Walau Kalah PRU-14, UMNO Nampak Tidak Mahu Berubah

Oleh Prof Dr Haim Hilman Abdullah

KEKALAHAN BN dalam PRU14 lalu benar-benar menyentap urat merih setiap pemimpin dan pendukung UMNO dan BN.

Tarikh 9.5.2018 adalah realiti yang begitu pahit buat UMNO. Terbenamnya fajar pada petang itu membawa bersama ‘terkuburnya’ kerajaan pimpinan BN.

Dengan kata lain, keesokan paginya terbitlah fajar yang membawa sinar ‘baharu’ dunia politik negara di mana terbentuknya kerajaan pimpinan PH.

Pastinya ramai pemimpin- pemimpin UMNO dan BN serta pendukung ‘tidak percaya’ dengan kekalahan tersebut. Namun itulah realiti pahit yang perlu ditelan.

Pada asasnya banyak faktor yang menyebabkan kejatuhan UMNO dan BN dalam PRU lalu seperti:

1. Janji manifesto PH yang terlalu ‘hebat’ untuk rakyat tidak rasa teruja.

2. Kejayaan misi pembunuhan karektor Dato Seri Najib Razak menerusi ‘skandal’ 1MDB, isteri dan orang sekelilingnya.

3. Kegagalan UMNO membersihkan nama pemimpin-pemimpin dan keluarga mahupun kroni di mahkamah iaitu bebas dari palitan ‘skandal-skandal’ ketika menerajui kementerian dan agensi kerajaan.

Kegagalan ini telah membuatkan UMNO dan BN diadili dan dihukum di ‘mahkamah media yang berhakimkan persepsi’.

4. ‘Kesombongan’ UMNO dalam mendengar suara dan menerima teguran anak muda.

5. ‘Sifat munafik’ sesetengah pemimpin UMNO yang berpura-pura hidup sederhana apabila menyantuni rakyat. Sebagai contoh, mereka memandu kereta biasa-biasa, makan dan pakai juga biasa- biasa sedangkan rakyat tahu mereka hidup mewah atas ‘habuan’ berkecimpung dalam politik UMNO.

6. Kegagalan kerajaan BN menangani keluh kesah rakyat seperti kejatuhan harga getah dan sawit, peningkatkan kos sara hidup, dan lambakan graduan yang tidak berkerja serta berbagai lagi.

7. ‘Suburnya’ gejala rasuah yang bagai ‘dihalalkan’ di mana terdapat mereka yang ‘berkuasa’ mahupun ‘penguatkuasa’ di pelbagai agensi bagaikan ‘bebas’ dan ‘dilindungi’. Dengan kata lain kerajaan BN dilihat seperti tidak serius dalam membenteras gejala ini.

Dengan kata lain, 7 perkara di atas adalah antara punca utama yang menyebabkan UMNO dan BN tersungkur ke bumi pada 9.5.2018.

Menariknya, beberapa bulan pertama selepas kekalahan itu, barisan kepimpinan UMNO nampak insaf dan ramai menyatakan mahu undur diri dari politik.

Ada juga di antara mereka mencari payung baru untuk berteduh walaupun kemenangan mereka dahulu di atas tiket UMNO atau BN.

Namun atas nama survival politik dan demi kebaikan DUN mahupun parlimen yang diwakili, mereka berpaling tadah.

Ada yang menyokong tindakan mereka ini dan tidak kursng juga yang mencemuh.

Kepada politkus, mungkin itulah langkah bijak tetapi kepada mereka yang bermaruah, pastinya perbuatan itu tidak boleh diterima dan dianggap sebagai pengkhianat.

Dalam politik dan sesama orang politik, makna maruah terlalu subjektif untuk diukur.

Tetapi bagi rakyat biasa, pada mereka ramai orang politik itu ‘tidak bermaruah’ atau ‘sanggup menjual maruah’ demi nafsu dan serakah.

Kerana nafsu itulah, ada pemimpin UMNO yang menyatakan mahu mengundur diri dahulu, kini kembali aktif selepas melihat UMNO dan BN menerusi Muafakat Nasional mampu kembali berkuasa dalam PRU akan datang.

Semangat mereka diperkukuhkan lagi oleh kepincangan, kelembapan dan kelemahan yang begitu ketara dalam pentadbiran negara yang diterajui oleh PH.

