Malam Yang Sejuk

oleh Wandy

Sejuk, katanya. Sejak dari hari pertama Ramadhan kali ni setiap malam sejuk. Siang hari pun di tempatnya belum pernah lagi matahari terik, panas sepanjang hari. Bahangnya tak terasa. Tak ada sangat rasa dahaga jadinya.

Bagi yang tak buat apa-apa, masuk ofis tidak, jadi salesman pun tidak, duduk berkurung dalam selimut memang nyaman. Oh nikmat! Last-last sepanjang waktu berpuasa dari selepas subuh sehinggalah tiba maghrib untuk berbuka, masanya banyak terbungkam atas tilam.

Pada waktu ini dah lebih jam satu pagi suasananya dah semakin sunyi. Di depannya, di atas meja yang cuma dia berseorangan di meja, ada segelas teh yang dia pesan lebih kurang setengah jam tadi. Teh itu kira dah masuk gelas kedua dia minum malam ini.

Masa berbuka puasa tadi pun dia minum teh yang sama. Yang beza masa berbuka tadi dia minum yang berais, teh beng dia sebut dalam loghat hariannya. Yang ini dia minum yang panas. Namun tak ada lah sangat rasanya panas lagi. Hawa sejuk di sekeliling telah segera menurunkan suhu tehnya.

Dah lama, dah hampir 10 tahun rasanya, bila dia memesan teh di kedai minum, tehnya cuma dari adunan teh dan susu cair. Tak bergula, tak dicampur susu pekat manis. Dan ketagih tehnya cuma melekat di kedai minum yang dia tengah duduk sekarang ini. Di kedai lain dia angkat dua tangan, teh di sana bukan citarasanya.

Sekarang, rasa sejuk masih tak berubah. Sejuk, sejuk, sejuk. Walaupun memakai seluar pendek, seluar jeans yang dipotong sendiri panjangnya sedikit di bawah paras lutut dan dijahit semula kakinya, dia tetap juga berstokin serta berkasut. Jadi rasa sejuk sekarang tidaklah sampai menggosok-gosok manja ke kedua belah kulit kakinya.

Malam tadi, di kedai minum yang sama dia berada sekarang, dia berjumpa dengan satu penemuan baru. Di atas kerusi masa bersila, dengan fonnya di atas peha, dia menyentuh huruf di skrin dengan kedua tangan. Itulah penemuannya. Sebelum ini bila saja dia menyentuh huruf, dia cuma menggunakan satu tangan. Cuma tangan kanannya yang berfungsi. Tangan kirinya menjadi fungsi memegang fon.

Rentetan dari penemuan malam tadi, malam ini ibu jari di kedua tangannya dua-dua memainkan fungsi. Dua-dua menyentuh huruf. Dia rasa lebih okay. Dia jadi rasa lebih fokus dan sudah pastilah lebih cepat dia dapat menyentuh huruf, membina perkataan, seterusnya membentuk ayat.

Gembira?

Ya, ya, dia gembira. Haha.

Waktu tersengih sendirian dibuai perasaan gembiranya sekarang, dia tidak lagi berseorangan. Seorang kawannya, pekerja dapur di kedai ini datang dengan sepinggan mee hun untuk makan sahur. Dia bawa bersamanya dua ekor puyuh goreng. Mee hun goreng tanpa kicap hitam, orang kenal dengan nama mee hun goreng Singapore yang dipadan pula dengan puyuh goreng, nampak lazat.

Bila pinggan mee hun dan puyuh goreng terlepas dari tangan kawannya dan mengambil tempat di atas meja, meja yang sama dengan gelas teh yang dah pun kurang separuh dari isipadunya, kawannya yang masih berdiri menyeluk poket mengeluarkan sekeping nota 50 ringgit dan berkata.

“Ni, hutang malam tadi.”

“Aku tak ada duit kecik la Mal nak bagi baki. Bagi esok-esoklah.” Balasnya.

Pada malam tadi kawannya ada berhutang 5 ringgit untuk beli top-up. Dia masih ingat suara kawannya agak perlahan masa minta pinjam cuma 5 ringgit darinya. Dan dia tahu tujuan nak tambah top-up itu untuk apa. Cuma dia tak jumpa kat mana kebaikannya untuk dicerita.

Jika kawannya lupa atau buat-buat lupa, dia tak akan buka mulut untuk bertanya. Dia tak pernah percaya harga persahabatan antara kawan-kawan yang setiap hari bertembung mata, boleh disandar kepada beberapa keping duit ringgit, atau berapa jumlah batang rokok.

Cuma kata-kata tak ada duit kecik tadi keluar begitu sahaja dari mulutnya, dalam keadaan fikirannya sedang menfokus ke perkataan-perkataan di muka skrin. Dia tak ada niat untuk berbohong. Kerana di sebalik itu cerita sebenarnya ialah jumlah kertas ringgit di dalam dompetnya tak mencukupi pun untuk menghulur balik bakinya.

Di masa yang sama dia tak pula rasa bersalah setelah sudah bercakap tak benar dalam kes itu. Berapa jumlah kertas RM dalam poketnya tak apalah tak ada siapa yang tahu, walaupun yang tinggal katakan hanya bercetak angka 5 tanpa 0. Cuma lima ringgit kontang-kontang. Dia percaya kesukaran hidup bukan untuk diheboh-heboh. Apa lagi di belakangnya diam-diam terselindung niat untuk meraih simpati.

Namun itu tidaklah bererti dia tidak pernah meminta tolong dengan kawan-kawan dekatnya bila keadaan sangat tersempit. Dan bercakap berterus-terang. Yang dia cukup yakin dan percaya ialah bila seseorang itu dalam kesukaran, kesukaran wang ringgit umpamanya, kesukaran itu bukanlah kisah hidup untuk dijaja ke sana-sini hinggakan sampai boleh menjatuhkan harga diri.

Dia bersetuju dengan kata-kata dari Dejan Stojanovic.

“To hide feelings when you are near crying is the secret of dignity.”

Malam masih sejuk katanya, sambil bibirnya menarik senyum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.