Cuaca & Politik

Jika anda seorang yang peka, sensitif dan minat pada cuaca, anda mungkin seorang manusia yang sentiasa berinteraksi dengan alam. Jika anda berada (hidup) dalam lingkungan alam yang panas dan lembab seperti cuaca di Malaysia ini misalnya, anda akan sentiasa berinteraksi dengan perubahan-perubahan cuaca yang berlaku di dalamnya.

Di sini sebahagian besar cuacanya panas, bila hujan cuacanya bertukar jadi lembab. Bila hujan berterusan tanpa henti dan anda pula menetap di kawasan yang rendah, anda akan berdepan dengan banjir pula.

Di kawasan Pantai Timur yang bersempadan dengan Laut Cina Selatan, dalam tempoh lebih kurang tiga bulan lagi mereka yang menetap di PantaiTimur ini akan memasuki satu musim baru. Musim ini dipanggil Musim Tengkujuh.

Kedudukan Malaysia bukan berada dalam peta iklim sederhana yang mempunyai empat musim – musim panas, luruh, sejuk dan musim bunga – namun di Pantai Timur Malaysia ada satu musim khusus yang dipanggil Musim Tengkujuh tadi. Setidak-tidaknya perkataan musim boleh dipakai juga, iaitu Musim Tengkujuh.

Pada ketika ini di Pantai Barat ada kawasan-kawasannya hujan sudah turun. Di kawasan-kawasan tertentu sudah masuk tiga hari hujan turun. Pada sebelah paginya hingga ke tengahari, cuaca terang sekejap namun tidaklah terik panas, dan bila beredar ke petang hujan pun mula turun. Ada kalanya hujan turun dengan lebat dan berlarutan hingga ke malam.

Meskipun hujan yang turun ini tidaklah berterusan tanpa henti, tidak seperti Musim Tengkujuh di Pantai Timur, namun kerana kekerapannya turun ini menyebabkan suhunya jatuh rendah. Jadi mereka yang menetap di kawasan ini sedang merasa keadaan sejuk sepertimana sekarang. Cuaca yang sejuk ini menjadikan alam lingkungannya berasa nyaman. Keadaannya berlawanan dengan beberapa minggu sudah di mana cuacanya panas dan sangat berbahang.

Pertanyaan: adakah diri anda seorang yang sentiasa berinteraksi dengan alam? Apa yang anda alami dalam interaksi ini?

Anda boleh jawab dengan diam-diam, sendiri.

II

Ketua Pembangkang sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di depan wartawan memberitahu KDYMM telah menggesa ahli politik untuk bersatu bagi melawan Covid-19 dan menempa politik baru.

“Agong memulakan titah dengan kata-kata nasihat, peringatan bahawa negara dalam kemelut politik dan perlembagaan, dan harus bersatu untuk hadapi Covid-19 dan (memulihkan) ekonomi.

“Agong juga menyebut (peruntukan) perlembagaan (berkenaan) calon (perdana menteri) yang ada sokongan majoriti ahli parlimen, tapi bentuk politik kena berubah,” kata beliau.

Kata-kata Anwar Ibrahim di atas, yang merujuk pada gesaan KDYMM, bukanlah sesuatu yang baru. Malah sebelum ini pun Baginda pernah memberi peringatan supaya tumpuan utama haruslah diberikan kepada menyelesaikan pandemik dan menyelesaikan kesukaran hidup rakyat yang berbayung di bawah Baginda.

Maksud Baginda, tumpuan ahli-ahli politik sekarang seharusnya bukanlah sibuk bermain politik dalam keadaan negara sedang berdepan dengan pandemik yang dasyat ini.

Namun orang politik jugalah yang tidak mengikuti gesaan dan nasihat Baginda. Salah seorang orang politik itu, yang menjadi pemain utamanya, ialah Anwar Ibrahim sendiri. Dakwaan atau frasa ‘cukup majoriti’ adalah sinonim dengan Anwar Ibrahim. Mungkin perkataan di belakang nama Anwar Ibrahim ini boleh ditulis seperti ini: Anwar Ibrahim a.k.a cukup majoriti.

Dalam perkembangan yang berkaitan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu beliau mengharapkan kerajaan baharu yang akan dibentuk dalam tempoh terdekat dapat mempertimbangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Katanya penubuhan MPN ialah fokus utama Pejuang. Majlis Pemulihan Negara menurutnya lebih utama berbanding perebutan kuasa untuk membentuk kerajaan baru.

Namun menurut Mukhriz lagi Pejuang tidak akan memberi sokongan kepada kumpulan kleptokrat untuk membentuk kerajaan atau memilih calon Perdana Menteri.

“Kami dari awal lagi kekal berprinsip dalam soal memerangi rasuah, jadi dalam hal itu kami akan bermasalah jika majoriti yang kami sokong itu mengandungi apa yang kami katakan kluster mahkamah,” kata Mukhriz.

Pejuang juga katanya tidak menolak untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

“Kami (Pejuang) bersedia bekerjasama dengan mereka (PN), itu bukan dapat kita elak untuk kita mencukupkan angka (majoriti) itu,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah Mukhriz, Pejuang ketika ini lebih memberi tumpuan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan.

“Kita harap bahawa pihak PH akan usahakan dan maklumkan kepada kami bahawa mereka sudah mempunyai jumlah mencukupi. Jadi kita akan jalan terus selepas itu.

“Kita terbuka kepada ketiga-tiganya (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tapi keutamaan kami tentu bersama PH. Jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini,” katanya lagi.

Kata-kata Mukhriz di atas memberi gambaran terbuka di mana posisi Pejuang dalam menentukan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri seterusnya akan membentuk kerajaan nanti.

Jika laluan Anwar, Shafie dan Ismail menemui jalan buntu, tidak mustahil Pejuang akan menjadi faktor penentu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.