Nabi Isa Tidak Akan Bangkit Semula

Oleh ZAINUDIN IDRIS

Mukadimmah: kajian ini bertujuan untuk melahirkan pandangan ilmiah, tidak menyokong atau menentang mana-mana puak, golongan dan mazhab. Ia dibuat semata-mata kerana berpegang dengan nas al-Quran dan hadis yang sahih serta pendapat para ulama yang muhaqqiqin (ulama yang membuat kajian yang mendalam). Di manakah punca yang menyebabkan timbul perkhilafan yang berlarutan mengenai persoalan Nabi Isa a.s. ini? Penulis mengharapkan akan ada kajian lebih mendalam akan hal ini oleh cendekiawan muslim lain.

isa3-kuda
PADA hemat saya belum ada tulisan ilmiah dalam bahasa Malaysia yang membincangkan tentang kedatangan semula Nabi Isa a.s. pada akhir zaman nanti disebar untuk tatapan umum.

Memandang betapa pentingnya isu kedatangan semula Nabi Isa a.s. ini saya membentangkan di sini beberapa pandangan ilmiah.Ia dianggap sebagai mukadimah bagi mendorong para ahli ilmu dan cerdik pandai supaya membuat penyelidikan yang lebih ilmiah dan lebih meyakinkan, bagaimanakah hakikat sebenar kedatangan semula Nabi Isa a.s. dan apakah ia mesti dijadikan akidah Muslim atau sebaliknya?Secara umumnya masyarakat tidak langsung mempersoalkan kedatangan semula Nabi Isa a.s. pada akhir zaman nanti apakah ia merupakan akidah yang mesti dipertahankan atau sebaliknya?

Mereka tidak mengkaji berdasarkan nas al-Quran dan hadis berkaitan akidah percaya kepada kedatangan semula Nabi Isa a.s. yang dipegang mereka. Mereka hanya menjadi pak turut sahaja mengenai persoalan yang masih berada dalam kekaburan ini.

Berlakunya perkara itu amatlah mendukacitakan. Bagaimanapun, itulah yang menimpa seluruh umat Islam dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke hari ini. Puncanya ialah kesan-kesan bisa racun yang menular masuk daripada akidah rosak yang tumbuh di kalangan umat Islam sejak sekian lama.

Daripada akidah seperti inilah menular bermacam-macam gejala buruk yang berbahaya kepada cita-cita Islam dan di antaranya ialah: Menghancur lebur roh dan semangat jihad yang merupakan perjuangan yang amat dituntut Islam untuk mendaulatkan khalifah Islam di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Secara tidak disedari boleh berlaku penyelewengan dan pemesongan terhadap kitab suci alQuran dan sunah Rasulullah s.a.w. Mengekalkan penjajahan ke atas umat Islam buat selama-lamanya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Menyekat dan menghalang perkembangan ilmu pengetahuan secara ilmiah dengan menakut-nakutkan seseorang daripada berusaha mengkaji pengajaran-pengajaran yang diterima itu ke peringkat benar-benar ilmiah dan dapat diyakinkan.

Justeru perlu saya nyatakan di sini bahawa sebenarnya akidah kedatangan semula Isa a.s. adalah berasal daripada fahaman kaum Nasrani.
isa2
Berkemungkinan ia berasal daripada ajaran Paulos dan secara diam-diam ia berkembang dan menyerapi ke dalam pengajaran Islam. (Lihat Dr. Hasbullah Bakri, N abi Allah Isa dalam al-Quran dan Bible, muka surat 120) kaum Nasrani sememangnya telah sedia ada di kalangan orang Islam sejak zaman Rasululah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya lagi.

Mereka menyebar akidah mereka itu dengan tujuan untuk mengawal orang mereka supaya tidak percaya kepada kenabian Nabi Muhammad s.a.w. dengan memberi alasan bahawa nabi mereka, iaitu Isa a.s. akan datang kembali ke bumi bila dunia hampir kiamat nanti.

Akidah Kristian tidak berkembang luas pada zaman Rasulullah dan zaman Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar bin al-Khattab dan Khalifah Uthman bin Affan.

