Grand Design IRC, JIM, IKRAM Ke PAN

Pernah pada satu ketika dulu saya bertanya pada Presiden PAS TGHH ketika beliau berkunjung ke kampus kami di UK apa itu Ikhwan Alami, dan bagaimana pelajar Malaysia di luar negara boleh terlibat sama.

Beliau menjelaskan Ikhwan Alami tidak muncul tiba-tiba dan IRC tidak muncul tiba-tiba. Ia ada susur galur sejarahnya…..pada hakikatnya tidak ada Ikhwan Alami, yang ada ialah ikwan Muslimin, dan ramai dari kalangan Ikhwan Muslimin diburu dan yang dibunuh oleh kerajaan sekular negara masing-masing..seperti Mesir dan Syria….orang Ikwan ini lari ke negara-negara Eropah dan Amerika….mereka migrate dan menjadi PR di negara luar dan kalau mereka kembali ke negara asal, mereka akan dibunuh oleh kerajaan masing-masing. TGHH kenal sebahagian besar dari mereka kerana TGHH sudah berada di Saudi dan Mesir sejak 1969 lagi dan kenali sebahagian besar pimpinan Ikhwan.

Apabila TGHH melawat Amerika dan Eropah, TGHH bertemu dengan pelarian Ikhwan Muslimin ini secara rahsia dan secara terbuka dan meminta mereka supaya mendekati pelajar-pelajar Malaysia yang bakal menjadi orang-orang penting dalam negara 10-20 tahun akan datang. TGHH minta mereka dekati dan terbiyyah pelajar-pelajar dari pelbagai bidang profesional, maka di situlah mula lahir MISG di USA Canada dan IRC di UK. Ahli-ahli ABIM dalam kalangan pelajar turut sama menjadi ahli dalam IRC dan MISG tetapi tidak mendapat tempat dalam pimpinan NGO ini jika mereka pro-Anwar. Puak2 IRC yang tidak setuju dengan cara Ikhwan sebaliknya sokong Ayatolah Khomeni pada akhir 70an dan kemudian mereka tubuh Suara Islam (Islamic Voice) yang mana antara pemimpin Islamic Voice ialah Khalid Samad.

Kumpulan Khalid Samad lebih cenderung pada kumpulan Hizbollah dan Hizbul Tahrir yang pro-Iran dan tidak setuju dengan cara demokrasi. Bagi pelarian pemimpin Ikhwan yg sudah mendekati dan mentarbiyyah pelajar-pelajar Malaysia di Amerika dan Eropah, mereka membawa pemikiran untuk bergerak secara bawah tanah, secara sirr (rahsia), dan menasihatkan pelajar Malaysia tidak menzahirkan identiti sebagai pejuang Islam bila balik Malaysia kerana bimbang akan ditangkap dan dipenjara oleh kerajaan sekular.

Lumrahnya orang yang diburu kerajaan sekular sudah pasti takut berdepan dengan realiti di negara masing-masing. Tetapi waqie (reality) Malaysia tidak sama seperti Mesir dan Syria. Malangnya bila pelajar-pelajar IRC ni balik Malaysia, mereka kritik PAS, mereka kata masuk pilihan raya adalah tidak syarie, dan ahli-ahli IRC tidak boleh masuk PAS sebelum 1990 kecuali beberapa “askar peninjau” IRC seperti Mustafa Kadir dan Dr Zaki UM dengan misi yang jelas.

IRC, MISG MAHU KUASAI PAS DARI DALAM

Apabila PAS sedari akan hal ini dan menjadi satu kerugian kerana ramai pemimpin pelajar UK dan Amerika tidak bersama PAS, lalu pelajar-pelajar pro-PAS meminta supaya PAS sendiri mentarbiyyah pelajar Malaysia dan bukan lagi murabbi dari pelarian Ikhwan yang menggelar diri mereka Ikhwan Alami. Lalu wujudlah Hizbi Islami di UK dan di Amerika, yang kemudiannya bertukar nama MISNA di Amerika. IRC kekal di UK dan MISG kekal di Amerika.

