Bersama Siswa

 lll. Gagal Menyesuaikan Diri di Kampus

imagesE265
SAYA merupakan seorang siswa di sebuah IPT di negeri Cik Mek Molek. Saya mengambil jurusan Sains Komputer dan kini berada dalam tahun kedua pengajian. Selaku anak kelahiran negeri ini, saya melalui masa-masa kecil saya dengan penuh kegembiraan. Setiap kali pergi ke mana-mana, saya dikelilingi sahabat-sahabat yang boleh dikatakan sama kedudukan dan nasibnya dengan saya. Di kampung, saya bukan dari keluarga yang senang walaupun tidak juga terlalu susah. Sebagai anak seorang pesawah saya tidak pernah merungut mengenai nasib hidup yang dilalui. Perasaan sentiasa gembira dan tidak seperti mana yang saya rasai sekarang  ini.
Masalahnya bermula agak awal, iaitu selepas saya mendapat keputusan cemerlang dalam PMR. Saya telah dipilih mengikuti persekolahan tingkatan empat di sekolah yang berprestij di Kota Bharu. Di situ saya terpaksa bergaul dengan kumpulan yang tidak senasib dengan saya. Rata-rata mereka anak orang senang. Walaupun begitu saya tetap bertahan dan mengekalkan kedudukan saya  melalui keputusan peperiksaan saya yang sentiasa konsisten sepanjang berada di tingkatan lima. Setelah mendapat keputusan STPM  yang melayakkan saya ke universiti, saya telah memilih universiti tempat saya berada kini dengan harapan akan lebih mudah menyesuaikan diri dan lebih dekat dengan kampong saya.
Namun demikian, masalah saya bukannya semakin pulih, malah semakin berat. Di universiti ini, saya tidak mempunyai  ramai kawan yang boleh berkongsi masalah dan memahami perasaan saya. Saya rasa semacam kehilangan keyakinan diri yang sebelum ini saya dapat dari rakan-rakan di kampung. Misalnya sewaktu kerja kumpulan yang memerlukan kami membuat presentation, saya akan menjadi orang yang terakhir dipilih untuk melakukannya. Sekiranya dipilih pun, sebagaimana yang pernah berlaku beberapa kali, saya akan mengalami kegugupan yang teruk.
Jika waktu makan pula, saya seringkali makan seorang diri di kantin kolej kediaman. Akibatnya saya menjadi seorang pendiam sedangkan bukan itu yang saya inginkan. Bukannya saya tidak mencuba untuk atasi masalah saya, tetapi setiap kali mencuba, setiap kali ketakutan dan kegugupan akan saya alami. Saya sedar saya memerlukan sekurang-kurangnya seorang teman atau rakan karib yang boleh menjadi tempat saya  bercerita. Sehingga sekarang saya gagal dan akan semakin gagal.
Saudara Zek, bantulah saya (p/s minta jangan siarkan email saya).
Nik Azman,
Kota Bharu.
 
 Jawapan:
Saudara Nik Azman,
Terima kasih kerana sudi berhubung dengan saya di Suaris. Saya menghargai kesediaan saudara Nik untuk menulis email kepada kami. Kami juga menghormati permintaan saudara Nik untuk tidak menyiarkan email saudara.
Selaku rakan yang pernah berada di universiti, saya dapat merasakan keperitan yang dialami saudara.  Dalam pada itu, saudara maklum bahawa masalah ini dialami oleh ramai lagi siswa-siswi di mana-mana IPT. Dalam bidang kaunseling ataupun bidang pengajian kerja sosial, masalah saudara digolong ke dalam masalah penyesuaian atau adaptation di kampus. Masalah penyesuaian ini popular sehingga menjadi satu bidang kajian khusus dengan domain-domain seperti inferiority complex atau perasaan rendah diri, masalah komunikasi dan hilang keyakinan diri yang teruk.