Bagaimanapun, selepas berlaku pertelingkahan antara puak-puak Bani Hasyim dengan puak-puak Bani Umaiyah ekoran pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib, maka ia muncul semula dan mula mendapat tempat. Akidah kebangkitan semula Nabi Isa a.s. muncul
dalam pelbagai bentuk termasuk Imam Mahdi.

Perlu diingatkan bahawa kajian ini bertujuan untuk melahirkan pandangan ilmiah, tidak menyokong atau menentang mana-mana puak, golongan dan mazhab.

Ia dibuat semata-mata kerana berpegang dengan nas al-Quran dan hadis yang sahih serta pendapat para ulama yang muhaqqiqin (ulama yang membuat kajian yang mendalam).

Oleh sebab pendapat ulama mengenai isu kebangkitan semula Nabi Isa a.s. saling bertentangan antara satu sama lain dan boleh dikatakan lebih banyak keraguan daripada keyakinan. Dan itulah yang mendorong penulis membuat kajian dan meneliti kembali isu ini berdasar kepada sumber asal, iaitu al-Quran berpandukan ayat 59 daripada surah an-Nisa:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada pemerintah di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Di kalangan umat Nabi Muhammad pun terdapat bermacam-macam puak dan kumpulan yang masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. Selain Ahli Sunah Waljamaah terdapat puak-puak lain yang amat jauh berbeza dengan puak Ahli Sunah Waljamaah.

Sebahagian besar puak-puak itu boleh dipanggil puak mubtadi’ (puak bidaah) seperti puak Syiah, puak Qadiani dan lain-lain. Semua puak ini mempunyai teori tersendiri mengenai kebangkitan semula Nabi Isa a.s. dan berdasarkan kepentingan masing-masing. Di manakah punca yang menyebabkan timbul perkhilafan yang berlarutan mengenai persoalan Nabi Isa a.s. ini?

Sebenarnya boleh dikatakan ada pokok pangkal yang menimbulkan kekhilafan yang menggugatkan ketenangan masyarakat disebabkan sentiasa muncul di sana sini manusia yang mendakwa menjadi Imam Mahdi atau Nabi Isa a.s. yang ditunggu-tunggu. Di antara pokok pangkal itu ialah perselisihan faham dalam memahami makna dan maksud ayat 33 daripada surah atTaubah. Allah berfirman:

“Dialahyang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

Imam Syah Waliyullah ad-Dahlawi rahimahullah taala dalam kitab-nya, Izalatul al-Khafa’ menyebut bahawa kaum Syiah berpendapat bahawa ayat berkenaan membuktikan bahawa Islam belum lagi sempurna dan untuk menyempurnakannya, pada pandangan Syiah, Allah akan mengutus seorang daripada anak cucu Fatimah azZahra’ pada akhir zaman….. nanti. Utusan Allah itu pula dikenali sebagai Imam Mahdi (imam yang mendapat petunjuk) dan kemudian akan diiringi oleh kebangkitkan Nabi Isa untuk menegak kembali khilafah islamiah (kerajaan khalifah Islam) dengan gagah perkasa.

Kedatangan Nabi Isa kali ini untuk menyempurnakan janji yang belum disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Para ulama muhaqqiqin (yang membuat kajian yang mendalam) berpendapat bahawa pendapat seperti ini amat mengelirukan kerana ia memberi erti bahawa Nabi Muhammad cuai dengan tugasnya sebagai seorang nabi agung.

Malah ia bercanggah juga dengan keterangan nas al-Quran sendiri yang menyaksikan bahawa Nabi Muhammad telah menyempurnakan tugasnya sebelum wafat dalam ayat tiga daripada surah al-Maidah. Allah berfirman:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat- Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
isa2

isa4
NABI ISA DALAM KENYATAAN ALQURAN

Bila anda menyelongkar gali keseluruhan isi kandungan alQuran pasti anda akan bertemu dengan ayat-ayat yang mempersoalkan tentang Nabi Isa a.s. dan peristiwa-peristiwa yang dihadapi baginda dengan kaum Nabi Israel.

