Bahang Politik III

Sepanjang 10 hari puasa, Sohil rasa pengisian puasanya kali ini lebih baik dari tahun sudah. Solatnya terjaga. Dia tak bercakap banyak. Masanya da, da, da, da bergurau-senda dengan Mira diminimumkan seminimum mungkin. Semuanya berlaku dalam keadaan sedar. Bukan arbitrari.

Baru setengah jam tadi Sohil membaiki perhubungannya dengan seorang tua. Orang tua itu berketurunan Cina, Sohil panggilnya Apek. Kawan-kawan Sohil juga memanggilnya Apek. Jadi bila nama Apek itu dirujuk di tempat harian Sohil berada, dianya ialah orang tua Cina itu. Umurnya dah lebih 60 tahun, dia tinggal berseorangan di sini, keluarganya, dia ada anak dan isteri, menetap di negeri paling Selatan semenanjung tanahair.

Sebelum ini orang tua Cina itu aka Apek bekerja di sebuah restauran Cina. Kemudian sejak beberapa bulan lepas dia sudah pindah kerja dan kini bekerja di sebuah restauran masakan panas Melayu.

Kerjanya di dapur. Tetapi Apek bukan tukang masak, kecuali memegang senduk dan periuk masak untuk dia makan sendiri. Apek buat kerja-kerja am di dapur yang khususnya membasuh pinggan mangkuk.

Selainnya dia mengopek bawang, menyiang ikan-sotong-udang dan memotong kecil-kecil isi ayam. Itulah kerja am sehariannya. Berapa gaji yang dibayar oleh towkay restauran masakan panas itu untuk Apek, Sohil tidak tahu. Namun Sohil boleh agak berapa jumlahnya dan dia yakin agakannya itu tidak akan tersasar jauh.

Di kalangan kawan-kawan Sohil Apek agak popular. Dia jadi popular bukan kerana dia bekerja di restauran Melayu. Ya, Apek seorang Cina, umurnya sudah tua, kerja pula dengan majikan Melayu, namun sebab-sebab itu bukanlah sebab yang menjadikan dia popular.

Selain dari bekerja di restauran, Apek ini ada sumber pendapatan lain. Sohil tahu dari sumber ini dalam satu hari dia dapat jumlahnya lebih tinggi dari gajinya satu hari di restauran. Apek menjalankan bisnis gelap. Dia menjual rokok seludup. Bisnisnya ini sudah bertahan cukup lama.

Pada peringkat awal hubungan Sohil dengan Apek biasa saja. Tak ada apa masalah. Ok, ok, ok. Namun bila bisnisnya semakin maju, semakin maju, Apek menjadi terlebih-lebih berkira dengan Sohil dan pelanggan-pelanggan rokoknya yang lain, yang sebahagian besarnya kawan-kawan Sohil juga. Malah pernah keluar dari mulutnya dia berkata, ‘no money, no talk!

Pheww! Wah, wah, wahh…

Dari situ Sohil tidak melayan sangat lagi Apek Cina ini bila dia tersengih-sengih datang mempelawa rokoknya. Dan sampai ke satu tahap Sohil tidak lagi menegurnya bila berselisih dekat lorong. Ya, dia memang menjalankan bisnis rokok seludupnya di lorong. Kerana lorong ialah kawasan belakang kedai, tempat di mana pelanggan-pelanggan rokoknya melepak.

Dua, tiga hari sebelum puasa Apek telah ditahan di hospital. Kawan Sohil bagi tahu dia ditahan di wad ICU. Dan beberapa hari sebelum itu lagi dia memang nampak sangat tak sihat. Dia tercungap-cungap bila bercakap, sukar bernafas.

Aduhh, berdetik di benak Sohil. Kalau Apek ini meninggal di wad… tak sempat aku nak mintak maaf.

Dua hari lepas, nasib Sohil baik. Dia nampak Apek berjalan kaki dengan beg rokoknya disandang di bahu masa waktu dah nak masuk waktu berbuka. Sohil pula sedang berjalan kaki menuju ke sebuah restauran dengan kuih di tangan untuk berbuka. Restauran ini, oh! sebuah restauran yang istimewa buat Sohil. Tahun ini saja sudah masuk tahun ketiga dia berbuka di sana dan awak tahu, berbuka di sana setiap hari!

Jadi semenjak dari dua hari lepas dah dua kali dia bertegur-sapa dengan Apek. Muka Sohil tidak lagi tegang bila berdepan dengannya. Dan Apek juga bercakap dengan nada suara yang merendah diri, tidak seperti sebelumnya.

Setengah jam tadi dia berhenti depan Sohil yang sedang duduk melepak di lorong, dia buka rokoknya dan menghulur sebatang pada Sohil. Sohil ambik.

“Oooo… terima kasih Apek,” kata Sohil, “blend berapa sekotak sekarang? Tanya Sohil semula.

“Kalau dengan you 7 ringgit,” jawab Apek.

“OK, bak sekotak, besok saya bayar ya!” Minta Sohil dengan nada bersahaja.

“OK, boleh, boleh.” Jawab Apek. Suaranya juga rileks bersahaja.

——————————

nota: percakapan Sohil dan Apek mewakili dua orang manusia biasa, tidak disandar pada umur, profesion,, kepercayaan dan bebas dari elemen politik di antaranya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.