Bahang Politik V

Selain dari menonton kelayakan bola Piala Dunia, masa Sohil lebih banyak berseorangan daripada berteman. Mira, gadis kesayangannya, tidak lagi berada dalam negara. Seminggu selepas hari raya yang lepas, Mira terbang ke Manila mengikut makciknya yang mempunyai perniagaan di sana.

Makciknya mempunyai sebuah cawangan agensi pelancongan di ibukota negara Filipina itu. Oleh kerana pandemik yang ganas melanda Manila, makciknya tidak mampu lagi menampung tiga orang pekerja tempatan yang bergaji tetap di sana.

Setelah hampir tiga bulan gaji pekerjanya tertunggak, makciknya membuat keputusan untuk memberi cuti sementara kepada mereka dengan membayar setiap bulan elaun kemanusiaan, dengan angka jumlah pesonya tidaklah banyak, namun cukup untuk memenuhi keperluan asas harian mereka.

Untuk memastikan agensi pelancongannya tidak berkubur, makciknya telah mengajak Mira menemankan dia ke sana membantu apa yang perlu.

Sohil masih ingat sebelum Mira bertolak ke sana dia ada memberitahu Mira tak perlulah sampai pindah ke Manila untuk menguruskan agensi pelancongan makciknya. Dengan jaringan teknologi hari ini, semuanya boleh diuruskan dari KL, kata Sohil.

Respon Mira singkat saja bila Sohil suarakan hal itu.

“I nak kenal Manila, awak. Nak rasa kehidupan kat sana macam mana.”

Apa yang boleh Sohil katakan lagi dengan respon Mira yang cukup individualis itu? Sohil cuma mengangguk-ngangguk tanda merelakan Mira akan meneroka hidup baru di dalam masyarakat berbahasa Tagalog, di Manila.

Apa yang berlaku pada tiga orang staff makcik Mira di sana, itulah juga yang berlaku pada Sohil di sini. Setelah PKP penuh diumumkan oleh kerajaan pada 1 Jun lalu, Sohil sendiri hilang punca mata pencarian. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tempat dia bekerja tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu.

Ini ditambahkan lagi sengsaranya kerana dia bukanlah staff tetap yang mempunyai caruman KWSP, Perkeso dan faedah-faedah yang lain. Dan yang paling mengharukan dia turut mendaftar nama untuk mendapat sedikit bantuan yang dihulur oleh kerajaan. Satu perkara yang tak pernah pun terlintas di fikirannya sebelum ini, apa lagi nak mendedahkan butiran diri memohon bantuan.

Untuk memujuk, menyedapkan diri sendiri Sohil berbisik, “tak mengapalah, tak mengapa… ini krisis global, bukannya diri aku yang jadi punca penyebabnya.”

Cuma yang buat dia jatuh hairan ialah, tidak seperti di tempat-tempat lain, di Malaysia ini orang politik masih tak sudah-sudah berpolitik meskipun sedang dilanda pandemik yang maha dasyat.

Cerita majoriti cukup-majoriti tak cukup, cerita mengesyor menteri meletak jawatan kerana tak mahu lagi berada dalam perikatan, cerita darurat katanya untuk mengekal kuasa politik dll yang seolah-olah cerekarama politik itu lebih utama dari pandemik yang telah mengorbankan hampir 4 juta nyawa di atas dunia ini.

Waktu Sohil menghantar Mira ke pintu grab yang akan membawa Mira ke airport, mereka berdua berpeluk ringkas sebelum Mira bertolak. Tidak ada airmata yang mengiringi pelukan mereka. Mereka berdua masih tersenyum seperti hari-hari biasa yang mengisi hubungan mereka.

Dan semasa dalam pelukan itu, Mira sempat berbisik, “awak jangan pula sibuk tanya saya pasal politik kat sana ya, saya tak nak ambik tahu.”

Sohil tersenyum mendengar suara Mira dan membalas, “ya, ya, saya janji, janji tak akan tanya.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.