Persoalan–persoalan itu amat jelas diperkatakan oleh Allah sebagaimana tercatat dalam beberapa surah dan di antaranya ialah tiga surah terpentingnya seperti surah Ali Imran (ayat 52-55), surah an-Nisa (ayat 157-159) dan surah al-Maidah (ayat 116-117).

Dalam ayat 52-55 daripada surah Ali Imran Allah berfirman:

“Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran daripada mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?” Orang-orang ‘Hawariyyuun’ (penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah). ”Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu; oleh itu suratkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).” Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak- bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: ”Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mematikan dan akan mengangkatmu kesisi-Ku, dan akan membersihkanmu daripada orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan.

Dalam ayat 157-159 pada surah an-Nisa pula Allah berfirman:

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah.” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa a.s.). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa a.s., sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan(pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada seorang pun daripada kalangan ahli kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa a.s. sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.”

Dan seterusnya dalam ayat 116-117 daripada surah alMaidah Allah berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: “Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?” “Nabi Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. “Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, aitu: “Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu” dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau mematikan aku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka,mdan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.”

Dalam ayat 52-55 daripada surah Ali Imran dan ayat 157-159 daripada surah an-Nisa Allah menggambarkan tentang hal Nabi Isa a.s. bersama dengan kaum ketika baginda masih hidup. Manakala dalam ayat 116- 117 daripada surah al-Maidah, Allah menggambarkan pula tentang hal Nabi Isa a.s. dengan kaum pada hari akhirat kelak.

Daripada keterangan ayat-ayat di atas sudah cukup jelas bagi kita untuk membuat kesimpulan bahawa persoalan kebangkitan Nabi Isa a.s. Namun nabi lebih yakin perlulah kita meneliti dan menganalisis dengan lebih mendalam tentang maksud ayat-ayat berkenaan terutama pada perkataan mutawaffika (mematikanmu – dan rafi’uka ilayya (mengangkatmu ke sisiku) yang terdapat dalam ayat 52-53 daripada surah Ali Imran dan tawafaitani (Engkau mematikan aku) dalam ayat 116-117 daripada surah al-Maidah.

Di dalam al-Quran terdapat banyak sekali perkataan tawaffa yang biasanya diertikan mati. Perhatikan beberapa contoh firman Allah di bawah. (as-Sajdah: 11) “Katakanlah Malaikat maut yang telah diserahi untuk mematikan kamu.” (an-Nisa: 97) “Sesungguhnya orang-orang yang dimatikan oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri.” (al-Anfal: 50)

“Dan kalau engkau melihat ketika malaikat mematikan orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.” (al-Anam: 61) “Dimatikan oleh utusan-utusan kami .” (al-Haj: 5) “Dan sebahagian kamu ada yang dimatikan.” (an-Nisa: 15) “Sehingga mereka dimatikan… ” (Yusuf: 101) … “Matilah aku sebagai Muslim dan perhubungkanlah aku dengan orang-orang yang baik”

Itulah beberapa contoh ayat al-Quran yang menyebut bahawa Tawaffa itu bererti mati seperti yang biasa dipakai dan difahamkan.

Memang tepat sekali perkataan tawaffani dalam surah al-Maidah dan mutawafika dalam surah AI-Imran dimaksudkan mati, iatu Nabi Isa a.s. sudah mati.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa maksud mati dalam semua ayat itu ialah kematian Nabi Isa a.s. selepas turun dari langit nanti.

Pendapat ini menganggap Nabi Isa a.s. masih hidup di ]angit dan baginda akan turun kembali ke dunia pada akhir zaman nanti.

Pendapat seperti ini tidak patut kita beri perhatian kerana ayat-ayat di atas telah menyatakan dengan jelas bahawa baginda sudah mati. Kedapatan satu perkataan lainyang perlu diteliti, iaitu perkataan ar-rafu seperti dalam ungkapan ayat al-Quran, rafiuka ilaiya dalm surah Ali Imran dan bal rafa’ahullah ilaihi dalam surah an-Nisa.

