Bahang Politik IV

Pergaulan hidup menimbulkan pelbagai cerita. Sebuah cerita baru, cerita sama yang berulang dan boleh berlaku cerita yang timbul itu tidak dijangka sama sekali.

Seorang yang mengambil jalan selamat dalam hidupnya, biasanya cerita yang bakal timbul sudah mudah dijangka. Kemungkinan besar cerita yang tidak dijangka berlaku susah untuk berlaku walaupun itu bukan jaminan dari tidak berlaku. Cuma kebarangkaliannya selalunya kecil, kerana jalan selamat yang sudah dipilih tadi.

Bagi yang memilih jalan hidup yang menyimpang dari jalan selamat, kemungkinan untuk berlaku perkara yang tidak dijangka berlaku lebih terbuka kemungkinannya. Dan mereka yang secara sedar memilih jalan ini mereka tahu kalau bukan besok, mungkin lusa, kalau bukan lusa, mungkin tulat, kalau bukan tulat, mungkin hari selepasnya. Di sini mereka maklum, kemungkinan itu sentiasa terbuka. Ada.

Baru sekejap tadi seorang kawan Sohil mendedahkan padanya satu rancangan gelap untuk membalas dendam. Rancangan untuk membalas dendam ini bukannya baru malam ini Sohil tahu. Dia sudah pun tahu ceritanya sejak beberapa hari lepas lagi. Cuma kali ini modus operandinya sudah dikenal pasti. Daripada berskala umum, bertukar jadi spesifik.

Semasa kawannya membentang modus operandi itu, Sohil tidak merespon apa-apa. Dia cuma diam. Mengangguk ya, tidak. Menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju pun tidak. Sohil tahu, bukan setakat tahu, malah cukup maklum satu persatu, detail, bagaimana jalan cerita sampai kawannya bertekad untuk membalas dendam. Memberi respon tidak hanya akan memotong darah muda kawannya dan Sohil pula akan dipandang pelik. Kalau pun tidaklah sampai dicop belot.

Selepas itu Sohil menapak kaki beredar dari tempat kawannya menuju ke sebuah surau. Dalam perjalanan singkat yang tak sampai lima minit untuk sampai ke surau, dalam kepalanya masih tergantung modus operandi dari mulut kawannya tadi. Menjadi suatu unfinished business.

Ah, macam mana? Macam mana? Macam mana? Aku baik diam saja, atau aku nak halang? Soalan-soalan itu tak sudah-sudah mencucuk kepalanya.

Katalah dia ambil keputusan memberitahu cerita ini pada Mira, minta buah fikiran dari orang yang istimewa dalam hidupnya, dia 100% yakin Mira akan berkata, “awak bagi tahu kawan awak takyah buat, batalkan saja.”

Mira mungkin akan menyambung, “minta dia cari jalan lain Sohil, banyak lagi cara lain yang tak sampai melibatkan banyak pihak, tak langgar undang-undang.”

Dan jika apa yang dicakap oleh Mira itu dia suarakan pula ke telinga kawannya, tentu sajalah kawannya akan cakap, “Sohil, aku tahu, aku tahu, aku sedar semua tu…” dengan bibirnya yang sinis tersenyum. Sohil cukup yakin itulah kata-kata yang akan keluar dari mulut kawannya.

Sekarang jam sudah menunjukkan pukul 10, 10 malam. Sudah dua jam berlalu dari saat dia mendengar modus operandi keluar dari mulut kawannya. Deretan kereta makmum yang solat terawih sudah nampak lengang. Sohil kini kembali berada di sebuah kerusi, kerusi di pot harian dia dan kawan-kawannya melepak malam.

Tiga orang kawannya, termasuklah sekali kawan yang merancang membalas dendam itu sedang duduk santai di kerusi dengan masing-masing ada setiap seorang segelas minuman di meja. Salah seorang darinya, Sohil tahu, minuman yang sedang diminum itu bukanlah yang dipesan dari dapur, sebaliknya ialah air dari rebusan daun. Warnanya keruh. Air ketum.

“Minum Sohil…” pelawa kawannya sambil menolak gelas yang berisi air rebusan daun itu.

“Tak lah. Minum je, takde hal.’ Balas Sohil, senyum, bernada rileks bersahaja. Kawan yang cuba mengacahnya tahu Sohil bukan hidup dengan ketum.

“Kau tak ada cerita kat sapa-sapa benda yang aku cakap tadi, kan!” Kali ini kawan dengan modus operandi mencuit suara dituju kepadanya.

“Tak ada sapa aku jumpa sejak tadi, Am. Belum ada calon lagi aku nak buka cerita, ha ha ha.” Sohil jawab spontan. Gelaknya juga spontan. Sekali jalan.

“Uuhh! Balas balik Am dengan menaikkan kulit pipinya memandang ke arah Sohil.

Semua yang berada di meja tahu tentang rancangan gelap Am, yang kini cuma menunggu hari dan waktunya saja yang sesuai. Termasuk Sohil, termasuk Am sendiri, jumlahnya yang tahu seramai empat orang. Dan jumlah ini takkan bertambah, itu Sohil yakin.

Dalam kepala Sohil ketika ini, fikirannya masih terpecah-pecah. Sama ada dia nak halang, sama ada dia biarkan sahaja, sama ada dia di waktu yang tepat, di tempat yang sesuai, di saat fikirannya cukup bulat dan utuh, di saat hanya dia berdua sahaja dengan Am, dia akan perlahan-lahan dan jujur memberitahu Am buah pendapatnya.

Jika keputusannya nanti dia akan bercakap dengan Am, memberitahu buah pendapatnya itu, dia sedar langkah yang diambilnya sudah melibatkan elemen politik. Kerana dia akan mempengaruhi Am supaya tidak meneruskan modus operandinya. Daripada awal lagi Sohil tidak bersetuju. Cuma dia mengambil pendekatan diam.

Dari perspektif hidup bebas Sohil, perspektif yang sudah agak lama memandu dan mengolah perjalanan hidupnya, dia menolak elemen-elemen politik sama ada sekadar bermain dalam kepalanya sahaja, apa lagi dalam tindakan. Dia cenderung percaya sebarang elemen politik dalam pergaulan hidup manusia lebih banyak mendorong kepada kerosakan.

Dalam kes kawannya Am, Am mempunyai asas kuat untuk bertindak. Bukan timbul daripada sentimen atau sekadar hutang 100, 200 ringgit yang boleh saja diabaikan daripada membuat modus operandi membalas dendam. Malah dari setiap inci jalan ceritanya sehinggalah ke malam ini, Sohil benar-benar tahu Am di pihak yang benar. Dan betapa jahatnya pihak itu sehingga merosakkan hidup Am. Masa depan kawannya, Am.

Sekarang Sohil menarik nafas panjang. Dia masih di persimpangan.

– bersambung

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.