Ramai pemimpin Malaysia secara sengaja merosakkan minda orang Melayu sebagai cara untuk terus mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka, kata intelektual Melayu dan penulis, M Bakri Musa yang turut memberi amaran kemunculan dunia digital akan memusnahkan kepimpinan jenis ini dalam tempoh singkat.
Bakri yang merupakan seorang pengulas sosiopolitik terkenal dan pengarang buku berkata, ia merupakan satu mentaliti sama bagi semua pemimpin untuk mengawal pengikut mereka, kerana “pemimpin rasuah mencipta pengikut rasuah – akan memilih pemimpin rasuah sekali lagi”.
Tetapi, doktor di Amerika Syarikat itu berkata, maklumat akan menjadi semakin meluas dengan pertumbuhan teknologi, sambil menambah tanda kepada tahap kepimpinan hebat dan berkekalan ialah keupayaan untuk menggalakkan kebebasan dan bukannya menekannya.
“Setiap pemimpin gemar untuk mengawal pengikut mereka, tetapi yang tidak dapat dielakkan ialah untuk berubah.
“Dunia digital – saya tidak peduli betapa kuatnya anda – ia tidak mampu menghalangnya. Ia cukup kuat,” kata Bakri kepada The Malaysian Insider menjelang pelancaran edisi kedua bukunya yang diterbitkan pada 2013 bertajuk “Merdekakan Minda Melayu”, di Kumpulan Media Karangkraft di Selangor hari ini.
Kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu akan dilancarkan hari ini. Buku pertamanya menerima reaksi positif. Boleh diperoleh di dalam dan di luar negara, tetapi kebanyakannya di universiti dan perpustakaan.
Beliau mengakui menerima kritikan tentang “kelayakannya” untuk mengulas mengenai masalah Melayu kerana menetap di luar negara sejak beberapa dekad lalu.
Jawapan beliau mudah, “Hakimi saya pada pandangan dan pendapat saya, bukan di mana saya tinggal”.
Bakri berkata, hal ehwal politik semasa membuktikan pemimpin tidak mampu menjadikan orang “bodoh” selama-lamanya, kerana capaian Internet terus berkembang.
Beliau memberi contoh kontroversi derma RM2.6 bilion Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan keseluruhan episod itu tidak mungkin terdedah sekiranya tiada dunia digital.
Bakri berkata, orang Melayu kekal mundur daripada segi keintelektualan dan secara ekonomi walaupun berdekad polisi digubal dan bantuan diberikan.
“Kita bercakap tentang masalah Melayu, sejak saya masih muda dan mungkin ketika cucu saya menjadi datuk dan nenek, kita akan masih bercakap mengenainya,” katanya.
“Mengapa selepas 60 tahun kemerdekaan, dengan sultan dan pemimpinnya Melayu dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu, kita masih mempunyai masalah ini?
“Sebabnya ialah kita tidak tahu fikiran kita sudah terperangkap, dipenjarakan.
Edisi kedua buku penulis Bakri Musa boleh dibeli di semua kedai buku utama di seluruh negara bermula awal Februari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2016.Edisi kedua buku penulis Bakri Musa boleh dibeli di semua kedai buku utama di seluruh negara bermula awal Februari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2016.”Dalam buku saya, saya menggunakan perumpamaan orang Melayu ‘seperti katak di bawah tempurung’.
“Tempurung ini akan pecah satu hari nanti. Persoalannya untuk masyarakat kita sama ada kita akan memecahkan tempurung itu mengikut cara kita, untuk mengurangkan kerosakannya, atau adakah kita membenarkan ia pecah dengan sendirinya dan menyebabkan risiko bencana.”
Bakri berkata, orang Melayu yang tidak berpendidikan dan mendapat pendedahan akan menjadi sasaran utama pengaruh “gelap dan berbahaya”, seperti aliran keras agama.
“Pengaruh seperti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) boleh menjadi menarik kepada minda Melayu jika mereka tidak mendapat pendedahan secukupnya dan berpendidikan. Pemimpin perlu sedar minda terbuka sudah berlaku, tetapi mesej yang sedang dihantar sekarang gelap dan berbahaya.”
Bagi mengatasi pengaruh ini, Bakri mencadangkan liberalisasi lebih meluas di kalangan media, mengatakan lebih banyak sumber maklumat boleh diperoleh orang Melayu menjadi lebih lengkap.
Selain itu, beliau berkata, penyertaan orang Melayu dalam sektor perdagangan dan modal “secara automatik akan menukar pandangan dunia mereka”.
