Untungkah Melayu Tanpa Tun M?

PERTAMA-TAMA perlu andaikan Barisan Alternatif pimpinan DAP dan PKR memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, mengalahkan Barisan Nasional (BN), dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri dengan Lim Guan Eng sebagai Timbalannya.

Undian kaum Cina sejak PRU-10 cenderung kepada ‘asal bukan BN’, maka DAP mendapat nafas segar daripada semua kawasan yang kaum Cina mempunyai lebih 40 peratus populasi.

Hampir semua bandar dikuasai DAP.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidaklah berhajat menumbangkan BN pada awalnya cuma mahukan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berundur, dan digantikan dengan calon lain sebagai Perdana Menteri, khususnya apabila skandal 1MDB sudah gagal dibendung lagi kerana mencemarkan maruah Malaysia di mata dunia.

Najib tidak mahu berundur malah meyakini pihaknya dapat menjinakkan pengundi melalui lantikan Peguam Negara baru, ketua pesuruhjaya SPRM baru, lantikan ketua polis negara baru, pilihan Ketua audit negara baru dan ketua pegawai eksekutif 1MDB baru.

Namun, Najib tidak mahu berundur dan yakin BN yang sudah berusia 60 tahun tidak mungkin gugur, paling tidak masih memenangi dengan majoriti mudah untuk sepenggal lagi kerana memberi segala-gala yang dihajati orang ramai.

Tun M terpaksa sekali lagi memijak kaki dalam kancah politik dengan menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengetuai pasukan Barisan Alternatif dengan nama Pakatan Harapan.

Walaupun waktu itu terlalu ramai pesimis dengan gabungan itu kerana tidak percaya Tun M boleh memimpin bekas musuh politik di PKR, DAP, Amanah, tapi itulah yang berlaku.

Lebih mengejutkan lagi apabila mereka memenangi PRU lalu Tun M melantik barisan Kabinetnya dengan menggunakan formula yang tidak pernah digunakan di negara ini – setiap parti diberikan jawtan hampir sama banyak walaupun dari segi kerusi PKR dan DAP mendominasi kerajaan Pakatan Harapan.

Tiada siapa boleh membaca ruang fikiran Tun M termasuk di kalangan BN ataupun rakan-rakan sekutu di PH.

Politik Tun M agak halus berbanding ahli politik lain yang mudah dijangka langkah-langkah yang akan dilakukan.

Peralihan regim BN kepada PH berlangsung dengan begitu bertamadun, dan orang ramai tidak terasa begitu janggal kerana kelihatan ‘Melayu’ masih memegang jawatan PM, walaupun pembangkang cuba menghasut betapa DAP mengawal segala polisi negara.

Tun M bukan boleh dibeli dengan mudah sama ada oleh DAP mahupun PKR kerana beliau seorang intelektual yang tidak mudah dipermainkan.

Perjuangan lama untuk menumbangkan BN oleh DAP dan PKR dengan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah menjadi satu perkara hampir pasti, malah menurut sumber tertentu pada malam 9 Mei 2018 itu cubaan dilakukan agar Tun M tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam 100 hari sebelum sambutan dua tahun tumbangnya BN, suara mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri terus berkumandang, walaupun Tun M sudah menyatakan janjinya untuk menyerahkan jawatan berkenaan.

Pihak yang mahu Anwar sebagai Perdana Menteri tidak mahu tarikh penggantian itu melebihi 10 Mei 2020, malah memaksa Tun M menyatakan dengan spesifik tarikh berkenaan.

Tun M tiada pilihan melainkan menyusun cara baru berhadapan dengan masalah ini kerana keadaan politik dan ekonomi tidak stabil selagi ada pihak sentiasa membangkitkan perkara penggantian ini.

Dalam kerangka masa ini, PAS turut bergabung dengan UMNO membentuk Muafakat Nasional, dan PAS menyatakan sokongan 100 peratus kepada Tun M untuk terus menerajui negara kerana mereka lebih mengenali Tun M berbanding dengan Perdana Menteri yang belum tahu cara berfikir dan polisi mereka.

Dalam masa sama, PKR berpecah kepada dua kem antara pasukan Anwar dan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Lanskap poltik ini seperti memihak kepada Tun M yang tidak mudah untuk pasukan lawan membuat undi tidak percaya di Dewan Rakyat kerana Tun M sendiri dikatakan mempunyai 130 kerusi mempertahankannya.

Tun M seolah-olah mempertahankan kepentingan pribumi termasuk Melayu untuk tidaklah tersipu hina ketika pemerintahan PH, sebagaimana beliau meletakkan asas pemerintahan kepada BN selama 22 tahun memerintah negara sebagai PM-4.

Kabilah Melayu dipecahkan melalui politik kini kepada UMNO, PAS, BERSATU, PKR yang menyebabkan suara dan kepentingan mereka juga berpecah-pecah.

Beberapa kali dalam ucapan Tun M sama ada ketika dalam kerajaan BN mahupun ketika dalam PH untuk melayu kembali Bersatu dengan mempertahankan keadilan dan kebenaran, tidak memperhina maruah dengan mencuri dan membuat sesuatu yang mencalar maruah Melayu.

Inilah sebab Tun M sejak awal mahukan psikologi orang Melayu kembali kuat sebagai bangsa yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bangsa maju lain.

Ramai yang gagal membaca Tun M lalu melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Tun M dengan pelbagai jenis cacian, tetapi Tun M sebenarnya melakukan sesuatu untuk bangsa Melayu. Percayalah!.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.