Masalah saudara Nik muncul disebabkan persekitaran yang berubah. Buktinya adalah saudara menyatakan bahawa sewaktu bersama rakan-rakan di kampung masalah ini hampir tidak wujud. Masalah ini bermula sewaktu di sekolah prestij di Kota Bharu sebagaimana yang saudara luahkan, bukannya sejak awal kehidupan saudara. Persoalan timbul, pernahkah saudara terfikir mengapa sewaktu di kampung ia tidak wujud?
Pada pandangan saya, saudara bukan orang yang gagal atau tidak mampu menyesuaikan diri. Saudara pernah terbukti berjaya melakukan penyesuaian yang hebat sewaktu bersama rakan di kampung. Cuba kita lihat kembali apakah yang menyumbang kepada  kejayaan ini. Saya andaikan bahawa di kampung, sifat saling percaya tumbuh terhadap rakan-rakan yang membesar bersama-sama. Semakin hari ia semakin menebal. Namun, hal sedemikian tidak berlaku di kampus, mengapa?
Prinsip persahabatan adalah kepercayaan. Oleh itu ia akan mengambil masa. Kepercayaan  itu perlu dibina bukannya berlaku dalam semalaman. Namun berita baiknya ialah  proses pembinaannya boleh dilakukan hampir  serta merta. Sepertimana juga hubungan yang lain, seperti cinta, ia cuma memerlukan sedikit kimia untuk ianya terjadi, manakala  selebihnya adalah hal-hal ‘teknikal’ yang boleh saudara bina sendiri.
Krisis kepercayaan diri umpama wabak penyakit berjangkit. Ekoran daripada ‘krisis’ kepercayaan atau keyakinan diri  itu pula akan merebak kepada krisis lain seperti  krisis komunikasi. Seorang yang tidak percaya diri akan mengalami apa yang dipanggil agoraphobia atau takut untuk berada di khalayak ramai, apatah lagi untuk berucap atau mengemukakan pandangannya sendiri dalam kelompok ramai.
Bagaimana kah cara mengurangkan masalah saudara. Saya menyimpulkan masalah saudara kepada tiga unsure yang besar jadi penyelesaiannya juga mesti menjurus kepada tiga perkara tersebut iaitu yang saya ringkaskan sebagai masalah  A,B,C.
A mewakili  appearance, B adalah behaviour dan c ialah communication. Dalam membina keyakinan mungkin perubahan pada appearance atau mengubah  imej diri kita terhadap orang lain adalah penting. Perubahan ini mungkin perlu misalnya kepada cara berpakaian, di mana dikatakan cara berpakaian yang kemas dengan warna terang akan mengundang persepsi yang lebih baik dan ceria berbanding dengan warna kusam dan kelihatan berserabut. Dalam hal ini, sekalipun ianya nampak agak artificial, saudara perlu terima hakikat bahawa orang lain bukan kita. Orang lain tak tahu diri kita sebagaimana yang kita fikirkan. Jadi, kita perlu menarik orang lain terlebih dahulu kepada kita, untuk berhubung dengan kita.
B pula mewakili behaviour/sikap. Kecuali jika saudara selesa dengan memilih duduk berdiam diri dalam dormitory setiap masa, itu adalah pilihan masing-masing. Tetapi, sekiranya jiwa kita ingin sekali bersahabat, tetapi jika tindakan kita tidak mewakili kehendak jiwa kita itu, maka kita akan dikatakan jiwa yang berpecah-pecah. Kita mahu macam ini, tetapi kita tidak ingin bina jalan untuk mencapainya. Jadi saudara perlu memulakan sekarang, pergi ke luar dan bergerak mencari rakan. Tetapkan objektif saudara.
Dari pelan pemulihan pada B iaitu sikap yang mengarahkan tindakan, kita akan mencapai C iaitu pemulihan komunikasi. Di sini penting untuk saudara ingat bahawasekalipun  seorang kelihatan amat pendiam di luarnya seperti saudara, namun di dalam jiwanya sangat bising. Beribu-ribu kisah ingin diceritakan kepada orang lain atau sahabatnya, tetapi kisah itu tidak kesampaian akibat kelemahan cara berkomunikasi.
