Covid-19: Thailand Isytihar Darurat Sebulan Mulai Malam Ini

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 25 Mac  — Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini mengisytiharkan perintah darurat yang akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga 30 April dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.

Langkah-langkah lebih keras dikenakan bagi membendung penularan COVID-19 selepas negara itu mencatat sejumlah 934 kes dengan empat kematian setakat ini.

Bermula tengah malam ini, semua warga asing akan dilarang memasuki negara itu dari semua pintu masuk dengan pengecualian kepada diplomat, warga asing yang memiliki permit kerja dan mereka dalam sektor pengangkutan manakala rakyat Thailand dengan permit kedutaan dan sijil kesihatan akan turut dikecualikan daripada sekatan perjalanan tersebut.

Di bawah dekri darurat itu, semua pusat membeli-belah, pusat hiburan dan venue sukan yang menarik ramai pengunjung diarahkan tutup manakala pasar raya yang menjual makanan dan barangan harian, pasar yang menjual produk segar, farmasi dan kedai serbaneka akan tetap dibuka. Restoran serta kafe akan dibuka dan hanya menawarkan makanan untuk dibawa pulang serta perkhidmatan penghantaran.

Semua tarikan pelancongan, tapak keagamaan, muzium, perpustakaan dan taman rekreasi akan ditutup. Penganjuran semua perhimpunan besar-besaran juga dilarang.

Dekri itu menyatakan bahawa semua rakyat Thailand berusia di bawah lima tahun dan lebih 70 tahun serta mereka yang berdepan masalah kesihatan dinasihatkan agar duduk di rumah.

Tindakan akan diambil terhadap mereka yang membeli serta menyimpan barangan makanan dan keperluan secara berlebihan selain menyebarkan berita palsu. Perkhidmatan termasuk institusi kewangan, stesen minyak dan penghantaran akan terus beroperasi.

Perintah itu turut menasihati orang ramai agar mengelak melakukan perjalanan antara wilayah bagi mengekang penularan COVID-19 dan mereka akan dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan jika boleh, kuarantin. Pada masa akan datang, pusat pemeriksaan akan diwujudkan.

Sementara itu, Prayuth menggesa orang ramai agar bekerjasama dan mematuhi semua langkah yang dikenakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara tersebut.

Beliau berkata langkah-langkah ketat akan dikenakan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Mesyuarat dan taklimat harian akan diadakan. Saya akan mengumumkan perintah dan langkah-langkah bagi memastikan koordinasi dalam semua agensi serta kementerian atau saya akan meminta seorang pegawai untuk melaporkan perkembangan terkini kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang Wissanu Krea-ngam berkata perintah darurat itu akan berkuat kuasa hari ini sehingga 30 April dan Kabinet akan menimbang untuk melanjutkannya jika perlu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.