Pelajar-pelajar pro-Islamic Party tidak lagi berkiblatkan murabbi Ikhwan Alami. Tetapi pelajar-pelajar dalam IRC dan MISG terus berkiblatkan Ikhwan Alami. Selepas penubuhan dua NGO baru ini, barulah kelihatan ramai pelajar termasuk pemimpin-pemimpin dua NGO ni bersama PAS apabila mereka kembali ke tanah air. Sebelum itu, pemimpin2 IRC dan MISG masuk UMNO selepas 1990 secara rasmi untuk membantu Anwar khusus apabila Kelantan jatuh ke tangan PAS. Puak IRC-JIM mulai masuk UMNO selepas 1990, dan mula masuk PAS secara beramai-ramai selepas 1998 setelah Anwar dibuang dari UMNO. Meskipun mereka masuk PAS, mereka tidak masuk dengan misi kosong, mereka masuk PAS dengan misi untuk kuasai PAS sepertimana yang digariskan oleh Shaari Sungib dan Dzulkifli Ahmad dalam kertas Grand Design IRC-JIM.

Apabila mereka gagal kuasai PAS pada tahun 2015, mereka keluar beramai-ramai dan tubuh PAN. Mereka gunakan PASMA sebagai wadah untuk hasut ahli PAS gulingkan kepimpinan ulamak PAS tetapi gagal……selepas Kajang Move, Allah zahirkan wajah-wajah mereka disebalik topeng “Islam Ikhwan Alami” mereka. Kita ucap selamat jalan kepada mereka.

GRAND DESIGN IRC-JIM UNTUK KUASAI PAS

Sejak 1985, beberapa orang IRC telah menyerap masuk dalam PAS dan UMNO dengan membawa agenda tersirat mereka setelah berbaiah dengan Amir (MSM) IRC UK. Mulai 1990 ramai ahli IRC-JIM masuk UMNO, dan sebahagian kecil masuk PAS. Graduan IRC Mesir tidak berapa suka cara graduan IRC UK yang agresif dan kurang berhati-hati. Selepas 2004, IRC-JIM pecah dua, ISMA dan IKRAM. ISMA ramai dari bekas graduan Mesir, dan IKRAM terdiri dari bekas graduan UK dan USA. Majoriti ahli IKRAM sekarang adalah ahli PAN.

Petikan kertas di bawah ini menunjukkan IRC-JIM dibenar masuk UMNO khususnya dan PAS kemudiannya. Agenda mereka ialah cuba kuasai kedua-dua parti politik ini. Kemungkinan kerjasama dengan parti politik adalah terbuka, dan kemungkinan tubuh parti lain (PAN) boleh dipertimbangkan selepas ahli bergerak dalam satu NGO (tertubuhnya PASMA) 2014 bagi mengumpul tenaga kerja dan menyusun strategi politik.

Mungkin anda tertanya-tanya, kenapa G18 dan GHB tidak menghantar surat rasmi perletakan ahli PAS tetapi terus menerus mengfokuskan kempen kepada ahli PAS untuk menyertai GHB. Ramai kenalan saya memberitahu mereka diajak menyertainya tetapi mereka menolak. Tetapi anda tidak akan hairan jika anda memahami modus operandi mereka ‘jika anda tidak boleh menguasai dari dalam, maka keluarkan ahlinya beramai-ramai.’ Nanti anda akan faham bahawa IRC menubuhkan parti baru bukan kerana tidak puas hati, tetapi memang itu agenda mereka dari dulu, agenda untuk memiliki sebuah parti politik sama ada dengan infiltration (penyusupan) atau tubuh sendiri. Jika anda fikir mendalam, anda akan temui hakikat ini setelah anda renung secara waras alasan-alasan mereka menubuhkan GHB adalah langsung tidak rasional. Kerana kalah? ramai yang kalah dan pasti berlaku setiap pemilihan. Kerana lari dari landasan Islam? Mana buktinya. Kerana lemah? Adakah mereka akan terus kuat dengan parti baru dan kenapa tidak tunggu pemilihan 2 tahun lagi untuk lawan balik?

