Rasa Hormat Yang Asli

Terima kasih, katanya. Matanya memandang ke mata orang yang diterima kasih. Kepalanya mengangguk perlahan seiring dengan kata-kata terima kasih.

Suaranya tidak terlampau perlahan, tidak terlampau kuat. Postur badannya selari dengan nada suara yang keluar. Tidak beragresif, tidak juga minta disimpati.

Memek mukanya menimbulkan wajah yang disenangi. Senyumnya tidak dibuat-buat. Memek muka dan senyum muncul dari dalam diri yang ikhlas berterima kasih.

Hubungan sesama manusia menjadi harmoni dari wujudnya rasa hormat sesama manusia. Satu daripada penyataan yang mewujudkan rasa hormat itu ialah berterima kasih.

Rasa hormat yang sebenar – ikhlas dan tulen – hanya bersandar pada, tidak pada satu pun perkara lain melainkan orang yang di depannya itu ialah seorang manusia.

Penulis novel kanak-kanak, Dr Seuss berkata:

‘A person’s a person, no matter how small.’

Seorang remaja yang ada rasa hormat pada seorang pakcik yang sudah setengah abad usianya bukan menghormati si pakcik tadi kerana usia. Atau lagilah malang jika pakcik tadi meminta dan berharap-harap dihormati kerana dia sudah berusia.

Jika rasa hormat diletak pada ukuran usia, maka ia tidak lagi memenuhi rasa hormat sebenar – yang ikhlas, yang asli.

Ia sebaliknya telah menimbulkan dua darjat. Yang tua berada di darjat sebelah atas, yang belum tua di darjat sebelah bawah. Hubungan antara dua darjat sukar mewujudkan hidup yang harmoni sesama manusia.

Sedangkan asal kejadian manusia itu sama. Penulis Clive Barker memberikan bidalan kata yang tepat di sini.

‘Everybody is a book of blood; wherever we’re opened, we’re red.’

Kanak-kanak dan remaja yang belum tua akan menemui kemuliaan sikap saling menghormati ini apabila perkara itu berlaku ke atas diri (hidup) mereka sendiri. Di mana bila diri mereka sendiri dihormati oleh orang lain yang bukan kanak-kanak dan remaja lagi.

Pendedahan ini ialah suatu pendidikan semulajadi dalam fasa tumbesaran mereka. Prosesnya organik. Apabila mereka sudah tidak kanak-kanak dan remaja lagi, mereka pula akan mengambil tempat orang sebelum mereka untuk terlebih dulu menghormati golongan yang masih kanak-kanak dan remaja lagi. Pengulangan pendedahan berlaku di sini.

Memberi arahan dan paksaan pula bukan suatu proses pendidikan semulajadi. Ia datang dari suatu kuasa yang dimainkan oleh pihak yang merasa mereka mempunyai kuasa untuk memberi arahan dan paksaan tadi.

Pihak ini lazimnya bersandar pada faktor usia, faktor kedudukan dan termasuk faktor hubungan darah keibubapaan. Mereka meminta, mengarah dan mengharap remaja dan kanak-kanak terlebih dulu menghormati mereka.

Albert Einsten tidak berkecuali mendedahkan sikapnya yang tidak bersetuju dengan permainan kuasa ini.

‘I speak to everyone in the same way, whether he is the garbage man or the president of the university.’

Jika golongan remaja dan kanak-kanak ini tidak mengikut kehendak mereka, kanak-kanak dan remaja ini akan diberi label yang buruk. Kata sifat seperti tidak beradab, kurang ajar, kurang pendidikan dilabelkan ke atas diri mereka.

Adakah permainan kuasa seperti ini boleh mewujudkan rasa hormat yang ikhlas? Yang betul-betul asli terbit dari pihak yang diminta supaya menghormati?

Tidakkah dalam apa jua keadaan, antara yang muncul dari kehendak sendiri berbanding dengan dipaksa dan diarahi, yang muncul dari kehendak sendiri itulah yang lebih harmoni?

Hanya rasa hormat yang timbul dari kehendak sendiri, yang sudah menjadi sebahagian dari peribadi, itulah rasa hormat yang asli.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.