Kebanyakan ahli tafsir memberi erti ar-rafu itu ialah angkat. Angkat di sini ialah angkat Nabi Isa ke langit dengan secara tipu helah Allah, iaitu Allah telah menjadikan orang lain yang menyerupai Nabi Isa sebagai ganti di tempatnya dan baginda diangkat oleh Allah dengan jasadnya ke langit untuk meneruskan kehidupan di sana dan kemudian akan dikembalikan ke dunia di akhir zaman nanti. Dikatakan baginda akan menjalankan tugas menghapuskan babi dan memusnahkan salib.

Hujah mereka ini ialah:

Berpegang dengan beberapa riwayat yang memberitahu bahawa Nabi Isa a.s. akan turun kembali ke dunia selepas datang dajal dan sebagainya.

Sebenarnya semua riwayat itu bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain, sama dari segi perkataan mahupun dari segi maksud. Dalam pada itu tidak ada jalan langsung untuk mencari penyelesaian dan menyatukan percanggahan dan penentangan tersebut.

Keterangan yang saya muat di sini adalah diambil daripada penjelasan para ulama hadis dan di antaranya riwayat-riwayat yang mengelirukan itu yang disampaikan oleh Wahab bin Munabbih dan Kaab bin al-Ahbar di mana mereka berdua berasal dari Yahudi. Berpegang dengan hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah yang menyebut tentang kedatangan Nabi Isa a.s. pada akhir zaman. Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Tuhan yang nyawaku di tangan-Nya, hampir akan turun di kalangan kamu anak Maryam sebagai se orang pemerintah yang adil, maka ia akan menghancurkan salib, membunuh babi, menghapuskan bayaran jizyah dan melimpahkan harta benda sehingga tiada seorang pun mahu menerimanya dan adalah sekali sujud kepada Allah pada harl itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala yang ada di dalamnya.”

Sekiranya hadis ini dikatakan sahih, tetapi ia hanya menduduki tempat kedua saja berbanding al-Quran. Ia pula merupakan hadis ahad (lihat al-Maraghi, juz 3, halaman 169).

Para ulama telah sepakat bahawa hadis ahad tidak boleh dijadikan hujah dalam akidah dan benda ghaib.

Selain itu hadis Abu Hurairah ini pula termasuk dalam kumpulan hadis yang tidak masyhur sebelum berlaku kejadian pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan.

Beberapa ahli hadis seperti adDarqutni menolak hadis kerana ia dianggap hadis ma’lul (cacat) sekalipun riwayatnya terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Berpegang dengan kisah Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. yang disebut dalam beberapa hadis

Ringkas kisah itu ialah Nabi Muhammad ketika diangkat ke langit telah dibawa menyeberangi lapisan langit satu demi satu sehingga kepada langit kedua yang terdapat Nabi Isa a.s. di samping sepupu sebelah ibunya, iaitu Nabi Yahya a.s.

Sebenarnya perjumpaan Nabi Muhammad dengan Nabi Isa dan lain-lain nabi tidak lebih daripada peristiwa rohani dan ia tidak sama sekali berlaku secara jasmani.

Untuk memahami lebih terperinci tentang pengembaraan rohani Nabi Muhammad s.a.w. ini silalah merujuk kepada kitab syarah hadis seperti Fathu al-Bari, Zad al-Mi’ad dan lain-lain.

SELAIN daripada yang disebutkan dalam keluaran lalu, untuk mengetahui lagi pegangan-pegangan mereka, para ulama itu pernah memberi maksud kalimah ar-raf’u pada ayat-ayat berkenaan dengan erti bahawa Nabi lsa a.s. diangkat ke langit bersama-sama jasadnya berdasarkan hadis mikraj tadi.

Manakala golongan lain pula berpendapat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi lsa a.s. di dalam peristiwa mikraj itu ialah pertemuan secara jasad.

Mereka berdalil untuk menyokong fahaman dan akidah yang mereka warisi daripada hadis-hadis yang mereka jadikan dalil, mengikut pengertian yang mereka fahamkan daripada ayat sewaktu mereka menafsirkan ayat tersebut.