Jika anda biasa dengan strategi ketenteraan dan politik, mungkin anda akan dengar istilah “Counterinsurgency” dan salah satu strategy yang digunakan ‘if you cannot beat them destroy them’ (jika anda tak boleh kuasainya, hancurkannya).

IRC adalah ringkasan daripada Islamic Representative Council yang ditubuhkan di UK tahun 70-an dan bergerak aktif di Malaysia tahun 80-an dan cuba menyelinap di dalam parti politik dan persatuan-persatuan Islam tetapi gagal menguasainya. Mereka berjaya mengembangkan pengaruh sekitar 1990-an dengan penubuhan NGO. Mereka dilihat mula memasuki semula arena politik secara langsung sekitar akhir 1990-an dan mula aktif sepenuh masa dengan politik sehingga kini.

Antara individu yang aktif politik pada hari ini yang disebut namanya oleh Dr Fuad Salleh (selain individu-individu ini makruf di kalangan aktivis-aktivis dakwah) sebagai pemimpin IRC ialah Saari Sungip yang dikenali sebagai Abu Urwah, Dr Abd Rahim Ghouse (mastermind PKR bersama kumpulan Rafizi dan Saifudin Nasution). Menurut Dr Fuad Salleh, ada di kalangan IRC yang radikal dan lebih agresif telah memperkenalkan Parti Negara Islam seperti Khalid Samad, tetapi tidak mendapat sambutan. Apabila tidak mendapat sambutan, mereka telah menggabungkan diri dalam PAS.

Antara tokoh besar lain di peringkat Junior ialah Dr Mujahid Yusof Rawa yang merupakan individu yang telah melalui perkaderan jalur ini.


ANTARA ABIM DAN IRC

Modus operandi ini jelas disebut secara bertulis selepas IRC gagal menguasai ABIM daripada dalam. Mereka telah mula mengambil langkah melemahkannya dengan menarik keluar seramai mungkin ahli-ahli ABIM.

Di muka surat 22 di dalam kertas Grand Design Harakah Islamiah Syamilah menyebut : “(2) Keluar beramai-ramai : Apabila tiada harapan HIS memanfaatkan ABIM, ikhwah kita diundurkan dengan membawa keluar seberapa banyak ahli-ahli ABIM bersama-sama. Kehadiran jemaah diteruskan dengan beberapa orang sahaja dengan tujuan: mengikuti perkembangan dalam ABIM, menjaga ABIM dari dimanfaatkan oleh musuh. (3)Tubuh Wadah (platform) baru: Oleh kerana hajat HIS kepada wadah yang berfungsi seperti ABIM, penubuhan satu wadah baru yang berdaftar perlu diusahakan.”

Usaha ini adalah yang paling akhir setelah mereka gagal pada langkah pertama dan kedua, iaitu langkah menguasai dari dalam dan langkah menyingkirkan pemimpin-pemimpin asal ABIM. Di muka surat 21 menyebut : “Buat masa ini, qiadah (pemimpin) ABIM menjadi penghalang kepada pengislahan (menguasai dari dalam). Tanpa perubahan dalam pendirian mereka, kita tidak nampak jalan lain kecuali menyingkirkan mereka. Menyingkirkan mereka bukanlah mudah. Perlembagaan ABIM amat menyebelahi JKK Pusat. Kini harapan mengislahkan (menguasai dari dalam) ABIM semakin tipis kerana kemasukan anasir solihat (HIS) disekat (dan) kebencian terhadap Jama’ah meluap-luap, ternyata dengan kempen memburuk-burukkan IRC.”

Taktikal pergerakan ini dikenali sebagai ‘jika anda tak boleh kuasainya, hancurkannya’. Iaitu salah satu cara dan modus operandi “Counterinsurgency” apabila orang politik atau tentera tidak dapat menguasai sepenuhnya sesuatu area atau tempat.

