Ini Bukan Jalan Penyelesaian

Hari ini pemain-pemain politik semasa – khususnya ahli-ahli parlimen, para adun, termasuk sekali pemegang jawatan dalam parti masing-masing – setiap tidak-tanduk mereka boleh diukur dengan jelas berkait dengan dua persoalan kritikal ini –

I. Persoalan hidup dan mati penduduk negara kita.

II. Persoalan kesukaran hidup yang sedang dihadapi sebahagian besar penduduk negara kita.

Ukuran tindak tanduk mereka terhadap dua persoalan kritikal ini pula boleh dibuat perbandingan dengan persoalan kuasa. Iaitu kuasa untuk menguasai tampok pemerintahan negara.

Pada diri anda, cerita harian politik mereka yang bung-bang-bung-bang tak berhenti setiap hari, agaknya memberat ke mana?

Adakah memberat kepada dua persoalan kritikal tadi, atau memberat ke arah merangkul kuasa?

Daripada bermulanya peralihan tampok kuasa tahun lalu, dengan suara sinis dan cemuhan ‘kuasa telah dicelok dari pintu belakang, gegak-gempita cerita politik daripada kelompok mereka ini tak pernah lagi ada genjatan. Apa lagi genjatan untuk duduk bersama memerah idea dan merencana tindakan demi kepentingan dan kebaikan penduduk dan negara.

Peristiwa terbaru yang berlaku ialah apabila Baginda Sultan meminta pemain-pemain utama politik ini mengadap Baginda setiap seorang untuk berbicara mengenai suatu cabaran besar yang sebelum ini belum pernah lagi berlaku di dalam negara.

Susulan dari itu apa yang berlaku ialah bukannya menjurus kepada betul-betul untuk mengurus seterusnya melakukan tindakan yang terbaik demi menyelesaikan cabaran (permasalahan) besar tadi.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah polemik tentang pihak manakah yang benar-benar faham apa yang dimaksudkan oleh Baginda.

Dan yang kedua, antara pihak Istana dan Eksekutif itu, pihak manakah nanti yang akan memegang tangan akhir untuk memutuskan kesudahannya. Muktamadnya. Ini telah mencetus polemik yang amat kencang.

Bagi orang-orang biasa yang sedang berdepan dengan dua persoalan kritikal tadi i) nyawa ii) kesukaran hidup – polemik yang sedang hangat berlangsung, cabar-mencabar yang sedang dilaung-laung, dakwaan-dakwaan hanya pihak kitalah yang paling benar – ianya tidak membantu apa-apa untuk orang-orang biasa ini, yang mana diri merekalah yang mewakili golongan majoritinya dalam negara.

(Saya tidak fikir saya dan kawan-kawan seangkatan saya, sebaik mendengar polemik ini maka ianya akan membuka jalan penyelesaian kepada persoalan nyawa dan kesukaran hidup yang berada di depan mata.

Pada kami ia tidak lebih sekadar permainan untuk mendapat kuasa dan melayan keseronokan / hiburan mental pihak-pihak yang tidaklah seserius kami berdepan dengan kesukaran hidup dan persoalan nyawa tadi)

Harapan besar dari orang-orang biasa ialah pemain-pemain politik ini boleh duduk bersama. Tidak semestinya dengan duduk bersidang di parlimen. Perkara paling mendesak pada waktu ini bukanlah duduk bersidang di parlimen untuk menonjolkan siapa yang paling jaguh bercakap dan blok manakah nanti akan memperolehi undi terbanyak.

Selepas masing-masing sudah mengadap Baginda, pergilah duduk bersama memerah otak mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap dua perkara kritikal ini. Kemudian bersidanglah di parlimen untuk menjadikan ianya sah selari dengan peruntukan perundangan negara.

Jika sekadar jaguh di depan media atau sekadar mengeluarkan kenyataan akhbar, itu tidak ada memberi kesan apa-apa. Sepuluh, dua puluh, tiga puluh kenyataan akhbar boleh dibuat dalam masa satu hari dan pihak lain juga boleh buat perkara yang sama.

Polemik bukan jalan penyelesaian, tuan-tuan. Cabar-mencabar juga bukan jalannya. Dakwaan-dakwaan paling pandai, paling benar, paling bijak jauh sekali menjadi inti kepada pemahaman dan penyelesaian.

Yang akan mendorong kepada penyelesaian ialah keluasan pengetahuan dan kejujuran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.