Jadi saudara mungkin perlu melihat semula aspek komunikasi selama ini. Kelemahan menyampaikan pandangan, penguasaan nada berkata-kata yang salah, terlalu sinikal (atau dianggap oleh rakan sebegitu) tidak mampu menyampaikan (deliver) sekalipun idea yang asas akan menyebabkan gangguan kepada komunikasi. Hal ini perlu dilihat semula. Jangan lah bandingkan dengan cara saudara di kampung sebab persekitaran telah berubah sama sekali.
Jadi, kepada saudara Nik, cuba lihat kembali apa yang saya cadangkan. Hal ini bukan juga mudah tetapi bukan mustahil untuk diubah. Tips yang baik adalah set kan dalam diri satu azam dan beri lah satu date line kepada diri sendiri untuk berubah, katakanlah dalam masa sebulan Nik akan mendapat empat rakan. Bermakna dalam masa seminggu perlu diperolehi seorang rakan. Atau pun, bermula serta merta selepas membaca jawapan saya ini, Nik boleh menanamkan azam untuk mengubah cara berkomunikasi. Tengahari  ini juga Nik akan mula berlatih bercakap dan bergaya di depan cermin, sebagai contoh.
Dengan cara begitu, kita akan lebih menghormati diri sendiri dan keputusan yang kita sendiri buat. Doa saya semoga Nik akan berjaya dalam percubaannya nanti.
Sampai jumpa lagi.
Zek (umarzain@yahoo.com)
• Anda boleh juga menghantar masalah anda ke email suarismail@gmail.com
———————————————————————————————————————————————————————————-
ll.
SUARIS telah menyediakan satu segmen Suaris Bersama Siswa (SBS) untuk mahasiswa berkomunikasi secara langsung dengan Suaris. SBS akan dikelola oleh saudara Zek yang memiliki ijazah sarjana dalam Human Resource dan kini sedang menamatkan pengajian kauseling peringkat PhD. Mahasiswa boleh berkongsi kisah mereka termasuk masalah yang membelenggu kehidupan seharian ke email Zek [umarzain@yahoo.com] atau terus ke editorial suarismail@gmail.com. Untuk mengekalkan kerahsiaan, anda boleh kemukakan nama samaran. Suaris tidak akan menyiarkan identiti anda termasuk email kecuali dengan kebenaran anda sendiri.
Semoga segmen ini dapat menyumbang sesuatu dalam hidup anda.
images126
 Saudara Zek,
Saya seorang siswi di sebuah IPTA di utara tanah air, mengambil jurusan komunikasi. Sebelum itu biarlah saya ceritakan sedikit latar belakang saya supaya saudara boleh memahami masalah saya dengan baik. Saya seorang anak tunggal dari kalangan keluarga sederhana dari  Jitra, Kedah. Ibu saya seorang guru manakala bapa seorang pegawai polis. Selaku anak tunggal saya diberikan kasih sayang yang mencukupi dan dengan izin Tuhan, saya diberikan kecerahan hati sehingga berjaya mendapat tempat di universiti.
Saya sejak kecil amat meminati bidang komunikasi, jadi sebaik sahaja tamat peperiksaan STPM pada tahun 2009 saya terus memohon ke universiti tempat saya belajar sekarang ini. Masalah saya bermula pada awal tahun kedua. Itu pun jika boleh disebut masalah, iaitu saya telah jatuh hati dengan seorang pensyarah program komunikasi yang mengajar paper komunikasi silang budaya.
Mungkin disebabkan kaedah beliau mengajar menjadikan hati saya amat tertarik. Suaranya lemah lembut, dan cara layanannya tidak sepertimana pensyarah lain yang rata-ratanya sombong, dan kedekut ilmu. Beliau sebaliknya melayan semua karenah pelajar seumpama seorang bapa melayan karenah anak-anaknya. Keluasan pengalaman beliau menyebabkan paper yang diajar nampak mudah saja difahami.