Jadi kalau kita lihat kembali kepada firman Allah pada surah Ali lmran yang bermaksud; “Sesungguhnya Aku mematikan engkau dan mengangkat engkau ke sisi-Ku” dan firman Allah dalam surah a n-Nisaa’; “Bahkan Allah telah angkatnya ke sisi-Nya… ” sudah tentu kita akan dapati bahawa ayat-yang kedua pada surah anNisaa’ itu telah membuktikan dengan sejelas-jelasnya betapa benarnya berlaku perjanjian yang telah tercatat di dalam kandungan ayat pertama tadi.

Sesungguhnya tetap benar perjanjian terhadap Nabi lsa a.s. bahawa beliau dimatikan oleh Allah dan diangkat darjatnya serta dibersihkannya daripada tipu helah jahat kaum kafir Yahudi yang memusuhi beliau.

Manakala ayat kedua tidak menyebut tentang mati dan pembersihan, hanya menyebut mengenai beliau diangkat ke sisi Allah. Maka di sinilah mesti dipadamkan pada ayat itu akan apa yang disebut pada ayat pertama dahulu untuk mengetahui di antara kedua-dua ayat di atas.

Jadi ini bererti bahawa Allah taala telah mematikan Isa, dan mengangkat ke hadrat-Nya, serta membersihkannya daripada sebarang kejahatan dan ancaman orang-orang kafir.

Al-Alusi di dalam tafsirnya Ruh al Ma’ani telah menafsirkan firman Allah pada surah Ali Imran “inni mutawafiika” dengan beberapa jalan yang paling terang. Di antaranya beliau menafsirkan yang bermaksud, “Sesungguhnya Aku menyempurnakan tempoh hidup engkau dan mematikan engkau tidak secara dibunuh atau dipukul, tidak kau biarkan sesiapa yang menguasai ke atas engkau supaya membunuh engkau.”

Maka kenyataan ayat ini adalah merupakan perkataan kiasan yang menunjukkan bahawa Isa tetap terkawal daripada kemusnahan oleh musuhnya dan sudah pastilah beliau disempurnakan ajalnya oleh Allah dengan mematikannya.

Manakala Syeikh al-Maraghi pun menerangkan bahawa ayat ini memberi berita gembira dengan terlepasnya Isa a.s. daripada tipu daya jahat kaum Yahudi untuk membunuhnya. Beliau membentangkan dua takwilan para ulama mengenai ayat ini.

Pada takwilan kedua beliau berkata, “Bahawa ayat ini dipakai mengikut zahirnya dan dimaksudkan dengan perkataan tawaffa di sini adalah mati biasa .” Jadi lebih jelas ayat ini bererti; “Sesungguhnya Aku matikan engkau dan Aku jadikan engkau setelah mati berada di suatu tempat yang tertinggi di samping-Ku.” Hal ini menyamai maksud firman Allah taala mengenai Nabi Allah Idris a. s. yang bermaksud, ”Dan Kami angkatkannya ke tempat yang tinggi.”

Maka tidak tersembunyi lagi kepada orang-orang yang memahami keterangan ayat pertama tadi, iaitu Allah angkatkan Nabi Isa a.s. setelah baginda meninggal (mati). Ini bererti, bahawa yang dimaksudkan ayat bukanlah jasad, sebaliknya yang dimaksudkan dengan ‘angkat’ di sini ialah ‘angkat’ martabat dan darjatnya. Malahan ayat yang mengiringinya pula telah menyebut dengan terang sebagaimana firman Allah, ”Dan membersihkan engkau daripada mereka yang kufur.”

Jadi yang ditunjukkan oleh ayat itu ialah sesuatu yang berhubung dengan urusan pengangkatan dan kemuliaan.

Pengertian yang seumpama ini banyak sekali pemakaiannya di atas kalimah ar-raf’u di dalam al-Quran, di antaranya: Allah berfirman di dalam surah an-Nur: 36,

“Pada rumah-rumah yang Allah izinkan supaya diangkat dan disebutkan (diingatkan) nama-Nya di dalamnya.” Surah al-An’am: 83; “Kami angkatkan martabat-martabat mereka yang kami kehendaki.”

Surah at-Taubah: 4; “Dan Kami angkatkan (masyhurkan) nama engkau.”

Surah Mariam: 57; “Dan Kami angkatkan ke tempat yang tinggi.” Surah Yusuf: 100; “Dan telah mengangkat (menaikkannya) kedua-dua ibu bapanya, keatas singgahsana dan mereka sujud kepadanya.”

