Khairul memfailkan usul pada 23 Ogos memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Parlimen meluluskan pindaan pada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan adalah tidak berperlembagaan.
Dia perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim seperti yang ditetapkan Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan kerana dia mahu mencabar kompetensi badan perundangan persekutuan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, meluluskan undang-undang.
Akta Pendidikan yang dipinda itu diluluskan pada 1996 bagi menggantikan Ordinan Pendidikan 1956 dan Akta Pendidikan 1961.
Negara ketika itu bawah pentadbiran Barisan Nasional, dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Najib Razak sebagai menteri pendidikan.
Sesyen 17 Akta Pendidikan menyatakan bahasa kebangsaan bahasa pengantar utama:
(1) …di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.
(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.
Manakala, Seksyen 28 pula menyentuh tentang penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.
Menurutnya, tertakluk kepada peruntukan akta itu, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.
Dalam usulnya, Khairul menyatakan Parlimen tiada kuasa untuk meluluskan dua peruntukan undang-undang itu dan ia tidak memberikan menteri pendidikan budi bicara untuk menubuhkan sekolah rendah Cina dan Tamil. -Free Malaysia Today