Entah mengapa setiap ajaran dan ungkapan yang disebutnya semacam melekat terus kat kepala saya. Peperiksaan pertengahan semester lalu saya telah mendapat carry mark yang baik untuk subjek berkenaan. Malangnya disebabkan masalah tersebut, tumpuan saya kepada subjek lain mula terjejas, apatah lagi jika subjek tersebut bukan subjek yang saya minati. Kebetulan saya mengambil subjek Statistik dan Rekabentuk Kajian pada semester ini, dua subjek yang dianggap killer subject.
Saya amat bimbang disebabkan ingatan melampau saya kepada beliau, tumpuan saya akan berterusan hilang dan saya akan gagal dalam subjek berkenaan. Untuk makluman saudara, masalah saya semakin teruk selepas saya mendapat tahu bahawa pensyarah berkenaan telah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak. Mungkin saya mula merasa cemburu, entah lah..
Buat masa ini saya belum pernah menyatakan hasrat saya kepadanya, namun saya rasa tidak mampu lagi menanggung beban ingatan kepadanya. Harap saudara boleh memberi nasihat kepada saya supaya saya boleh nampak jalan keluar kepada masalah saya ini. Wati, Jitra Kedah.
 _____________________________
Terima kasih Wati dan tahniah kerana menjadi siswi pertama menyertai ruangan ini. Suaris amat mengalu-alukan email dari para siswa/i atas dasar ingin membantu dan turut berkongsi cerita. Buat pengetahuan semua pembaca, team suaris juga pernah melalui pengalaman kehidupan di universiti yang penuh dengan cerita. Kisah duka tu pula merupakan asam garam di mana-mana.
Melihat kepada latar belakang Wati, nampaknya Wati seorang anak tunggal dan mendapat perhatian penuh kedua ibu bapa. Mungkin kehidupan di universiti dengan kesibukannya menyebabkan perhatian yang sudah menjadi kebiasaan itu berkurangan. Hal ini boleh mendorong Wati untuk mengisi kekosongan itu dengan segera – dalam istilah kaunseling disebut untuk mencari ekuilibrium.
Dari cerita Wati, terdapat sedikit kesan yang dapat saya lihat iaitu Wati memerlukan perhatian, dan ‘keperluan’ itu telah Wati salurkan melalui minat Wati kepada pensyarah komunikasi. Hal ini tidaklah unik kepada Wati seorang, namun dalam kes Wati ia telah sedikit menyimpang. Sambil menghormati keinginan Wati kepada kesempurnaan dalam hal ini, yang diwakili oleh seorang pensyarah dengan sifat ideal yang Wati inginkan, namun saya memberi cadangan kepada Wati supaya ‘berundur’ sedikit. Maksudnya ialah cuba memasukkan fikiran rasional ke dalam fikiran Wati yang kini nampaknya pada ukuran atau norma tertentu kurang rasional.
Jika ingin dipanjangkan penerangannya, ia menjadi kurang rasional kerana sekiranya diteruskan hasrat Wati, Wati mungkin menimbulkan masalah lain kepada pihak kedua (pensyarah itu) atau pihak ketiga dan seterusnya. Maksudnya, keluarga pensyarah berkenaan serta ibu bapa Wati sendiri, yang mana dapat dilihat betapa sayangnya Wati kepada kedua mereka dalam email yang Wati kirimkan ini.
Satu dimensi lagi ialah apa yang disebut  eskapisme di mana seseorang yang menghadapi suatu kesukaran tidak cuba untuk menyelesaikan kesukaran tersebut tetapi mencari-cari jalan keluar yang lebih menyenangkan hati dan otaknya. Dalam hal ini saya mungkin silap. Cuma yang boleh saya sebutkan apabila Wati menghadapi kesukaran dengan subjek yang sukar, Wati tidak cuba mencari jalan menyelesaikan kesukaran itu, misalnya dengan berkongsi nota dengan rakan-rakan sebaliknya Wati twist kepada objek yang senang dan menggembirakan. Dalam hal ini, subjeknya ialah subjek Komunikasi Silang Budaya manakala objeknya ialah pensyarah berkenaan yang memberi peluang kepada otak untuk berfantasi. Fantasi itu menyenangkan, tetapi euphoria atau rasa nikmat yang diperolehi amat seketika sifatnya. Orang normal, khususnya mahasiswa dan mahasiswi lebih baik mencari objek yang membawa kesenangan jangka panjang, pada pandangan saya.