Sikap tidak cakna kerajaan sekarang khususnya berkaitan sensitiviti rakyat khususnya hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam, dan raja-raja Melayu di samping kos sara hidup yang terus meningkat, harga komoditi yang terus merudum, dan janji-janji manifesto yang gagal dilaksanakan telah membuatkan rakyat kembali memberi sokongan kepada BN.

Sokongan ini boleh dilihat melalui tiga PRK iaitu Cameron Hinghlands, Semenyih dan Rantau di mana BN menang bergaya.

Manakala PRK Tg. Piai akan menjadi medan menarik untuk melihat sejauh mana kekuatan Muafakat Nasional dan sejauh mana orang Cina kembali menyokong semangat Muafakat Nasional.

Persoalannya adakah sebab kelemahan kerajaan PH hari ini membuatkan UMNO ‘menutup mata’ dengan memberi laluan kepada pemimpinnya yang ‘bermasalah’ untuk terus memimpin parti di pelbagai peringkat?

Jika benar, maka UMNO benar-benar sebuah parti yang tidak dapat diselamatkan lagi.

UMNO menerusi Muafakat Nasional sewajarnya tidak terlalu gembira dengan kegagalan PH hari ini kerana mereka masih mempunyai masa selama 3 tahun lagi.

Prestasi PH mungkin akan lebih baik menjelang PRU akan datang dan tidak mustahil menang lagi walaupun dengan majoriti lebih kecil.

Jika PH menang maka penggal kedua mereka pasti lebih baik kerana sudah ada pengalaman menjadi kerajaan pusat.

Dengan kata lain, akan lebih lama untuk UMNO dan Muafakat Nasional menunggu untuk menakluk Putrajaya.

Sehubungan dengan itu, wajarkan UMNO terus mempertaruhkan nasibnya dengan mengekalkan barisan kepimpinan lama khususnya yang ‘bermasalah’?

Jawapannya pastilah tidak kerana UMNO tidak sanggup dimasukkan ke ICU sekali lagi atau ditalqin dan disemadikan buat selamanya dalam PRU15 kelak.

Namun, bersediakah pemimpin-pemimpin tersebut yang pada dasarnya mempunyai kekuatan kewangan yang boleh digunakan untuk mengekalkan kedudukan dengan memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu yang lebih muda, bersih, berintegriti  dan bijak menerajui parti dan akhirnya diangkat menjadi calon dalam PRU15 nanti?

Bersediakah juga para pendukung setia UMNO dan mereka yang mesra BN mahupun Muafakat Nasional terus memberi undi kepada pemimpin-pemimpin yang telah rosak atau tercalar imej dan integriti?

Jika jawapan untuk persoalan pertama adalah ia iaitu mahu kekal bertanding atau mahukan anak mereka pula bertanding, maka harapan UMNO dan BN untuk membersihkan namanya dengan baju baharu mereka berjenama Muafakat Nasional dan haruman berjenama PAS akan hanya menjadi satu angan-angan mat jenin atau reformasi hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Untuk persoalan kedua pula. Jika pendukung setia UMNO dan BN masih mahu terus memberi undi kepada pemimpin yang ‘bermasalah’ di mana imej dan integriti telah rosak, maka besar kemungkinan agenda reformasi UMNO dan BN akan berkubur.

Jika menang sekalipun Muafakat Nasional dalam PRU15 akan datang iaitu atas sebab kelemahan PH, ianya tidak akan mampu memberi sinar baharu dengan udara yang segar dan berpanjangan buat UMNO, BN mahupun Muafakat Nasional kerana cahaya dan udara yang dijelmakan itu sudah lama tercemar dengan ‘cahaya merah’ dan ‘udara kotor’.

Jadi adalah tidak mustahil untuk UMNO dan BN benar- benar terkubur. Mungkin akan muncul satu parti baru yang lebih bersih, berintegriti dan berwawasan yang bukan sahaja didukung oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Akhir kata, barisan kepimpinan UMNO dan pendukung setia UMNO perlu muhasabah diri dan buang jauh-jauh sikap penting diri demi memastikan pembaharuan UMNO yang dilaung-laungkan bukan hanya satu ilusi.

Bangkitlah dengan semangat kental demi memastikan UMNO terus relevan sebagai wadah perjuangan orang Melayu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.