Makna Hidup?

oleh Wandy

Pada satu momen dalam kehidupan boleh berlaku seseorang itu mula bertanya diri sendiri.

Apa makna hidup ini?

Di satu masa yang lampau, sangat lama dulu, saya juga pernah bertanya. Saya cuba menjawabnya sendiri, namun setiap jawapan yang keluar dari diri saya saya tak rasa itulah jawapannya.

Pada masa yang sama saya turut mencari jawapannya melalui buku-buku. Tidaklah waktu membaca buku saya solid meletakkan itulah tujuan saya. Namun persoalan itu sentiasa saja bermain-main dalam benak saya.

Jadi bila saya membaca, saya sentiasa cuba mengaitkan apa-apa yang saya jumpai melalui pembacaan itu dengan persoalan tadi.

Saya juga cuba mencarinya melalui pergaulan. Ada teman-teman yang saya anggap memiliki pemikiran tinggi dan turut berminat dengan persoalan ini, jadi saya dengan suka hati selalu bertanya mereka itu dan ini untuk mencari jawapan persoalan.

Pernah pada satu masa, masa itu saya masih muda bergetah, saya tergoda dengan permainan kata-kata yang menyungkil persoalan ‘apa makna hidup tadi. Penggunaan perkataan-perkataan yang bunyinya besar untuk menyiapkan jalinan kata-kata itu berjaya menghanyutkan saya buat seketika.

Waktu saya masih dalam tempoh hanyut itu saya ada berjumpa pula dengan idea-idea lain. Ternyata idea-idea yang saya baru jumpa itu telah memberi noktah kepada tempoh hanyut saya.

Idea-idea baru ini, baru pada diri saya, menjadikan saya tidak berminat lagi pada penggunaan perkataan-perkataan yang berbunyi besar, rumusan-rumusan pendek yang umum, dengung-dengung suara, tidak berminat pada gubahan plastik politik dan apa-apa saja yang satu kapal dengannya.

Kaitan darinya kepala saya jadi lebih ringan. Saya jadi lebih bebas. Kehidupan di depan saya, saya nampak tersangatlah luas.

Dan satu perkara lagi, daripada minat saya kepada buku-buku yang membahaskan falsafah, minat saya mula beralih kepada fiksyen. Novel.

Kemudian era internet sampai.  Saya jadi rasa, fuhhh, ini sesuatu yang luar biasa. Dengan capaian internet yang maha luas, sempadan fizikal yang sebelum ini menyekat saya untuk menambah pengetahuan roboh dengan sendiri.

Dengan enjin carian google, pengembaraan saya untuk mengetahui itu, mengetahui ini sudah tidak berbatas lagi. Hinggakan sampai pada keadaan masa yang saya peruntukkan duduk terperuk di depan skrin menjadi masa yang paling panjang berbanding dengan kegiatan hidup saya yang lain.

Dengan google saya pernah secara longgar mengolah kurikulum pengajian saya sendiri. Saya tahu saya boleh mencari kursus-kursus pengajian yang ada di universiti-universiti tersohor dunia, apa teks yang dipakai mereka, bagaimana evolusi pengajian itu sendiri dari satu tempoh masa ke satu tempoh masa yang lain dan apa-apa saja cabaran intelektual yang berkait dengannya.

Ya walaupun begitu saya masih sedar penerokaan pengetahuan di depan skrin tidak boleh dibandingkan dengan berada sendiri dalam bangunan fizikal di universiti-universiti tadi.

Saya tahu saya tidak akan dapat mengecap persekitarannya bagaimana. Saya juga tidak akan dapat mengalami sendiri dari indera pandangan, dari pendengaran, dari getaran akan dunia ilmu yang berpusat di situ.

Di masa itu, di masa saya cukup teruja dengan meneroka pengetahuan di skrin, saya mula tidak lagi tekun membaca buku. Dan bila tercetus pula perhubungan maya melalui media sosial, bila terciptanya smartphone, keghairahan saya untuk bermain-main dengan perkataan, menulis himpunan cerita dan idea yang boleh sekali pandang habis baca, darjah intensiti keghairahannya saya anggap agak boleh tahan juga.

Ekoran darinya, sekali lagi keseriusan meneroka pengetahuan melalui buku-buku tertinggal ke belakang oleh kesedapan segera bermain dengan perkataan di alam maya. Ia mengambil masa bertahun-tahun sehinggalah saya sedar semula.

Saya masih ingat buku apakah yang saya baca yang menjadi pencetus kesedaran semula itu. Saya tidak akan lupa saya membacanya dengan sekali harung dari muka surat terawal hinggalah ke muka surat penghabisan, dan saya juga masih ingat getaran yang berlaku ketika proses membacanya.

Daripada buku ini, darinya, perasaan cinta saya pada buku menjadi cair semula. Jadi saya kembali berpeleseran di kedai buku, kembali membeli buku, membacanya, mengumpul dan kembali beroleh rasa bahagia bila di meja, di lantai, di tilam berada bersama dengannya.

Setelah saya habis membaca buku tadi, ia sebuah novel, novel pertama dari penulisnya, saya kemudian turut menggali di carian google buku-buku lain yang ditulisnya. Saya juga membaca himpunan petikan darinya, hasil dari carian tadi.

Daripada satu petikan darinya lah, saya rasa jika ada orang bertanya saya atau saya sendiri ingin memuaskan diri saya dengan menjawab ‘apa makna hidup ini? jawapan spontannya ialah seperti di bawah.

‘Leonard bertanya jika ada sesuatu yang perlu saya tahu sebelum dia menghembus nafas terakhir, saya fikir tentangnya sekejap, berpaling ke arahnya dan tanya apa makna kehidupan Leonard?

‘Dia gelak, katanya itu suatu yang mudah anakku, ia apa-apa saja yang kamu nak ia jadi.’ ― James Frey, My Friend Leonard

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.