Isu | Rakyat mengadu, mengapa JPJ melenting?

oleh Aznan Bakar

ADAKAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan sebuah jabatan yang tidak boleh ditegur Rakyat? Berdasarkan pengalaman sendiri, cukai jalan kereta saya tamat tempoh pada hujung bulan Mei, tetapi hanya Isnin lepas (23 Ogos) baru saya dapat memperbaharuinya. Itu pun setelah terpaksa melalui pelbagai kesulitan termasuk bersoal jawab dengan pihak polis setiap kali melepasi sekatan jalan.

Adik saya yang tinggal di Padang Terap, Kedah sampai hari ini belum dapat memperbaharui cukai jalan kenderaannya. Pertama pejabat pos di Kuala Nerang tidak dapat memperharuinya disebabkan macam-macam alasan teknikal (rasanya ada kena-mengena dengan peraturan JPJ juga).

Pejabat JPJ terdekat adalah di Alor Setar yang terletak lebih 30 kilometer. Hendak ke sana perlu merentas daerah yang mana disebabkan kes Covid-19 tinggi di Kedah, perkara itu tidak dibenarkan. Jadi, apakah caranya untuk rakyat seperti ini mahu memperharui lesen dan cukai jalan mereka?

Sedangkan tidak lama lagi JPJ bakal bertindak menyaman? Malah sewaktu rakan setugas saya berkunjung untuk memperharui lesen di pejabat JPJ di Petaling Jaya juga turut berhadapan situasi sama. Ini bukan isu yang diada-adakan.

Kesukaran seperti ini adalah sesuatu yang tidak adil buat rakyat yang patuh dan menghormati undang-undang. Mereka seboleh mungkin tidak mahu berada dalam keadaan melanggar undang-undang.

Tetapi keadaan sekarang menyebabkan mereka tertekan tanpa sebab. Pada hal duit rakyat yang bayar lesen dan cukai jalan itu adalah pendapatan untuk kerajaan (mungkin juga digunakan untuk bayar gaji anggota-anggota JPJ).

Sebab itu apabila Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim menyangkal dakwaan bahawa agensi itu kehabisan bekalan dokumen keselamatan kad lesen, rakyat lega. Lega apabila pegawai atasan seperti Zailani dapat memberi jaminan bahawa segalanya lancar. Cuma rakyat berharap jaminan Zailani sampai ke bawah ke akar umbi.

Rakyat risau, bagaimana halnya jika JPJ kembali mengenakan saman, mereka masih gagal untuk melunasi pembayaran cukai jalan dan lesen disebabkan masalah seperti ini?

Rakyat di pedalaman seperti Padang Terap, Baling, Sandakan, Semporna dan sebagainya hanya mahu menjalani kehidupan mudah tanpa dibebankan dengan isu saman yang bukannya berpunca dari mereka. Mereka merungut apabila hidup mereka terjejas. Adakah kita perlu buat pekak saja dengan rungutan rakyat marhaen ini? Jika rungutan mereka ini tidak diangkat dan disiarkan siapa yang akan dengar?

Tetapi Alhamdulillah sebab Zailani kata, semakan ke atas transaksi dan baki stok melalui portal MySikap (kenderaan selain motosikal), LKM motosikal di semua lokasi JPJ stor pusat, JPJ Negeri termasuk MyEG, Pos Malaysia dan Puspakom masih banyak berbaki.

Apa yang diketengahkan oleh Utusan Malaysia adalah masalah rakyat. Selari dengan semangat Keluarga Malaysia yang diangkat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, maka jabatan kerajaan seperti JPJ perlu ada semangat ini. Perlu berjiwa besar apabila rakyat mengadu. Bukannya melenting dan menuduh orang itu ini ada agenda. Itu sangat tidak profesional.


Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.