Anak Najib Ajak Mahathir Ikut Cara Tun Razak

KENYATAAN NAZIFUDDIN NAJIB TUN RAZAK
(Anak lelaki kedua DSN)

Saya membaca kenyataan Tun Dr. Siti Hasmah yang disiarkan dalam portal MalaysiaKini pada hari Rabu 17 Januari 2018 dengan tajuk berita “Siti Hasmah speaks fondly of Najib’s father” menerusi temu bual yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Mahathir.

1. Sebagai cucu dan generasi ketiga legasi Tun Abdul Razak, secara peribadi saya amat menghargai kenyataan Tun Siti Hasmah yang bernada “sayang” mengenai Perdana Menteri Malaysia kedua itu.

2. Dari kehebatan dasar Tun Razak dan penderitaan kerana penyakit yang tidak didedahkan kepada umum hingga kepada hubungan baik Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir disebut penuh cermat oleh Tun Siti Hasmah.

3. Saya amat tertarik dengan pengakuan Tun Siti Hasmah bahawa suaminya Tun Mahathir tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 jika tidak kerana Tun Razak yang telah mempersiapkannya. Ya, itu benar kerana Tun Razak yang bertanggungjawab membawa Tun Mahathir kembali menyertai UMNO pada tahun 1971 setelah disingkirkan keahlian UMNO pada tahun 1969 oleh Tunku Abdul Rahman.

Namun sejak kebelakangan ini; tingkah laku, perbuatan dan kata-kata yang Tun Mahathir lemparkan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak amat mendukacitakan, keterlaluan dan menyisihkan prinsip etika seorang mantan Perdana Menteri.

1. Jika difikirkan secara waras, perbezaan pendapat dalam politik memang lumrah apatah lagi dalam urusan tadbir urus negara yang Dato’ Seri Najib warisi dari zaman pemerintahan Tun Mahathir. Dalam konteks ini, sudah tentu Dato’ Seri Najib melalui zaman yang berbeza berbanding zaman Tun Mahathir. Kehendak dan kemahuan rakyat juga berbeza mengikut peredaran waktu yang cukup pantas. Terutamanya apabila kita kini hidup dalam era kemajuan bidang teknologi dan ekonomi digital yang berkembang pesat.

2. Justeru itu, tidak ada sebab untuk Tun Mahathir terlalu marah terhadap Dato’ Seri Najib melainkan jika terselit agenda tersirat sebagaimana yang disebut-sebut oleh sebahagian besar rakyat yang amat mengenali Tun Mahathir.

3. Jika Tun Mahathir benar-benar menghargai dan mengenang jasa Tun Razak, lindungilah anakandanya Dato’ Seri Najib sepertimana Dato’ Seri Najib melindungi Tun Mahathir dalam mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 hingga membawa kepada krisis politik di mana UMNO telah diharamkan pada tahun 1988. Bentengilah Dato’ Seri Najib sebagaimana beliau membentengi Tun Mahathir dalam krisis politik negara pada tahun 1998 sehingga mencetuskan gerakkan reformasi menjelang PRU10 pada tahun 1999.

4. Andai kata Tun Mahathir benar-benar menyayangi Tun Razak, biarlah hidup umpama Tun Razak: bersama UMNO hingga ke nafas yang terakhir. Tun Razak bawa Tun Mahathir kembali ke pangkuan UMNO untuk mengukuhkan, mempertahankan dan menjulang UMNO menerajui Malaysia di persada dunia. Bukan untuk menghancurkan UMNO.

Secara peribadi saya amat kesal kerana Tun Mahathir sanggup membelakangkan segala prinsip dan pencapaian yang dilakukannya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan juga sebagai Presiden UMNO. Tun Mahathir dilihat sekarang sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib. Realitinya sekarang, Tun Mahathir sanggup menggadai maruah untuk menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Pembangkang yang didominasi oleh DAP.

Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan; iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan ke-4 menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sumber: Malaysiakini

One thought on “Anak Najib Ajak Mahathir Ikut Cara Tun Razak

  1. Pingback: 简直就是金玉良言!首相敦马哈迪の「20句经典语录」⭐每一句都是人生格言,你一定要看!

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.