Tugas kaunselor bukan memberikan nasihat tetapi membuka jalan dan meneroka sehingga Wati boleh nampak jalan-jalan yang baru. Dalam hal ini sudah tentu terpulang kepada Wati sendiri samada Wati ingin mengembangkan perasaan sedemikian, atau menyalurkan perasaan tersebut ke saluran yang boleh diterima oleh norma masyarakat. Contohnya mencari seorang teman lelaki yang tidak perlu dikongsikan hatinya dengan sesiapa!
Moga-moga pandangan ini memberikan sedikit idea kepada Wati atau rakan-rakan siswi lain yang menghadapi masalah yang serupa dengan Wati.

  Kaunselor Zek  boleh dihubungi di umarzain@yahoo.com

                           ———————————————————————————————————————————————-
  
l.
imagesE110
Umar Zain  —  Mahasiswa & Eksperimen Cinta  
KEHIDUPAN universiti dikatakan berteraskan saintifik dalam segala hal – kecuali cinta. Universiti akan terasa sepi tanpa cinta. Begitulah kata mahasiswa.
Sesetengah mereka berpandangan bahawa cinta di universiti bukanlah sekadar berfungsi untuk memenuhi desakan masa dan rasa. Kalau diteruskan juga sikap ini, akan terhasillah suatu keadaan yangmemperkecilkan cinta, kata mereka.
Timbul juga persoalan, bolehkah ujud cinta sejati dalam kesibukan kehidupan di universiti, atau sekadar cinta suka-suka?
Jika ditanyakan kepada siswa, kebanyakannya berkata cinta sejati bukanlah sesuatu ungkapan manipulasi yang diciptakan untuk mencari seorang lagi kekasih – sekalipun nisbah siswi amat melebihi siswa di kesemua IPT kini. Istilah mereka – mereka anti amalan poligami dalam bercinta.
Pandangan berhubung cinta sejati lebih ditujukan kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang sedang mencari pasangan agar mereka berhati-hati dan mencari pasangan yang benar-benar sesuai dengan jiwa mereka. Kalau nak dipanjangkan lagi, pasangan yang sesuai tidak semestinya sama dalam setiap tindakan dan pemikiran. Kadang-kadang unsur dan sikap yang berlawanan saling melengkapkan.
Wujudkah cinta sejati kepada pasangan yang kononnya telah bertemu pasangan yang sehati sejiwa?
Sedangkan pada hakikatnya, itu adalah cinta pertama kali mereka, yang seringkali disebut ‘cinta pandang pertama’. Hakikatnya adalah orang yang bercinta pertama kali biasanya tertipu dengan bayangan perasaan yang begitu mengelirukan.
Misalnya, seorang pelajar lelaki yang mempunyai sikap rendah diri, kesanggupan seseorang gadis untuk menemuinya, lantas ditafsirkannya sebagai cinta pertama baginya. Keadaan ini boleh menyebabkan pelajar/siswa menjadi angau dan sasau. Lalu beliau mengambil satu keputusan, tanpa berfikir dengan panjang lebar lagi bahawa inilah cinta pertama dan terakhir bagiku. Kalau jodohnya baik, mungkin akan membawa ke jinjang pelamin misalnya apabila kedua-dua pelajar itu tamat pengajian di universiti dan mendapat pekerjaan yang boleh menjamin hidup.
Hakikatnya ialah, dalam kes-kes seperti ini, si jejaka tadi tidak pernah mencuba pilihan-pilihan yang lain dalam pencarian cinta sejatinya. Beliau tidak pernah meneroka kemungkinan-kemungkinan lain, kerana penerokaan itu sendiri dianggap sudah mengkhianati cinta pertama itu.
Hal ini samalah juga keadaannya dengan pihak siswi. Jadi, disyorkan lah kepada mahasiswa dan mahasiswi, janganlah terlalu terikat dengan cinta yang pertama, kerana dengan keterikatan itu, tidak mungkin kita tahu alternatif lain yang kebarangkaliannya lebih baik adalah tinggi.
