Bahang Politik 1

Minum malam ni jom!

Sohil terdiam sejenak sebaik kawan hariannya Zuki mengajak keluar minum di talipon. Dia rasa waktu untuk segelas teh, sepinggan mee atau sekeping roti terlalu semput-semput. Singkat sangat.

Di era perintah kawalan pergerakan ini (PKP) kedai untuk melepak malam cuma dihadkan sehingga jam 10. Jam 930 malam pekerja kedai dah mula nak mengangkat kerusi. Kalau keluar selepas Isyak memang tak berbaloi. Mee goreng di perut belum hadam, namun kita dah nak kena bersurai, angkat bontot.

Hei, macam mana? Nak keluar tak?

Entah lah. Bukan tak nak keluar… masa tu singkat sangat.  Aku nak dengar cerita baru dari kau pun mungkin tak selesai. – Sohil tersengih seorang dengan jawapannya tadi.

Hmmm.

Zuki cuma memberi respon hmmm petanda sudah maklum Sohil berat untuk keluar.

Zuki ialah satu-satunya kawan Sohil yang berat untuknya mengatakan tidak bila diajak keluar. Walau saiznya sehalus sehelai rambut, Sohil tak pernah rasa tersekat apa-apa bila bersembang dengan Zuki. Zuki memiliki sikap keterbukaan yang mengalahkan barisan kawannya yang lain. Zuki bukan tipikal. Bukan dogmatik. Dia bebas. Dia anti kemunduran. Malah sehingga dalam hal kepercayaan agama pun Zuki ada keyakinan tersendiri – yang pada diri Sohil dia sendiri rasa kurang berani (kalau kurang berani itu maksudnya berat mulut) untuk menyebutnya.

OK lah. Kita keluar lain kali.

OK.

Perbualan talipon singkat, hajat keluar melepak minum, tamat kat situ.

Pada hari minggu, minggu lepas, Sohil ada berbalas-balas mesej suara dengan Zuki. Panjang juga mesej-mesej suara itu kalau Sohil nak dengar kesemuanya balik. Dan ada tiga mesej suara dari Zuki yang Sohil beberapa kali memang mendengarnya balik.

Ketiga-tiganya berkaitan politik. Ketiga-tiganya menyentuh tentang perdana menteri, tentang presiden parti dan tentang bangsa. Ketiga-tiganya membuat Sohil termenung tinggi.

Peribadi Sohil sendiri dirinya bukanlah peminat apa lagi pengikut tegar cerita-cerita politik. Rasa nak tahunya pada senario semasa politik selalunya tenggelam timbul. Ada masa rasa nak tahunya naik ke atas, ada masanya pula menurun ke bawah. Dan ada juga masanya dia rasa tak nak tahu pun. Misalnya bila dia bersama perempuan. Pada masa tu dia langsung tak nak cerita politik timbul.

Hinggakan ada satu ketika Zuki pernah menempelaknya. Kata Zuki, kau ni kalau jadi pemimpin, ada potensi jual negara bila mabuk dengan perempuan.

Dia pun balas kata-kata Zuki, Soekarno pun suka perempuan, tak ada pun kerana perempuan dia belot! Ha ha.

Kemudian Zuki membalasnya dengan ultimatum: Kau tu Sohil, bukan Soekarno. Kerana Soekarno ialah satu-satunya Soekarno.

Walaupun Zuki berkata begitu namun Sohil tahu Zuki bukanlah pengikut Soekarno. Zuki bukan orang kiri meskipun Zuki banyak juga bersetuju dengan idea-idea kiri. Untuk menampal cop kiri atau cop kanan di dahi, itu bukanlah Zuki.

Kadang-kadang ada juga Sohil merasa beruntung dapat berkenalan dengan Zuki. Setakat hari ini Sohil tak rasa segan mengaku kawannya Zuki ini ialah satu-satunya Zuki.

Bersambung.

  • Bahang Politik ialah tulisan bersiri dari cerita hidup semasa seorang warganegara bernama, Sohil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.