Setelah sebahagian besar pimpinan IRC tidak terpilih di dalam muktamar baru-baru ini akibat beberapa “silap langkah” khususnya penubuhan PASMA dan sokongan DAP terhadap mereka, menjadikan mereka mengambil masa yang lama untuk masuk menguasai semula. Mungkin pimpinan yang ada sekarang boleh ditukar di dalam muktamar akan datang, tetapi mungkin alternatif pada masa itu bukan lagi mereka, tapi orang lain, menjadikan PAS sebagai wadah (platform gagal). Sebab itu jika anda kaji sebab mereka tubuh parti baru, sampai hari ini tiada alasan yang kuat. Jika tidak berpuashati, maka tunggu muktamar akan datang. Apa salahnya?

Tetapi, jika anda tak boleh kuasai, maka hancurkannya. Sebab itu target mereka selepas ini ialah lawan PAS dalam Pilihan raya. Ianya cukup jelas melalui kenyataan Dr Mujahid : “We define ourselves as a progressive Islamic party, and our number one opponent is PAS,” (kami mendefinisikan kami sebagai Parti Islam Progresif dan lawan nombor satu kami ialah PAS). Sekalipun beliau cuba menumpulkan terjemahan The Malay Mail Online tentang “our number one opponent is PAS” sebagai “musuh utama (GHB) ialah PAS”, tetapi beliau tidak memberikan alternatif terjemahan baru ganti kepada ‘musuh utama’ tetapi cuba spin dan divert kepada ‘konteks medan pilihan raya’. Semua faham, mana ada parti politik berlawan di gelanggan tinju atau gusti. Parti politik berlawan di dalam Pilihan raya. Tetapi sampai hari ini (ketika tulisan ini dicatat) Dr Mujahid belum menghantar surat rasmi untuk keluar dari PAS.

Balik kepada pokok utama kita sekarang, modus operandi “tarik ahli keluar beramai-ramai” sememangnya sudah diamalkan dan disebut di dalam kertas HIS/IRC dan individu-individu yang terlibat dalam politik GHB hari ini adalah dari kalangan individu-individu yang terlibat dan lahir dari perkaderan IRC dan HIS.

Sebab itu anda jangan hairan jika mereka enggan meninggalkan PAS sekarang dan menyusun jadual roadshow serta kempen menyertai mereka dalam keadaan mereka masih ahli PAS dan tidak mengisytiharkan keluar PAS sehingga ke hari ini. Sepatutnya mereka hantar surat rasmi keluar PAS sebelum mereka buat roadshow dan sebelum pengisytiharan penubuhan parti baru.

Jangan anda membaca IRC ini sebagai lagenda dan sejarah kerana IRC belum lagi menjadi sejarah justeru modus operandi dan orang-orangnya masih aktif dari 1970-an sehingga sekarang. Sekalipun umur penubuhan PAS, UMNO, ABIM dan lain-lain jauh lebih awal daripada IRC dan HIS, tetapi semua pertubuhan-pertubuhan ini belum lagi menjadi lagenda dan sejarah justeru perlembagaan, dasar, individu penggerak dan modus operandi masih lagi berjalan sampai sekarang. Begitu juga dengan IRC dan HIS, oleh kerana individu penggerak, modus operandi dan dasarnya masih lagi berjalan sampai sekarang, maka ia belum menjadi lagenda dan sejarah. Apa yang mengelabui mata anda ialah pergerakan IRC adalah sulit dan bawah tanah, berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan lain.

Sekian.
Nota : Nanti saya akan bagi bukti IKRAM cuba menafikan kertas grand design HIS dengan hujah kertas itu tidak diterima pakai selepas itu. Sekali lagi saya tegaskan, saya langsung tidak memaksud IRC adalah IKRAM justeru saya yakin lebih 90% ahli-ahli IKRAM yang cintakan Islam tidak tahu dan apatah lagi terlibat dengan grand design ini. Sepatutnya pimpinan IKRAM tidak respon terhadap pendedahan saya ini sebab sedari awal saya sudah disclaim keterlibatan mereka.

Sumber: Ummah Madani

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s