Bahang Politik VI

“Aku ingat lepas Raya Haji ni aku nak ubah rutin,” kata Sohil.

“Rutin apa pula ni?” Zuki dengan gelak-gelak bertanya balik.

“Kalau rutin kau nak ubah tu kau nak bangun pukul 5 pagi setiap hari, hehe, aku rasa telinga aku ni dah letih merayu-rayu… tolong la, tolong la Sohil, dah la, jangan la cakap lagi, ha ha!”

“Hei, bukan itu la yang aku maksudkan,” balas Sohil kembali, tersengih-sengih bibirnya ekoran sindiran Zuki tadi, “kali ni bab lain kau tahu, yang ini episod baru, belum pernah terbit.”

“Ohh, belum pernah terbit kat mana-mana perhimpunan ya? PAU ke, sesi parlimen ke? MKN ke? Belum, eh?

“Ya, encik Zuki. Belum!”

“Wah, ini kalau nak diukur darjah intrigue ni, mesti tinggi ni!”

Habis saja kata-kata dari Zuki, Zuki dan Sohil bergelak serentak. Hanya suara gelak mereka yang mengisi bunyi di lorong belakang bangunan kedai sekarang. Tak ada siapa pun, melainkan mereka berdua. Walaupun waktu sekarang ini masih awal, belum masuk pun lagi pukul 10, keadaan sekeliling telah sepi. EMCO. PKPD.

Zuki sampai ke tempat Sohil pada lewat petang tadi. Meskipun Zuki dan Sohil tinggal di daerah berbeza, tempat tinggal mereka masih dalam peta negeri yang sama. Daerah mereka bersebelahan, namun tak semua di antara daerah yang dikenakan sekatan ini, ada sekatan jalan raya. Jadi Zuki boleh sampai ke tempat Sohil tanpa sekatan. Ya, Zuki telah melanggar undang-undang. Dia melanggar undang-undang dengan menaiki Grab ke tempat Sohil petang tadi.

“OK sebelum kau nak bagi tahu aku pasal penerbitan rutin baru kau tu, kau dah dapat temujanji cucuk vaksin ke belum?”

“Aku sudah. Tiga minggu lepas lagi dah cucuk, Sinovac, untuk dos pertama, dos kedua belum la. Aku ada mesej kau apa, tapi tak sampai, macam talipon kau mati masa tu, lepas tu kau senyap terus.”

“Ya, ya, masa kau mesej hari tu aku ada terlibat dengan kisah sedih. Talipon aku berkecai jatuh masa aku atas motor. Baru kelmarin aku dapat beli yang baru. Ni, Redmi yang paling murah, aku beli, tiga ratus lebih. Yang nasib baiknya kau tahu dua hari sebelum aku beli talipon ni ada mesej MySejahtera untuk aku pergi cucuk vaksin. Lepas beli aku terus muat turun MySejahtera. Aku log masuk, pop, dapat mesej. Nak tahu bila tarikhnya? Baru pagi tadi, he he. Kalau tak, hmm, melepas la.”

“Okay la kalau macam tu. Maknanya kita berdua ni dah ada perisai. Ada la jugak berbanding satu dos pun belum cucuk.”

“Kita sekarang bukannya duduk di tempat tertutup. Jarak kerusi kau dengan aku pun dah lebih satu meter, kan! Yang aku faham ini lagi penting dari dah ada perisai cucuk satu dos.”

“Iya, ya, tuan Zuki. Aku nak pinjam lighter kau pun kau mintak aku naik ke atas ambil lighter sendiri tadi. Kau memang betul-betul jaga.”

“Aku jaga kau la maksudnya tu. Jika jari aku ni dah terlekat virus, kau pun free, free dapat sama.”

“Ha ha, tak jugak la. Orang cakap apa, vice-versa? Kalau jari aku pulak yang ganti jari kau terlekat dengan virus, sudah aku guna lighter kau tu, pastu kau ambil balik, aku la vektornya yang bagi virus kat kau, kan!”

“Hmm, okay, okay betul la tu. Sekarang cuba cerita apa rutin baru yang kau cakap nak ubah tu?”

“Aku rasa tawar la pulak nak bagi tahu kau, Zuki.”

“Tak apalah. Kau simpan sajalah kalau perkara tu sangat personal untuk kau. Tak perlu bagi tahu.”

“Ya tadinya aku betul nak bagi tahu. Tapi sekarang aku rasa ia lebih baik, lebih membina kalau aku tak bagi tahu.”

“Bab itu aku setuju. No worries, ya, Sohil. Jika sesuatu perkara itu lebih membina dengan tidak memberitahu kepada sesiapa, jadi tak ada asas lagilah untuk kita bagi tahu. Kecuali kalau kita berdua kat sini nak bermain politik, kan?”

“Betul. Betul. Aku lihat keadaan di sekeliling kita dah berlebih-lebih politik. Sampaikan hal-hal yang melibatkan pertaruhan nyawa, kesukaran hidup kesan dari pandemik ini, namun masih juga ada yang bermain, cucuk-menyucuk politik untuk kepentingan peribadi dan puak sendiri. Aku rasa kaitan utama cerita kau dengan aku ni dapat terus kekal bersahabat baik, inilah kaitannya: persahabatan kita bebas politik!”

—————————-

lokasi | di sebuah meja di lorong belakang rumah kedai

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.