Di Sana Ada Cerita

Waktu ini di sebuah masjid yang berjarak tak sampai pun 100 meter dari tempat saya berada umat Islam sedang solat terawih. Bila saya bangun dari kerusi saya akan nampak deretan kereta penuh memenuhi tapak parking, kereta yang menjadi milik kepada makmum yang sedang bersolat terawih.

Malaysia ini sebuah negara kaya, misalnya kalau ada orang luar datang ke sini, lebih-lebih lagi orang itu dari belah dunia ketiga, dia akan mengangguk jujur setuju bila melihat deretan kereta yang sedang memenuhi tapak parking. Padanya itu boleh menjadi satu tanda bahawa Malaysia sebuah negara kaya.

Ia bukan setakat berkait dengan deretan kereta yang banyak. Malah matanya juga dapat menyaksikan deretan kereta tadi sebahagian besarnya bermodel baru. Bukan deretan kereta yang bodynya sudah hampir nak runtuh.

Dan bila dia melangkah masuk ke dalam masjid, dia akan merasa sejuk. Sebahagian besar masjid utama di sesebuah daerah di Malaysia adalah berhawa dingin. Bila masuk di ruang solat, terus jadi rasa selesa. Sekali lagi dia akan mengangguk tanda setuju bahawa negara Malaysia ini sebuah negara kaya dalam peta dunia.

Bagi orang Malaysia sendiri yang tak pernah pun keluar ke negara lain, bagaimana agaknya perasaan dia bila seorang asing di depannya memuji-muji Malaysia ini sebuah negara kaya, makmur dan selamat untuk ke mana sahaja?

Kalau diri anda ialah orangnya, orang yang tak pernah sekali pun melangkah keluar dari sempadan Malaysia, apa perasaan anda agaknya?

Saya pernah mendengar suara pujian dari orang luar yang bekerja dan menetap di sini. Cuma dia bukan berasal dari sebuah negara miskin dunia ketiga, sebaliknya dia dari sebuah negara maju yang kaya di Eropah.

“Malaysia ni kira okay,” katanya, “cuba tengok pokok-pokok di tepi jalan, pokok-pokoknya terurus.”

Masa itu saya yang sedang memandu kereta dan dia berada di kerusi sebelah penumpang kereta.

“Oh, tentulah tak sama dengan negara you. Kat sana orangnya maju, lagilah terurus,” balas saya.

“Banyak dah yang sama,” katanya semula memberi penegasan.

Bagi mereka yang biasa terdedah dengan kehidupan di banyak tempat di atas dunia ini, besar kemungkinan mereka juga turut mengakui bahawa negara Malaysia sudah pun berstatus negara kaya bila diletakkan bersama dalam kelompok negara dunia ketiga. Malaysia juga aman dan Malaysia juga berada dalam senarai negara yang menjadi lubuk pekerja-pekerja asing tanpa kemahiran datang bekerja.

Sebagai contoh kumpulan pekerja asing yang beragama Islam, khususnya yang datang dari Kerala India, mereka memberitahu Malaysia ialah destinasi kedua selepas Dubai, UAE untuk mereka datang bekerja. Bagaimana anggapan terhadap Malaysia di kalangan pekerja asing dari Bangladesh pula boleh dikatakan bukan lagi satu berita untuk menjadi berita.

Malah di sebuah tempat di Peshawar, Pakistan orang dari sana memberitahu orang Malaysia katanya mungkin terkejut bila berada di sana kerana ramai dari kalangan mereka yang boleh berbahasa Melayu. Ini menjadi bukti bahawa penduduk di sana menganggap Malaysia ialah lubuk emas untuk mereka merantau mencari rezeki di tempat orang.

Pada masa sama ada sebahagian orang Malaysia yang menjadikan kata-kata ‘Malaysia ini aman, Malaysia boleh, kaya dan sebagainya sebagai bahan sindiran. Menjadi satu modal sindiran untuk mereka tujukan kepada pihak-pihak yang tidak sependapat, lebih-lebih lagi terang-terang tidak sependapat dalam isu-isu politik.

Namun sindiran mereka tidak akan menukar menjadikan Malaysia yang aman tiba-tiba pada keesokannya Malaysia bertukar menjadi tidak aman. Atau menjadikan kesenangan hidup dengan memiliki kenderaan sendiri, dapat selesa membawa mereka ke masjid untuk solat terawih di bulan puasa ini, tiba-tiba kesenangan itu lenyap pada keesokan hari.

Di sana, di tempat-tempat lain di atas dunia ini ada pelbagai cerita. Di negara-negara pekerja asing yang datang bekerja di sini juga ada segala macam cerita. Sebahagian besarnya ialah cerita tentang kesukaran. Kesukaran untuk hidup, untuk survive.

Berdepan dengan kesukaran itu menjadikan mereka ingin keluar, mereka ingin mengubah nasib di tempat baru yang kehidupannya tidak lagi sesukar di tempat asal mereka.

Dan salah satu dari tempat baru itu ialah Malaysia. Di sini mereka ingin menukar kesukaran menjadi kesenangan. Sebahagian besarnya telah pun berjaya. Dengan kejayaan ini ia menjadi inspirasi pula kepada yang lain untuk terus datang ke Malaysia, untuk menukar kehidupan sukar mereka menjadi tidak sukar lagi.

Bagi orang Malaysia sendiri yang tidak pernah merasa kesukaran ini, tidak pernah keluar ke tempat-lain untuk melihat kehidupan di sana bagaimana, orang Malaysia ini mungkin berfikir bahawa sebaik mereka ditimpa kesusahan sedikit, kesusahan mereka itu sudah tidak ada tolak bandingnya.

Sayang sekali, kerana di negara-negara yang betul-betul susah, kesusahan sekejap yang ditanggung oleh mereka ini, di sana adalah suatu perkara yang biasa berlaku setiap hari yang mungkin tidak pun dianggap susah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.