Membaca ‘Niat’ Tun M Terhadap Melayu

MEMBACA niat sebenar orang lain secara tepat 100 peratus memang mustahil.

Apa lagi untuk membaca niat seseorang yang sangat berpengalaman dalam politik dan sudah melalui pelbagai tipu helah politik oleh rakan dan musuh, Tun Dr Mahathir Mohamad memang terkenal sebagai seorang yang tidak mudah dijangka tingkah laku politiknya.

Jika mencermati ucapan Tun M dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, sebahagian telahan tidaklah jauh kesasar kerana usia negarawan yang kini mencecah 94 tahun.

““Saya sedar, saya sudah tidak ada masa. Apa yang dilakukan ini adalah untuk generasi akan datang. Kita perlu mempertahankan, memajukan generasi akan datang walaupun kita sendiri tidak mendapat nikmat daripadanya. Inilah yang kita perlu lakukan,” katanya.

Kata-kata itu mestilah muncul daripada nurani terdalam Tun M yang tidak mahu kabilah Melayu berpecah-belah peninggalan beliau atas kerana kasih sayang terlalu tinggi kepada bangsanya.

Ramai yang tidak faham dan menganggap Tun  M tidak sayang kepada bangsa Melayu kerana selalu mengkritik dan mencemuh bangsanya sendiri.

Yang mengenali Tun M secara dekat atau yang memerhati secara halus tindak tindakan akan mengetahui betapa kasihnya Tun M kepada bangsa dan agama yang menjadi ideologinya sejak pertama kali berada dalam parti keramat, UMNO.

Dikritik hebat termasuk oleh sekutu politiknya daripada DAP dan PKR untuk tidak menghadiri Kongres Maruah Melayu, Tun M tetap hadir dan berucap dengan panjang lebar.

Apa yang Tun M mahu: Melayu bangkit mempertahan maruah dan memajukan Melayu untuk masa akan datang.

Kotak pemikiran Tun M tidak hanya tertumpu kepada parti sehingga melupakan persaudaraan tulen saudara di parti politik lain kerana kepada Tun M parti hanyalah alat, bukan matlamat.

Jika dalam keadaan sekarang parti-parti politik Melayu perlu bersatu, maka masing-masing pihak perlu berkorban kerana tidak semua penyatuan itu berlaku secara licin dan tiada kesan psikologi dan politik.

Yang penting ialah matlamat – alif, ba, tha.

Usaha untuk memulihkan maruah Melayu bukan dengan hanya retorik politik, tetapi melalui pelbagai pendekatan termasuk menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

“Maruah Melayu bergantung kepada pencapaian kita sendiri. Kalau kita mampu tadbir negara dengan baik, gunakan peluang yang ada dengan baik, bekerja dengan baik, mampu keluarkan barang pengguna, tiada siapa boleh jatuhkan maruah kita,” katanya.

Dari segi politik, Tun M berkata, walaupun Melayu merupakan kumpulan penduduk terbesar di negara ini iaitu 60 peratus daripada jumlah penduduk (32 juta orang), perpecahan orang Melayu kepada kumpulan kecil menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik di negara sendiri.

Ini kerana mereka tidak mampu mendapat 50 peratus daripada sokongan rakyat, katanya.

Susulan perpecahan itu, katanya, orang Melayu terpaksa bergadai kuasa dan bergantung kepada orang lain untuk mendapat sokongan rakyat.

Dari segi ekonomi, Perdana Menteri berkata, kegagalan orang Melayu merebut peluang yang ada menyebabkan orang asing mengambil peluang tersebut dan memajukan diri mereka sehingga menjadi kaya di negara ini.

“Kita bergantung kepada orang lain sehingga kita diperhambakan. Mereka lebih maju dan capai kemajuan kerana peluang di negara kita tidak diisi dan kita tidak sanggup lakukan kerja tertentu sebab kerja ini dianggap sebagai hina, bahaya, berat, kotor dan sebagainya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebenarnya orang Melayu bukan tiada keupayaan untuk maju tetapi mereka sendiri tiada kemahuan untuk memperbaiki nasib mereka sendiri.

“Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak senang didengari kita semua, tetapi ini semuanya yang berlaku dan inilah yang akan diwarisi oleh generasi muda. Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup kerja, hadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan,” katanya.

Dr Mahathir yang sentiasa berusaha untuk mengubah nasib Melayu sejak beliau pertama kali menjadi perdana menteri pada 1981, ​​​​​​turut melahirkan kekecewaan apabila bangsa Melayu masih dipandang hina dan gagal untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kaum lain walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Namun, Dr Mahathir yang menggalas semula jawatan nombor satu negara sejak tahun lepas berkata kerajaan berjanji untuk menolong orang Melayu tetapi mereka mesti sanggup berusaha.

“Kesanggupan untuk berusaha adalah perkara utama dalam usaha pemulihan maruah bangsa,” tegas Perdana Menteri.

Menyentuh pemilikan tanah orang Melayu di ibu negara yang semakin berkurangan, Dr Mahathir merayu orang Melayu tidak menjual tanah, sebaliknya menegaskan kerajaan akan mencari jalan untuk membantu mereka dalam hal itu.

“Saya minta, saya rayu supaya jangan jual tanah, kita akan cari cara untuk pulangkan pulangan baik. Kita ada cara tolong mereka miliki tanah supaya tanah itu dijadikan modal bagi kita, dengan itu kita tidak akan dihalau keluar dari tempat kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pemulihan maruah Melayu penting untuk masa depan generasi akan datang dan menambah kata, generasi sekarang bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan itu.

“Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saya ucap terima kasih kerana beri peluang kepada saya meluahkan segala yang terdapat dalam hati saya pada hari ini. Saya sedar saya tidak ada masa. Apa yang dilakukan ini adalah untuk generasi akan datang walaupun kita sendiri tidak akan mendapat nikmat daripada ini,” katanya.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan empat universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara bagi membincang serta mencari penyelesaian masalah orang Melayu.

Antara yang hadir pada kongres semalam ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir kerana beliau tidak diundang, namun timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.