“Mereka tidak akan melihat orang sebagai Cina atau India atau Melayu, mereka akan melihat semuanya sebagai berpotensi menjadi pelanggan.”
Bakri percaya, keupayaan untuk melihat orang melangkaui kaum akan membantu Melayu keluar daripada tempurung mereka.
Dalam bukunya, Bakri juga memberikan contoh tamadun dan masyarakat di seluruh dunia yang beliau percaya mempunyai masalah yang sama dengan orang Melayu di Malaysia, seperti orang asal Ireland dan Itali.
“Saya mahu orang Melayu sedar mereka mempunyai masalah, tetapi ia bukan unik kepada mereka. Terdapat masyarakat, tamadun dan komuniti lain yang kita boleh belajar daripada mereka. Mereka sudah berjaya mengatasinya.
“Kita boleh belajar daripadanya dan kita boleh mengatasinya.”
Edisi kedua buku Bakri ini boleh dibeli di semua kedai buku utama di seluruh negara bermula awal Februari ini. – 30 Januari, 2016.
Sumber: Malaysiainsider
III Evolusi Cara Negara China
DALAM wawancara ketiga ini, Dr Bakri Musa bercakap berkenaan kaedah terbaik memajukan bangsa Melayu. Beliau memilih kaedah evolusi dengan mengambil contoh negara China mencipta kejutan kepada ekonomi dunia. Menurutnya, tidak sampai satu generasi, China di bawah pemerintahan Deng Xiaopeng telah menukar lanskap China dari sebuah negara mundur menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Dr Bakri menolak sebarang kaedah berbentuk revolusi, yang sering dianggap mencetuskan perubahan ke atas sesebuah masyarakat, sebaliknya himpunan evolusi akan menghasilkan sebuah ‘revolusi’ yang lebih baik.
Ikuti temubual selengkapnya.
Penyusakti Dalam banyak tulisan Dr mencadangkan kaedah yang lebih berbentuk evolusi dalam mengubah cara berfikir dan bertindak orang Melayu. Yang manakah lebih berkesan? Adakah orang Melayu perlu dikejutkan dengan suatu revolusi sebagaimana pengalaman sejarah Jepun atau Korea yang berjaya menghasilkan lompatan kuantum kepada kejayaan mereka hari ini.
Bakri Musa Bila Mohamed Bouazizi membakar dirinya di Tunisia pada Januari 4, 2011, bukan tujuannya untuk mencetus rusuhan atau revolusi. Dia hanya sudah putus asa, tiada harapan lagi. Tetapi perbuatan peribadinya mengakibatkan pertukaran bercorak “revolutionary” bukan sahaja di Tunisia bahkan di seluruh dunia Arab.
Gamal Nasser berkobar-kobar hendak merevolusikan negara Arab. Akibatnya Mesir hampir dihentam habis oleh Israel pada 1967. (Allahyarham Dato’) Senu Abdul Rahman serta pemimpin-pemimpin Melayu seperti Abdullah Badawi dan cendekiawan-cendekiawan kita begitu juga bergiat dengan “revolusi mental” mereka. Sekarang buku yang dikarang mereka dengan tajuk yang sama susah pun nak dapat dicari, dan bangsa Melayu masih begitu juga!
Sama ada satu pertukaran itu “evolusi” atau “revolusi” tergantung bukan atas niat dan tindakan tetapi (atas) akibat dan keputusan. Bouazizi berniat dan bertindak hanya untuk memutuskan penderitaannya, tetapi akibatnya melancar satu revolusi dunia Arab yang menjatuhi orang kuat seperti Mubarak dan Gaddafi.
“Evolusi” saya maksudkan satu pertukaran atau perbuatan yang sikit demi sedikit dan perlahan-lahan, sementara revolusi ialah perbuatan atau pertukaran yang kasar dan merompak. Kita sedia maklum bahawa gunung boleh diruntuhkan dengan menyembur air dikakinya (seperti melombong bijih pada masa dulu) atau dengan melempar bahan letupan. Akibat kedua- duanya sama saja.
James C. Scott, seorang ahli sains politik, pernah membuat kajian masyarakat kita di jelapang padi Kedah pada tahun lapan puluhan. Di dalam bukunya Weapons of the Weak (Senjata Si Lemah), ia mengunakan kiasan lain. Bila kapal negeri terhempas ke atas batu karang, kita lupa bahawa batu karang itu adalah akibat beratus-ratus tahun dibina sikit demi sedikit atas rasa benci dan tentangan rakyat yang tidak ternampak (evolusi). Yang ternyata pada pandangan umum ialah kapal itu tenggelam dengan cepat (revolusi).
