari anak mata Raimi.

“Bilik ni macam ada orang guna. Tapi bukan ke villa ni dah terbiar?” Zain menggaru kepala yang tidak gatal. Keadaan bilik itu memang di luar jangkaan. Katil masih tersusun elok. Di meja katil terdapat lampu meja dan gambar. Malah dia turut mendapati sehelai tuala tergantung pada penyangkut dan juga beberapa kemeja berlengan panjang.

“Kau orang yakin villa ni tak ada orang?” Raimi memandang dua rakan setugasnya itu. Mereka mengangguk. Berdasarkan maklumat orang ramai, villa itu tidak berpenghuni sejak dua tahun yang lalu. Jika ada penghuni pun, orang ramai sudah pasti perasan kehadiran penghuni di situ namun bayang seseorang tidak pernah muncul di villa itu.

Raimi menapak ke arah tuala yang tergantung. Dia merasai permukaan tuala. Matanya membulat dengan tiba-tiba. Pantas dia menarik keluar sepucuk pistol dan mengarahkan Zain dan Koperal Khalid berjaga-jaga. Kedua-duanya tidak mengerti mengapa Raimi mengarahkan demikian namun tangan mereka tetap mengeluarkan pistol masing-masing.

“Tuan, kenapa?” Zain sempat bertanya dengan suara perlahan.

“Villa ni ada penghuni,” jawab Raimi dalam nada separa berbisik.

“Macam mana tuan tahu? Villa ni kan dah tak ada penghuni?” Koperal Khalid pula bertanya. Ekor matanya bergerak, mengawasi keadaan sekeliling.

“Tuala yang aku pegang tadi masih lembab. Maksudnya ada orang baru lepas guna tuala tu. Kalau bukan orang takkan hantu pula?””

“Huh?” Mata Koperal Khalid terbuntang. Dia menyiku Zain. “Kau rasa villa ni ada orang ke?”

“Aku tak tahu. Tapi tuala lembab tu siapa punya kalau bukan penghuni villa ni? Takkanlah hantu punya kut?”

Serentak, Raimi menoleh ke arah dua anggota polis itu dan meletakkan jari telunjuk di bibirnya, memberi arahan kepada mereka berdua supaya berhenti bercakap. Serta-merta Zain dan Koperal Khalis mengunci bibir mereka daripada mengeluarkan sebarang bunyi.

Bunyi derapan kasut kedengaran dan derapan itu menghala ke arah bilik itu. Raimi terpaksa bersembunyi dengan bersandar pada dinding di sebalik pintu yang telah ditutup manakala Zain dan Koperal Khalid masing-masing menyembunyikan diri mereka di bawah katil dan di dalam almari. Situasi Raimi agak terancam saat itu kerana tempat persembunyiannya agak tidak selamat. Kehadirannya akan dikesan dengan mudah. Mahu tidak mahu Raimi terpaksa menyerah. Sekiranya perlu, dia akan menggunakan kekerasan.

Derap kasut makin dekat. Jantung Raimi semakin berdegup dengan kencang. Dia berusaha merapatkan dirinya dengan dinding. Matanya terbuka luas, bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya dia terlebih dahulu dapat dikesan oleh gerangan yang mungkin pemilik bilik itu.

Pintu dikuak dari luar dengan perlahan. Degupan jantung Raimi seakan terhenti buat seketika apabila hujung matanya menangkap hujung kasut. Dia bersedia untuk mengetuk kepala gerangan itu dengan hujung pistol andainya dirinya tertangkap.

“Kau siapa?”

Raimi terpana. Nampaknya kehadirannya sudah diketahui. Dia mengetap gigi, sudah bersedia dengan pistol di tangannya.

“Apa yang kau buat dalam villa ni?”

Secara tiba-tiba, gerangan itu menapak masuk ke dalam bilik itu dan menutup pintu dengan kuat sebelum mengacukan kayu golf ke arah Raimi yang sudah mengacukan pistol ke arah gerangan itu. Seorang lelaki berdiri di hadapan Raimi dengan wajah kehairanan.

“Polis?” soalnya dengan kening yang terangkat.

“Kau siapa?” Raimi membuka mulut. Dia perasan Zain sudah keluar dari tempat persembunyian dan sudah bersedia dengan pistol namun Koperal Khalid masih terperangkap di dalam almari kerana jarak lelaki itu dengan almari itu agak dekat. Jika Koperal Khalid menolak daun pintu almari, pintu akan mengenai bahagian belakang tubuh lelaki itu. Hendak tidak hendak dia terpaksa menahan diri daripada menolak pintu almari itu.

Menyedari seseorang di belakangnya, lelaki itu mundur ke belakang sehingga terlanggar permukaan pintu. Sepantas kilat dia memulas tombol pintu seterusnya membuka daun pintu dan berlari keluar dari bilik itu. Raimi terkesima, tidak terjangka dengan tindakan mengejut lelaki tadi. Dia menjerit meminta Koperal Khalid untuk keluar dari almari dengan segera.

“Kejar dia!” Raimi mengeluarkan arahan dengan suara yang kuat. Zain pantas membuka larian, mengejar Raimi yang sudah berlari keluar dari bilik manakala Koperal Khalid terkial-kial menolak pintu almari sebelum berlari meninggalkan bilik itu dan menyertai aksi kejar-mengejar itu.

Lelaki yang melarikan diri itu tergesa-gesa mendapatkan kereta yang diparkir sebentar tadi. Dia sudah tahu villa itu dihuni oleh seseorang kerana kereta Honda Civic terparkir di hadapan villa. Dia menyangka kereta itu milik seseorang yang dikenalinya kerana jenama dan warna yang sama. Rupa-rupanya dia telah silap membuat jangkaan. Pemilik Honda Civic itu adalah polis!

“Jangan biarkan dia terlepas!” Zain menjerit dari jauh.

Raimi hampir sahaja menahan lelaki itu daripada melarikan diri dengan berpaut pada pemegang pintu kereta. Namun, lelaki itu telah mengunci keretanya dari dalam dan membuat pusingan sebelum memandu pergi. Raimi terpaksa menjarakkan diri untuk mengelakkan diri daripada dirempuh oleh lelaki itu.

“Tuan!”

Zain dan Koperal Khalid tercungap-cungap keletihan sebaik sahaja tiba di sisi Raimi. Raimi mencekak pinggang sebelum menyapu peluh di dahi dengan lengan kemeja berkotak yang dipakainya.

“Kita siasat seluruh villa ni. Aku nak tahu siapa dia dan kenapa dia tinggal di villa ni,” putus Raimi. Zain dan Koperal Khalid hanya akur.

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.