Cahaya Ramadhan

oleh Wandy

Baru sekejap tadi di benak saya pertanyaan ini timbul: adakah orang yang bernama Ramadhan hidupnya sentiasa disinari cahaya iman? Kemudian dengan segera saya menjawabnya. Saya jawab, tak, tak, ia bergantung pada hidup orang yang punya badan sendiri. Sama ada namanya Ramadhan atau Syawal atau April misalnya, bagaimana dia mengolah hidupnya itulah yang akan menentukan sama ada dirinya sentiasa disinari cahaya iman atau tidak.

Kemudian pertanyaan susulan muncul balik. Adakah tak ada langsung kesan dari nama baik-baik seperti nama Ramadhan tadi terhadap diri seseorang itu?

Saya menarik nafas. Saya ingin jujur dengan diri sendiri. Sekarang jawapan saya, tidak mustahil kesannya ada. Satu lagi jawapan saya ialah, saya memberat pada kesannya, ya, ada.

Bagaimana pula jawapan anda? Yang kebetulan pada masa ini sedang membaca?

Satu lagi jawapan yang boleh diperolehi ialah dengan membuat tinjauan empirikal. Semua orang yang bernama Ramadhan itu dikumpul dalam satu kelompok, kemudian tingkah laku mereka diukur dalam julat masa yang signifikan, kemudian dinisbahkan berapa bahagian yang masuk dalam kotak nilai-nilai baik, dan berapa bahagian pula yang masuk dalam kotak nilai-nilai yang berlawanan dengan nilai baik.

Akhirnya jawapan yang diperolehi adalah berasaskan bukti. Adakah mereka yang bernama Ramadhan itu lebih disinari cahaya iman atau tidak semestinya. Kebenarannya di sini duduk pada bukti.

Namun pembolehubah-pembolehubah lain pula tidak boleh dikesampingkan. Misalnya orang yang bernama Ramadhan itu membesar dalam persekitaran keluarga yang bagaimana. Bagaimana pula pendedahan sosialnya. Ini termasuk pendidikan yang dilalui. Dan yang lain termasuk juga bagaimana budaya dominan sekeliling yang melingkungi hidupnya.

Tanpa mempertimbangkan pembolehubah-pembolehubah ini, tinjauan empirikal tadi yang mengeluarkan jawapan berasaskan bukti boleh dicabar kebenarannya.

Sampai di sini, sekarang macam mana? Adakah saya masih memberat pada kesan nama baik-baik seperti nama Ramadhan itu ada pada hidup seseorang? Atau timbangan beratnya sudah turun, tidak lagi seperti di atas tadi?

Ya sekarang fikiran saya sedang berjalan ke arah membuka pintu perspektif. Perspektifnya dengan melihat perjalanan hidup seorang yang bernama baik-baik seperti nama Ramadhan itu.

Dengan andaian hidupnya panjang 60, 70, 80 tahun, kemungkinan besar pelbagai perkara telah ditempuh dalam hidupnya. Tidak mustahil dalam satu episod hidupnya dia mengalami sesuatu yang hanya dia yang tahu itulah titik-tolaknya. Dan tidak mustahil di situ dia mengaitkan dengan namanya Ramadhan, nama yang baik-baik diberi oleh kedua ibu bapanya, yang akhirnya memberi kesan untuk dirinya berubah.

Sebuah perubahan yang disinari cahaya Ramadhan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.