Kajian dan keputusan saudara mengenai Jepun dan Korea Selatan kurang tepat. Betul, bila dipandang sekarang akibat pertukaran masyarakat mereka memang “revolutionary” tetapi langkah-langkah yang diambil oleh pemimpin mereka semuanya cara sikit demi sedikit dan melingkungi beberapa dekad.
Jepun seumpamanya selepas Meiji Restoration (1868) menghantar ribuan kakitangan kerajaan dan guru-guru ke Barat untuk mengkaji cara pemerintahan dan pendidikan. Mereka bukan di hantar seminggu dua cara “cuti belajar” bahkan bertahun-tahun. Hingga sekarang Jepun masih mengambil ribuan guru Inggeris dari Barat. Itu semuanya pertukaran “evolusi” bukan “revolusi.” Kita ambil dua tiga kerat guru dari Amerika melalui rancangan Fulbright kita hebohkan dan sifatkan revolutionary!
Begitu juga Korea Selatan. Dalam tahun tujuh puluhan beribu-ribu pelajar Korea dihantar ke Amerika untuk mengambil ijazah lanjutan dalam sains dan kejuruteraan. Bila Presiden Pak melawat Amerika dia berjumpa dengan pelajar-pelajar tersebut dan memikat serta memujuk mereka balik, termasuk mereka yang pernah menentang dia. Bila balik, mereka diberi kemudahan seperti duit pinjaman untuk membuat perusahaan sendiri.
Bandingkan dengan Perdana Menteri Najib; penuntut yang dijumpainya ialah “flunkie” Petronas University bernama Saiful, kononnya mencari scholarship! Saya mengupas lebih mendalam cerita Jepun dan Korea Selatan (serta Ireland dan Argentina) dalam buku saya Malaysia In The Era of Globalization (2002).
Menyambung pandang (ke) timur, contoh yang lebih dekat dari segi tempat serta masa ialah Negara China. Mao Zedong berkobar-kobar merevolusikan negeri dan masyarakatnya. Akibat nya beratus-ratus juta rakyat China mati kebuluran. Beratus-ratus juta! Makanya, keselurohan Negara China hancus! Masok Deng (Xiaopeng), dia tidak berikrar “merevolusikan,” atau menguna istilah Najib, “mentranformasikan” masyarakat China. Kepada Deng, dia tidak kira apa warna kucing asalkan ia dapat menangkap tikus. Itu saja! Dengan itu dia berjaya menukar fikiran rakyat, dan seterusnya corak bangsa dan negara China. Sekarang, tak sampai satu keturunan pun, negara China sudah melebihi ekonomi Jepun dan Jerman, serta mengancam membuat demikian kepada ekonomi Amerika.
Jiran kita Indonesia tak habis-habis berevolusi di bawah pimpinan Sukarno, tetapi rakyatnya berterusan menganggur dan bangsat. Mahathir pun bersemangat begitu juga untuk menukar corak budaya dan bangsa kita. Akhirnya, dia yang menangis.
Mengikut kiasan kebun saya dahulu, revolusi ialah menyembur racun Roundup merata-rata. Betul itu akan membunuh lalang tetapi malangnya tanaman yang berguna pun habis juga di kebas. Sebaliknya, dengan evolusi kita ambil Roundup dan curahkan sedikit demi sedikit ke akar lalang sahaja, jadi tanaman lain tidak diracun dan boleh gembur sebab tiada lawanan daripada lalang. Bahkan, lalang itu betul-betul diracuni dengan pekat; ia tak akan boleh timbul lagi.
Merdekakan Minda Melayu, seorang demi seorang, dengan cara evolusi, akibatnya nanti akan menghairankan kita dan semestinya dianggap revolusi. Minda Melayu yang merdeka akan mengejutkan masyarakat kita. Apabila minda kita merdeka, kita tidak boleh lagi dijajah, atau mengikut istilah ahli falsafah Algeria Malek Bennabi, tidak lagi “colonizable.”
Yang indahnya, bila minda kita merdeka, kita akan terus terang nampak bahawa tanaman yang mewah hijau dan tinggi di dalam kebun kita itu ialah lalang dan bukannya alfalfa (rumput seperti lalang tetapi bernilai tinggi sebagai makanan binatang ternakan) yang disifatkkan oleh ketua peladang kita.