Namanya lagi cinta pandang pertama. Pandangan pertama boleh sahaja berlaku di tepi-tepi jalan, di pasar-pasar malam mahu pun akibat sesuatu perlanggaran ataupun kemalangan. Pendek kata, sesuatu pertemuan yang berlangsung secara tidak sengaja.
Cinta pertama bukan tulin dan tidak bersandarkan asas yang kukuh dan rasional dalam pembinaan sesebuah hubungan yang matang dan mantap.
Hubungan yang mantap mungkin boleh berlangsung daripada hasil risikan dan tilikan serta kajian terhadap seseorang yang ingin dijadikan pasangan dalam masa yang berlangsung secara relatifnya lebih lama, berbanding dengan cinta pandang pertama yang mungkin berlangsung dalam satu saat.
Oleh itu, jangan sesekali diremehkan pandangan orang tua yang selalu kita anggap sebagai kolot apabila cuba mencari pasangan untuk kita. Kononnya, hak mencari pasangan adalah hak peribadi kita, tanpa perlukan campurtangan pihak ketiga. Orang tua menyusun aturan-aturan yang baik dan rasional dalam mencari pasangan yang sesuai. Ada proses risik, tilik dan bermacam lagi langkahnya sebelum alam rumah tangga dapat dibentuk.
Cinta pertamalah yang menyebabkan seseorang gadis berkahwin dengan seorang penagih dadah walaupun perangai dan amalan buruk itu telah diketahui sebelum mereka berkahwin. Dengan itu adalah disarankan konsep cinta agung bagi menggantikan cinta pandang pertama.
Cinta yang sejati adalah cinta agung. Cinta agung pada dalam konteks ini hanya boleh dicapai melalui pencarian. Namanya lagi pencarian, yang membawa maksud menyelidik, dan tidak ditipu oleh perasaan cinta yang buta sepertimana cinta pandang pertama.
Melalui kaedah cuba jaya, mungkin lepas seorang, seorang yang lain pula, kita akhirnya akan bertemu dengan cinta yang sejati ini. Dalam budaya percintaan Asia, orang yang mahu bercinta banyak kali seperti ini dianggap amat negatif. Mereka diberikan pelbagai gelaran buruk, sehingga dianggap pisau cukur bagi wanita,atau pun jika lelaki digelar buaya darat.
Selain daripada yang benar-benar berniat dan bersifat ‘buaya’ atau ‘pisau cukur’ pada nawaitunya sejak awal, terdapat lebih ramai yang bertukar pasangan kerana mencari kesesuaian. Sekiranya kesemua pasangan kekasih dapat menerima konsep cinta ‘cuba jaya’ seperti ini, maka tidak akan muncul lagi istilah-istilah seperti putus cinta, kecewa lara dan sebagainya, kerana putus cinta dianggap sebagai pertemuan yang ditakdirkan tidak sesuai.
Putus cinta akhirnya menjadi suatu yang positif. Ramai orang akan bersyukur kerana pernah putus cinta. Para gadis akan berkata-nasib baiklah aku putus cinta dengan si A, atau si B, kalau tidak sudah pasti aku tak akan senang lenang macam sekarang ini. Ini kerana, kalau dia kahwin dengan si A yang bekerja kerajaan, mungkin beliau tak akan menikmati taraf kemewahan berbanding dengan peniaga atau kontraktor.
Akhirnya, kepada mereka yang pernah putus cinta, harapannya biarlah mereka menganggap peristiwa tersebut sebagai peristiwa yang biasa-biasa saja. Bercintalah lagi, dan lagi dan lagi, teruskan mencari sehinggalah kita menemui cinta sejati seperti kisah Laila Majnun.
Sepatah kata ucapan si Majnun – yang mencintai Laila seluruhnya, segala kekurangan dan kelebihan, secara pakej dengan katanya, “Aku menyintai Laila termasuk selipar buruk dan anjing-anjing yang ada di rumahnya.”
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s