Tiada Tempat Untuk Politik

oleh Wandy

“Pakcik ikut isu semasa politik tak?” Walaupun tak sampai lima minit berkenalan, spontan saja keluar pertanyaan itu dari mulut saya.

“Ikut serius taklah, cuma bila ada ada isu yang bising sangat, cuba jugak ambik tahu,” balas pakcik yang dah hampir putih semua rambutnya atas kepala.

Saya dan pakcik rambut putih ini yang saya agak dah berusia lebih dari setengah abad sempat berkenalan di satu tempat yang kebetulan saya dengannya membawa tujuan yang sama.

Kami berdua berkenalan di sebuah balai, pergi ke balai memohon perjalanan rentas negeri. Saya mohon balik ke Kelantan, dia pula ke Terengganu. Dua-dua ke destinasi Pantai Timur.

“Kenapa adik tanya?”

Wah, dia berbasa adik kat saya, walhal umur saya masuk tahun ini dah cecah 30. Mungkin agaknya rupa luaran saya yang nampak selekeh sangat. Saya cuma berjeans pendek, saiz separas lutut dan menyarung baju T yang tak mungkin orang akan percaya saya membelinya di butik. Ini baju T yang tergantung di kemah pasar malam.

Pakcik rambut putih dengan saya ketika ini sedang duduk di sebuah bangku konkrit yang terletak di sudut sebelah kiri dalam jarak dua meter dari pintu balai.

Pada pagi ini himpunan pemohon untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri sangatlah ramai. Dalam congakan saya mereka yang sedang beratur itu jumlahnya boleh melebih 50 orang. Pakcik rambut putih dengan saya telah mengambil keputusan yang sama, tanpa dirancang, untuk duduk di bangku konkrit menunggu barisan yang sedang beratur kembali reda. Yang bermain dalam kepala saya, yang ini saya rancang, bila jumlahnya dah berkurang ke 10 orang baharulah saya akan masuk beratur.

“Saya rasa ramai orang Malaysia sekarang ini minat ikut cerita politik pakcik, tu la saja tanya pakcik, mungkin pakcik pun minat jugak.”

Dia, pakcik rambut putih cuma tersenyum bila mendengar jawapan saya. Dia juga gelak kecil-kecil.

“Adik ni belajar tinggi tak?” Dia bertanya lagi. Pertanyaan yang tak ada kaitan dengan isi perbualan asal.

“Takkanlah orang macam saya ni belajar tinggi, pakcik.” Saya jawab dengan pandangan saya tepat ke arahnya dan saya nampak tidak ada apa reaksi di wajahnya jadi saya berani berandaian dia tidak ragu-ragu dengan jawapan saya.

“Tapi adik ni masih muda. Sayangnya kalau tak sambung belajar lagi.” Dia memberi kaitan logik dari jawapan saya yang tak belajar tinggi, tak masuk universiti, yang seolah-olah apa yang dikatakannya sudah biasa keluar dari mulutnya.

“Mana yang lebih penting pakcik, belajar tinggi dengan duit banyak? Duit banyak sampai macam tuan milik roti Gardenia tu?”

Hanya Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary seorang sajalah yang saya tahu orang Melayu kaya dalam Malaysia ini. Saya jumpa maklumatnya di internet. Yang lain-lain semua Cina.

Pakcik berambut putih yang nampak dah agak selesa bersembang dengan saya tidak terus menjawab. Dia berpaling ke arah saya bersama bibirnya melerek senyum. Sukar nak agak kenapa pula dia tersenyum. Sedangkan pertanyaan saya bukannya lucu.

Waktu saya dan pakcik rambut putih ini sampai kat balai, langit dah nampak mendung. Memberi tanda besar kemungkinan hujan akan turun. Namun kerusi batu konkrit dengan meja bulat yang juga dari binaan konkrit tempat kami duduk itu terlindung di bawah kanopi. Kalau setakat hujan biasa-biasa, bukannya ada angin ribut yang menolak air hujan ke arah kami, kami berdua akan selamat. Tak perlulah bergegas berlari masuk ke balai.

Nak dijadikan cerita, belum pun sempat pakcik rambut putih menjawab pertanyaan saya, hujan turun.

“Dah hujan kita ni, pakcik.” Saya memecah suara di tengah bunyi hujan.

“Tak apalah, kita selamat. Kita duduk bawah kanopi.” Jawab dia.

Sebelum saya membalas balik kata-katanya dia pula sebaliknya yang menyambung bicara.

“Pakcik rasa tak kena kalau nak banding mana yang lebih penting, belajar tinggi nak jadi pandai, ada pengetahuan tinggi… dengan memegang duit banyak. Kalau kita tak belajar tinggi kita tak akan boleh faham kejadian hujan. Sebab ilmu pasal hujan itu kita tidak kuasai. Hanya dengan kita kuasai ilmunya baharu kita boleh bebas dari sebarang sekatan, sebarang halangan yang wujud dalam kehidupan kita.

“Misalnya boleh bersedia dari awal bila diramal banjir besar akan berlaku. Kalau kita tak ada ilmu, tak ada ilmu iklim, tak ada ilmu fizik dan sebagainya, jadi macam mana kita nak tahu? Tanpa duit banyak pula kita susah nak buat persediaan, nak tanggung segala macam kos, nak buat itu dan ini.

“Dua-dua perlu ada. Sama-sama penting pada pendapat pakcik.”

Susunan jawapan dari pakcik berambut putih ini menyebabkan saya tak mendengar pun bunyi hujan yang turun, sedang jatuh di atas kanopi.

“Politik macam mana pula, pakcik? Penting ke dalam urusan hidup kita hari-hari pakcik? Saya undur balik dengan bertanya ke topik asal.

“Kalau politik itu dirujuk pada bagaimana pakcik dengan adik hari ini kebetulan berjumpa, dapat pula berkenalan sesama manusia dan mengisi perkenalan dengan topik yang kita bercakap tadi, jadi tak ada, tak ada tempat untuk politik di sini.”

Saya diam mendengar jawapan daripada pakcik berambut putih. Dan kepala saya mengangguk.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.