————————————————————————————————————–
II Melayu Perlu Merdeka
Masyarakat Melayu sekarang berkehendakkan pertolongan racun Roundup bukan baja Urea untuk menghapuskan ahli lalang dalam masyarakat kita. Kebun kita sudah dibanjiri lalang…
DALAM siri temuramah Suaris bersama Dr Bakri Musa bahagian kedua, Dr menyatakan pentingnya orang Melayu bersama pemimpin-pemimpinnya melakukan anjakan dengan mengubah pemikiran mereka ke arah kemajuan dan rasionaliti. Mereka tidak sepatutnya taksub kepada ajaran mahu pun arahan yang meminta mereka supaya berfikiran jumud, mundur ke belakang sekalipun arahan itu datangnya dari seorang ulama atau pemimpin utama. Mereka juga diseru supaya membuang kebergantungan berlebihan mereka kepada tongkat (bantuan kerajaan) supaya mereka lebih berdikari dan percaya diri.
Ikuti temuramah tersebut selengkapnya.
Penyusakti Dr Mahathir dalam satu rancangan di Astro Awani beberapa hari lepas berkata orang Melayu akan terus ketinggalan sekiranya tidak dibantu, yang diistilahkan beliau sebagai tongkat. Adakah Dr bersetuju orang Melayu terus diberikan tongkat berkenaan. Sampai bila bantuan ini perlu diteruskan?
Dr Bakri Kalau orang Melayu sekarang masih lagi kebelakangan selepas lebih daripada 55 tahun di “bantu” oleh kerajaan UMNO, kita patut periksa dengan teliti apakah yang disifatkan “bantuan” itu.
Sebagai ibu bapa kita sedia maklum betapa mustahaknya cara kita membantu anak anak kita. Kalau kita selalu sahaja memanjakan, jangan harapkan mereka menjadi cemerlang. Kalau kita terlalu kuat atau “strict,” mungkin mereka akan hilang ketegasan sendiri (self-confidence). Begitu juga kalau kita selalu memburukkan dan memberatkan kelemahan mereka.
Dalam rawatan moden, seseorang yang sudah dibedah tulang punggungnya jarang diberi tongkat; kalau diberi hanya untuk seminggu dua sahaja. Sebaliknya, pesakit diberi physiotherapy untuk tujuan berjalan sendiri tanpa tongkat. Pesakit yang saya bedah, pada keesokan harinya saya menyuruh dia bangun berjalan tanpa pertolongan.
Banyak bahayanya jika si pesakit terbaring sahaja di atas katil, antaranya darah beku (blood clot) yang boleh mengakibatkan maut. Pesakit yang saya bedah kerana appendicitis biasanya keluar dari hospital pada esok hari dan kembali berkerja dalam tempoh seminggu. Dua puloh tahun dahulu pesakit seumpama (akan mengambil masa yang lama) baru nak keluar dari hospital!
Satu wawasan perubatan ialah jika badan kita (sama ada urat, tulang, dan juga otak) tidak di kerjakan atau dilatih ia akan menjadi lemah dan reput. Jika saya ikatkan bujang (pemuda) yang kuat dan sehat di atas katil dan “bantu” dia makan, mandi dan sebagainya supaya dia tak payah pun bergerak satu urat, tak sampai seminggu hamba Allah itu tidak akan boleh bangun sendiri; dia akan memohon tongkat sebab badannya sudah menjadi lemah. Itu bahayanya “menolong” berlebih- lebihan.
Kita perlu kaji dengan teliti mengapa “pertolongan” yang diberi kepada kaum kita oleh kerajaan UMNO tidak berkesan.
Dr. Mahathir pernah merawat pesakit. Kalau si pesakit tidak sembuh dengan ubat dan rawatan yang diberi, patutkah si doktor terus dengan ubat dan rawatan yang sama bertahun- tahun? Mungkin si pesakit patut dibantu dengan Penicillin, bukan Panadol.
Kadang kadang, walau pun ubat yang diberi itu sesuai, mungkin sukatan yang diberi tidak mencukupi atau berlebihan. Betul, Panadol akan menurunkan demam, tetapi hanya jika diberi dalam sukatan yang berpatutan. Kalau diberi suku pil sahaja, demam takkan turun, dan kita akan salahkan ubat!
Kalau kita bagi ubat berlebihan, itu pun boleh menjadi bisa dan bahaya. Di Amerika setiap tahun berapa orang kanak-kanak maut kerana ibu memberi Tylenol (ubat seperti Panadol) berlebihan mengikut sukatan yang sesuai untuk orang dewasa.
