Malu?

oleh Wandy

Selalu dengar orang kata, ‘malu la, malu la kat orang…’ keluar daripada lidah mereka yang masih kanak-kanak sampailah yang dah berusia tua. Kata-kata malu itu keluar tidak mengira waktu. Di siang hari keluar, di malam hari pun keluar dari mulut mereka.

Sekejap tadi telinga saya dengan jelas menangkap bunyi suara, ‘malu la, malu la,’ keluar dari mulut salah seorang dari empat orang yang sedang bercakap. Mereka bercakap sambil membuat kerja, membasuh perkakas-perkakas kerja selepas selesai berniaga di bazaar ramadhan.

Kata-kata malu tadi mengusik saya. Fikiran saya cuba mengaitkan kalaulah saya berada di tempatnya, terbabit sama dengan kejadian yang boleh menimbulkan rasa malunya, adakah saya akan turut merasa malu? Adakah akan keluar dari mulut saya kata-kata malu, saya malu, malu?

Namun saya tidak pergi bertanya pada orangnya cerita apa yang boleh menimbulkan rasa malunya sampai dia menyebut rasa malu, malu tadi berkali-kali. Jadi saya belum tahu, sekurang-kurangnya di waktu ini, sama ada saya akan turut merasa malu atau tidak malu.

Apa yang saya tulis di atas tadi…

‘Fikiran saya cuba mengaitkan kalaulah saya berada di tempatnya, terbabit sama dengan kejadian yang boleh menimbulkan rasa malunya, adakah saya akan turut merasa malu? Adakah akan keluar dari mulut saya kata-kata malu, saya malu, malu?

‘Namun saya tidak pergi bertanya pada orangnya cerita apa yang boleh menimbulkan rasa malunya sampai dia menyebut rasa malu, malu tadi berkali-kali. Jadi saya belum tahu, sekurang-kurangnya di waktu ini, sama ada saya akan turut merasa malu atau tidak malu.’

…hanyalah benar dalam cerita hidup saya 20 tahun lampau. Ya, saya masih terusik dengan bunyi suara malu, malu, malu yang saya dengar itu. Tinggal lagi ia tak lebih dari itu. Ia berhenti setakat di situ.

Jadi hari ini, tidak seperti 20 tahun dahulu, saya tidak akan cuba meletakkan diri saya di tempatnya. Saya tidak akan mencari jawapan sama ada saya malu, atau tidak malu.

Kerana saya sudah ada jawapannya. Walau apa ceritanya yang sampai menyebabkan orang itu jatuh malu, untuk diri saya, saya tahu, saya tak akan malu.

Manusia

Dalam kejadian saya sebagai manusia, ada beberapa perkara yang saya letakkan sebagai perkara-perkara ‘alami’. Dengan kejadian saya sebagai manusia, perkara-perkara ‘alami’ itu adalah wujud bersekali dengannya.

Misalnya menyentuh perkara biologikal, saya tidak boleh menipu diri sendiri apabila saya jatuh letih, saya sebaliknya berkata pada diri saya yang saya tidak letih. Itu mustahil.

Atau apabila pundi kencing saya sudah penuh dan saya pun ingin menyelesaikannya di longkang lorong atau bilik air, saya tidak boleh untuk menidakkannya. Saya boleh untuk menahannya buat seketika, namun selagi saya tidak menyelesaikannya, selagi itulah permintaan untuk menyelesaikannya berterusan menguasai diri saya.

Bila dah selesai, ya, keadaannya pun okay. Sebelum perkara alami lain, misalnya lapar atau dahaga pula muncul untuk diselesaikan.

Jadi beberapa perkara alami ini, sama ada biologikal atau bukan biologikal adalah sudah ada bersekali dengan kejadian saya – seorang manusia. Jika anda juga seorang manusia, bukan sebatang robot, maka perkara alami ini juga ada bersekali dengan kejadian anda.

Perkara alami yang bukan biologikal ialah gembira, sedih dan marah. Tidak ada siapa boleh menipu diri sendiri bahawa ada sesuatu kejadian hidup yang membuatnya jadi gembira. Misalnya seorang pakwe pada waktu berbuka puasa tadi dapat berdating berbuka dengan makwenya, yang peristiwa ini ditunggu-tunggunya sejak dari hari pertama puasa.

Bayangkan bila sudah masuk hari ke 22 puasa baharulah apa yang ditunggu-tunggunya itu menjadi kenyataan. Sudah selama 22 hari berlangsung proses menunggunya dan sebaik kedengaran azan maghrib tadi ia terlaksana. Pakwe itu mungkin masih tersenyum-senyum seorang pada ketika ini walaupun makwenya sudah lama pulang ke rumah.

Sedih dan marah juga sama. Ia berlaku, ia dirasa oleh seseorang Itu bila sesuatu peristiwa yang ada kaitan dengan sedih dan marah menimpa dirinya.

Malu

Ada orang bila duduk bersendirian di sebuah cafe, tak ada siapa yang dikenalnya di sana, menghirup kopi seorang diri, kemudian bila dia balik ke rumah dia bercerita kepada teman serumahnya peristiwa Itu.

Katanya waktu dia berseorangan dia merasa banyak mata lain yang memandang padanya. Katanya hanya dia yang berseorangan, semua pelanggan lainnya berteman.

‘Aku rasa malu la, aku cepat-capat habiskan minuman dan aku pun belah dari situ.’ Dia meluahkan rasa malu pada teman serumahnya.

Di sini saya tahu, saya biasa mendengar cerita orang yang rasa kekok, rasa tak selesa, tak boleh duduk berseorangan di kedai minum. Sebahagiannya juga meluahkan rasa malunya berada dalam keadaan Itu. Mereka malu terhadap hal sendiri yang tidak berkait apa-apa pun dengan mana-mana orang lain.

Apabila seseorang itu merasa malu, rasa malu itu akan dikaitkannya di sini dengan orang lain. Tidak pernah berlaku misalnya dia rasa malu pada sebatang pokok atau seekor kucing yang sedang memandangnya. Ini tidak berlaku.

Macam-macam mana pun rasa malu itu akan dikaitkan dengan orang lain. Rasa malu kerana pakaiannya tidak sejenama dengan kawan-kawan harian, rasa malu keretanya model lama, rasa malu kerana paras rupanya tidak sehandsome atau se-cun kawan-kawan satu geng, rasa malu kerana ramai yang menonton kakinya tergelincir di pintu masuk, rasa malu kerana, kerana, kerana yang tidak habis untuk dilampir di halaman penyu ini.

Di sini, satu perkara yang tidak boleh diubah ialah, walau apa sekali pun perkara-perkara yang menimbulkan rasa malu tadi, ia tetap tidak ada kena-mengena pun dengan urusan hidup orang lain. Jika seorang itu bernama A, itu ialah hidup A. Jika B, itu ialah hidup B. Perasaan malu di antaranya, antara si A dengan B, boleh dianggap hanya perasaan atas angin.

Malu bukan perkara alami yang bersekali wujud dengan kejadian saya, awak dan orang lain – sebagai manusia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.