Antara Zahid, Tun M: Siapa Lebih Boleh Dipercayai?

PILIHAN RAYA Kecil Tanjung Piai pada 16 November 2019 akan menguji kemampuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, berbanding dengan kejayaan teruji kepada pemangku Presiden UMNO sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya membawa kemenangan hetrik untuk parti itu.

Jika calon BN kalah, maka wajar sekali beliau mempertimbangkan balik untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya, untuk bercuti panjang sekali lagi.

Pakatan Harapan mewakilkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk meletakkan calon dan semalam, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Hj Karmaine bin Sardini sebagai orang tempatan yang diterima oleh akar umbi penduduk Tanjung Piai menjadi calonnya.

BN setakat ini belum mengumumkan calonnya walaupun sepatutnya Ahmad Zahid mengumumkannya semalam.  Ini mungkin disebabkan BN terpaksa mewakilkan MCA yang pada mulanya bercadang mengambil orang luar untuk menjadi calon yang seperti meletakkan pisau di tengkuk Ahmad Zahid sendiri.

Walaupun calon MCA dalam PRU14 mendapat undi 20,731 kalah tipis dengan calon Bersatu dengan majoriti sekitar 500 undi (21,255), tetapi kerajaan kini di bawah PH yang tentunya bercurah-curah projek dengan nilai puluhan juta ringgit turun di Tg. Piai (yang selalu disebut Menteri kerajaan PH sebagai ‘secara kebetulan’!).

Akar umbi UMNO sekarang memberi fokus kepada Ahmad Zahid sama ada beliau mempunyai ketegasan untuk meletakkan calon UMNO atau mengalah kepada MCA yang hampir pasti akan kalah.

Ini bermakna pilihan yang ada pada Presiden UMNO itu dalam dilema yang sangat besar sama ada meletakkan calon UMNO yang jika kalah akan merosakkan reputasnya, atau mengalah kepada calon MCA yang akan memberi imej buruk kepadanya jika kekalahan kepada BERSATU.

Plan B Ahmad Zahid adalah membawa sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO bersama-sama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyokong dan berpayung di bawah PKR, untuk mempercepatkan proses Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dengan cara itu, syafaat akan turun kepada mereka berdua daripada disabitkan hukuman di mahkamah, sebagaimana syafaat diterima Anwar sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Penganalisis politik percaya keputusan Ahmad Zahid kembali menerajui Umno dan BN selepas bercuti kira-kira enam bulan sejak Disember lalu memang membawa agenda tertentu.

Malah, menurut Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ia dikuatkan lagi dengan tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kemudian mempelawa anggota parti Melayu di negara ini menyertai Bersatu.

“Mungkin kita boleh lihat tindakan Ahmad Zahid kembali jadi Presiden UMNO itu sebagai untuk membantu Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan ini telah mencetuskan tindak balas Mahathir.

“Hal ini kerana, dalam Umno sendiri kita melihat ada dua puak, dengan satu menyokong Mahathir dan satu lagi menyokong Anwar,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Jeniri berkata demikian sebagai mengulas pelawaan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Julai lalu supaya anggota parti Melayu di negara ini menyertai BERSATU. Dr Mahathir berkata ketika ini sudah ada banyak parti Melayu dan bagi mengelakkan perpecahan lebih serius, mereka disarankan bersatu dalam partinya.

Pelawaan yang merupakan usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu itu nampaknya tidak direstui DAP kerana parti berasaskan kaum Cina itu mahukan partinya terus dominan dalam PH serta boleh menentukan secara mutlak hala tuju dasar negara.

Bagaimanapun pada 8 Julai, Mahathir menjelaskan pelawaannya agar parti politik Melayu menyertai BERSATU ditujukan kepada anggota UMNO dan PAS.

Oleh sebab Ahmad Zahid tidak menyokong gagasan ahli UMNO menyertai BERSATU kerana mungkin pernah dianggap sebagai ‘khadam’ Anwar, maka seorang lagi bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Husin bergerak untuk mencari ahli parlimen untuk menyertai BERSATU atau paling tidak menyokong Tun Dr Mahathir.

Menarik untuk terus menyaksikan konflik politik ini.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.