Kalaupun kita bagi ubat yang sesuai serta sukatan yang berpatutan tetapi pesakit masih tidak sembuh, ini bermakna kita patut dan mesti tukar “diagnosis” dan rawatan kita. Penyakit seperti appendicitis memerlukan pembedahan, bukan penicillin.
Mungkin pembaca kurang selesa dengan metafora perubatan, jadi saya gunakan gambaran peladang. Di ladang, kalau kita tidak cabutkan dengan habis-habisan termasuk uratnya, lalang akan gembur dan menimbun serta merosakkan tanaman yang berharga. Apa lagi kalau kita “tolong” lalang itu dengan membajakannya!
Kebun UMNO sekarang ditimbuni lalang. Kalau kita hendak menolong UMNO dan orang Melayu pada umumnya, kita patut semburkan racun Round Up untuk membunuh lalang-lalang itu supaya kita boleh tanam benda yang berguna dan mereka berpeluang bangun. Tetapi apa yang kita buat sekarang? Kita bajakan lalang! Alasannya, betul lalang, tetapi lalang Melayu! Kita mesti tolong sebab Melayu!
“Pertolongan” yang dihebohkan oleh Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO saya sifatkan seumpama membajakan lalang. Akibatnya banyak dan lumayan lalang Melayu sekarang; Isa Samad sekarang sembur sebagai peneraju FELDA. Dia dibuktikan bersalah “wang politik” oleh kerabatnya dalam UMNO beberapa tahun lepas. Khir Toyo satu lagi lalang Melayu yang sekarang sembur dalam istana kayangannya yang dibiayai oleh (wang) rakyat.
Di bahagian swasta, lalang Tajuddin Ramli hampir mengorbankan kebun MAS. Banyak lagi lalang di Utusan dan New Straits Times. Dalilnya, pembaca NST sekarang tak sampai separuh daripada sepuluh tahun dahulu. Lalang Melayulah yang menimbun dan akhirnya memusnahkan Bank Bumiputra. Kita tidak hairan dengan kehijauan dan kesuburan lalang, walau pun lalang Melayu!
Pemimpin Melayu seperti Mahathir patut tekun mencari jalan lain yang lebih bererti dan berkesan untuk menolong kaum kita. Jangan hanya suka memuaskan hati dengan mencaci dan membangkitkan kononnya kelemahan bangsa kita. Masyarakat Melayu sekarang berkehendakkan pertolongan racun Roundup bukan baja Urea untuk menghapuskan ahli lalang dalam masyarakat kita. Kebun kita sudah dibanjiri lalang.
Ada pepatah Kristian yang saya terjemahkan lebih kurang seperti berikut. Kalau kita menolong si miskin dengan memberinya seekor ikan, dia akan dapat makan hanya sehari. Tetapi kalau kita tolong dengan mengajar dia mengail, dia akan dapat makan selama hidup. Kalau tolong lebih sedikit, seumpama memberi pinjaman untuk membeli sampan, dia akan mengail laut yang luas dan dapat menanggung sekampung.
Kita tidak menolong kaum kita dengan memberi kuota masuk universiti dengan senang, lesen mengimport dan kontrak-kontrak lumayan, atau menyuruh perusahaan bangsa lain mengambil pengarah-pengarah (biasanya ahli politik) Melayu. Jauh sekali! Itu hanya membajakan lalang. Mereka hanya “ersatz capitalists” atau perusahaan menenggek, bukan tulen.
Pertolongan yang lebih bermakna dan berkatnya berpanjangan ialah jika kita menolong orang Melayu berfikir sendiri. Bebaskan otak orang Melayu. Kalau ungkapan kita masa tahun lima puluhan dahulu ialah “Merdeka Tanah Melayu,” sekarang slogan kita mestilah, “Merdeka Minda Melayu!
Itulah tema buku saya terakhir, “Liberating The Malay Mind.” Apakah yang saya maksudkan dengan minda merdeka? Konsep ini lebih terang dijelaskan melalui cerita seorang alim, Mullah Nasaruddin. Ia terkenal kerana mengajar melalui contoh yang ringkas dan jenaka diri sendiri.
Dia ada jiran yang suka meminjam keldai Mullah tetapi lalai untuk mengembalikannya. Pada satu hari jiran itu datang untuk meminjam binatang itu. Pak Mullah, (yang telah) menjangkakan permintaan itu, telah dulunya menyorokkan binatang itu di dalam reban dan tidak ternampak dari luar. Bila jiran itu memohon, Mullah Nasaruddin dengan lenang membalas, “Keldai ku sudah dipinjam oleh abangku semalam.”
