Mencair Ideologi Bersatu-UMNO-PAS Dalam Satu Kawah

SEMAKIN luas jurang perbezaan ideologi antara dua individu semakin sukar untuk mereka bergabung, seumpama sebuah perkahwinan perlunya sekufu bagi sebuah perkahwinan ideal.

 

Begitulah jurang di antara pelbagai parti politik di negara ini.  Akan menjadi damai dan harmoni jika dalam satu kumpulan gabungan dan berteru dengan kumpulan lawan gabungan seolah-olah pertembungan di antara kem syaitan dengan kem malaikat.

Begitupun, perpaduan di dalam parti gabungan juga boleh berpecah pada bila-bila masa atas sebab tertentu seumpama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi berubah angin memasuki Pakatan Nasional (PN), seterusnya mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada parti berkenaan.

Yang dalam parti sendiri juga boleh berubah bila-bila masa atas sebab kepentingan tertentu seperti beberapa ahli Parlimen UMNO memasuki Bersatu, dan kem ex-PKR Datuk Seri Azmin Ali turut memasuki Bersatu, menjadikan Bersatu mempunyai 31 kerusi di Dewan Rakyat.

Dari segi ideologi, ketiga-tiga parti utama negara iaitu UMNO, PAS dan Bersatu tidaklah jauh, malah hampir sama.

Bersatu mendakwa mereka membawa ideologi asal UMNO, sedangkan UMNO itu sendiri mengekalkan ideologi asal berasaskan alif, ba, tha – agama, bangsa dan tanah air dan kedua-duanya mahu memikat hati orang Melayu.

PAS pula mengambil pendekatan Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan, dan dalam pengamatan luas tentunya tidaklah berbeza dengan parti UMNO dan Bersatu di atas.

Politik semasa pula sangat kebetulan kerana ketiga-tiga parti itu sekarang berada dalam satu kumpulan yang tentunya ramai juga musuh-musuh cuba memperlaga-lagakan parti berkenaan.

Dengan serta-merta berbalahan lama umat Melayu di negara ini secara umumnya reda kerana musuh politik yang paling lama tentunya antara UMNO dan PAS.  Muasfakat Nasional telah mengikat kedua-dua parti berkenaan dalam satu bungkusan baru dengan melupakan sejarah berdarah lama.

Amanat Hadi yang menjadi antara luka lama tiba-tiba menjadi sejuk kembali, sedangkan 20 tahun  lalu sehingga mencetuskan  peristiwa Memali dan pergaduhan antara kedua-dua parti itu bukan sedikit.

 

Kepada kebanyakan orang Melayu yang kurang berminat dengan politik, harapan tentulah untuk melihat penyatuan kembali dua parti ini kerana Pas wujud hasil serpihan kepada UMNO dan kedua-dua parti ini pernah berjaya digabungkan dalam era awal Tun Razak, bapa kepada Najib.
Perbezaan pandangan selalunya boleh bergabung kembali kecuali berlaku bergaduhan yang bersifat ideologi.  Dan, ini pun sedang diperluaskan jurang itu oleh pihak tertentu agar penyatuan tidak mungkin berlaku, hatta dalam keadaan genting, seperti berlaku rundingan kuasa selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak pada 2008.

 

Penyatuan ideologi boleh berlaku antara entiti itu sama ada secara asimilasi daripada satu ideologi kecil kepada ideologi besar atau integrasi antara kedua-dua ideologi berkenaan melalui cara saling cair-mencair.

 

Begitulah apa yang berlaku antara Pas dan UMNO sekarang. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berulang kali berkata: “Penggabungan Pas-UMNO adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana percantuman itu ibarat pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram, sesuatu yang ditegah agama.”

 

Begitupun, masih ada ruang di hati kecil pemimpin veteran Pas itu untuk melihat kabilah Melayu bersatu kembali. Dan meminjam kata-kata yang lazim beliau lafazkan: “Boleh jika nak gabung, tetapi UMNO perlu ubah dasar dia, daripada kebangsaan kepada Islam.”

 

Persoalan sama ada UMNO perlu bergabung dengan Pas adalah persoalan apakah ada masa depan untuk orang Melayu di negara ini?
Yang lebih penting kini orang Melayu perlu bersatu untuk memperkuatkan kembali ekonomi dan nasib banngsa, sebagaimana berlaku dalam era awal Dasar Ekonomi Baru.

 

Sebagai contoh, daya beli orang Melayu mengikut dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hanyalah sekitar RM1,500, India RM2,500 dan Cina RM4,500. Melalui daya beli yang rendah ini akan membuatkan orang Melayu Islam bergantung kepada orang lain.
Oleh sebab Melayu atau bumiputera merupakan populasi terbesar yang mengisi 66 peratus komposisi rakyat, maka asas kenegaraan harmoni – seperti pernah diutarakan sosiologis Prof. Dr. Mansor Mohd. Nor dan Prof. Dr. Rahman Embong – mestilah menjadi teras dalam aspek ekonomi, politik dan pembentukan budaya.

 

Asas kenegaraan akibat sejarah penjajahan memerlukan Melayu kuat. Walaupun begitu, daripada aspek pembentukan negara bangsa, bukan bermakna UMNO kuat secara mutlak, tetapi menghendaki Melayu kuat.

 

Jika begitu apa salahnya jika Melayu dalam Pas gagah dalam aspek mampu menentukan kuasa ekonomi dan politik. Dan pada masa sama Melayu dalam UMNO juga masih kuat.  Begitu juga Melayu dalam Bersatu.
Sejarah mampu menjawabnya setiap kali pilihan raya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.