Bila jiran itu kecewa pusing balik, dia kedengaran binatang itu melaung dalam reban. “Kau katakan keldai telah dipinjam oleh abang kau.”
Mullah serta-merta menjawab, “Kau lebih percayai ringkikan keldai lebih daripada suara Mullah?”
Seorang yang mempunyai minda merdeka lebih mempercayai laungan keldai itu; mereka yang mempunyai minda yang masih dipenjarakan oleh adat dan budaya akan turut mempercayai Mullah walaupun keldai itu ada di hadapan mata.
Kita mesti melatih orang Melayu supaya bila kita dengar laungan keldai kita mesti mempercayai telinga kita walau pun Pak Lebai mengatakan itu hanya suara rekaan sahaja.
Dalam buku terakhir, saya mengemukakan empat cara untuk membebaskan minda Melayu. Pertama, membebaskan sebaran am dan punca-punca maklumat dan berita serta pandangan. Kedua, mengadakan sistem pendidikan yang bebas (liberal education) dan berlandasan kukuh atas asas sains dan matematik.
Ketiga, mendorongkan perusahan dan perdagangan dalam masyarakat kita; iaitu mengalakkan orang Melayu menjadi kaum perusahaan. Bila kita berdagang, kita sifatkan orang bangsa lain bukan sebagai pendatang tetapi bakal pelanggan kita. Maknanya, asas keuntungan kita!
Keempat, kita mesti kaji semula bagaimana kita mengajar agama kepada anak- anak kita serta bagaimana kita mengamalkan agama yang suci ini. Islam telah membebaskan kaum Bedouin Arab yang kanun, membebaskan mereka dari Zaman Jahiliyah kepada Zaman Cahaya. Begitu juga Islam patut membebaskan orang Melayu memulai dengan membebaskan minda kita.
Tanpa membebaskan minda Melayu, tidak kira berapa billion pertolongan kita beri, seberapa lumayan kontrak, AP serta kuota-kuota lain kita hadiahkan, atau berapa senangnya anak-anak kita masuk universiti, itu semuanya tidak bermakna atau berkesan. Semuanya itu bukan “pertolongan” yang tulin, bahkan hanya candu untuk syok sendiri dan hisapan khayalan sahaja. Semuanya saya umpamakan membajakan lalang.
Sebagai negara merdeka Malaysia telah mencapai banyak kejayaan. Kalau kita merdekakan minda Melayu, tidak terhad kejayaan kita sebagai perseorangan dan juga sebagai masyarakat. Yang indahnya, bila minda kita merdeka, ia tidak boleh lagi dipenjarakan.
Tidak payahlah kita ragukan unsur-unsur seperti globalisasi dan neokolonial. Kita tidak lagi bimbang bila anak kita fasih dalam bahasa Inggeris atau bahasa asing. Dengan minda merdeka kita tidak akan berasa terancam bila makhluk Allah lain menggunakan istilah ‘Allah’.
Merdekakan minda Melayu! Itulah satu pertolongan yang berkesan dan tak terharga!
Berbalik semula ke ‘tongkat’ yang paling dihargai oleh Mahathir dan kerabatnya dalam UMNO, bagaimana kita boleh mengharap orang-orang kampung membuang tongkat kecil kayu mereka sedangkan tongkat emas yang beberapa lagi indah dan besar diberi kepada sultan-sultan, raja- raja dan menteri- menteri?
Kita marah bila Pak Mat di Kampong Kerinchi menyelewengkan wang pinjaman MARA dua tiga ratus ringgit untuk memajukan warung kopinya untuk membeli baju sekolah anaknya, tetapi bila suami menteri menyelewengkan berjuta- juta duit rakyat untuk membeli kondo mewah, pemimpin seperti Mahathir senyap sahaja.
Melayu tak payah diberi tongkat apa-apa pun. Pertolongan yang patut diberi ialah untuk membebaskan minda kita. Kalau hendak beri pertolongan, hanya tolonglah sedikit mencabut lalang di kebun kita supaya pisang, timun dan kacang kita boleh berpeluang tumbuh. Kalau enggan berbuat demikian, tolong janganlah bajakan lalang tu!
———————————————————————————————————————-
I Masa Depan Melayu
Kalau lebih ramai lagi memberi dan menyumbang daripada mereka yang bergantung dan menerima, cepatlah maju masyarakat itu…