Surah an-Nisaa’; 56, “Bahawa Allah telah mengangkatnya ke sisi-Nya.”

Hal ini samalah dengan perkataan Arab yang bermaksud, “Saya telah menemui kawan tertinggi (para malaikat)” dan samalah juga dengan firman Allah. “Sesungguhnya Allah bersama kita.” Semua ayat dan perkat aan-perkataan ini tidak memberi erti selain daripada pemeliharaan, penghormatan dan kawalan serta jagaan Allah s.w. t.

Oleh itu jelaslah bahawa Isa a.s. adalah seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya yang semuanya telah pergi atau meninggal dunia.

Samalah juga Isa a .s., beliau pun telah lama meninggal.

Sewaktu beliau masih hidup di kalangan kaumnya dahulu, beliau dimusuhi dan nyawanya diancam oleh kaum Yahudi.

Mereka melahirkan permusuhan dan penentangan secara terbuka dengan melakukan beraneka perbuatan jahat yang melampau. Telah menjadi kebiasaan para anbia dan rasul semua, apabila mereka berhadapan dengan bahaya durjana seperti itu, mereka terus bersandar dan bergagah diri kepada Allah.

Dengan kemuliaan serta kebijaksanaan-Nya, Allah memberi perlindungan kepada Isa dengan mengecewakan tipu helah jahat musuhya terhadap beliau seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Allah berfirman; “Setelah Isa merasai di kalangan mereka itu yang tidak mempercayainya (kufur) bertanyalah dia siapakah pembantuku kepada Allah.” (Ali Imran: 52) Manakala ayat pada surah Ali Imran pula menerangkan suatu berita gembira berhubung dengan Isa a.s. iaitu Allah memberitahu akan keselamatan Isa daripada tipu helah jahat kaum Yahudi yang bercita-cita untuk membunuh beliau, dan Allah menyempurnakan ajalnya, atau mematikannya dengan tidak dipukul atau dibunuh, dan tidak pula disalib oleh sesiapa pun. Dan Allah tinggikan kedudukan serta martabatnya seperti firman-Nya: “Ketika Allah menyatakan, ‘Wahai Isa, sesungguhnya Aku mematikan engkau, dan mengangkatkan darjatmu kepada Allah dan membersibkan engkau daripada mereka yang kufur’.” (Ali Imran: 55 )

Di sebalik inilah yang seharusnya difahamkan oleh para pembaca berkenaan ayat-ayat-yang berbubung dengan hal keadaan Nabi Allah Isa a.s. bersama kaumnya. Apabila ditumpukan fahaman kila tentang sifat Allah yang berlaku terhadap para anbia-Nya sewaktu datang rancangan jahat daripada musuh yang dilaknat-Nya.

Begitulah pula sepatutnya difahamkan oleh seorang yang mahzan ilmunya (bekas pengetahuannya). Belum ada termuat dengan kisah atau riwayat yang tidak mempunyai asas yang kukuh serta tidak pula layak dilibatkan dengan al-Quran.

Oleh itu bagaimanakah cara Nabi Isa a.s. boleh terselamat daripada tipu helah jahat kaum Yahudi yang panik itu? Adakah beliau ditarik begitu sahaja daripada kalangan kaumnya dan diangkatkan ke langit yang dikhayalkan itu?

Kalaulah secara yang demikian itu berlaku ke atas Nabi Allah Isa a.s. , maka itu adalah suatu yang di luar daripada sunatullah. Padahal Allah sudah menegaskan bahawa sunah-Nya di dalam kalam ini tidak akan bertukar ganti dan tidak berubah sebagaimana firman-Nya;

“Begitulah sunatullah bagi orang-orang dahulu dan tiada akan engkau dapati ketetapan sunatullah itu berubah.” (Al-Ahzab: 62)

Bagaimanakah pula Allah menyifatkan bahawa tipu daya-Nya adalah lebih baik daripada tipu daya mereka itu? Sedangkan manusia sudah tentu tidak berdaya menentang Allah.

Sesuatu yang luar daripada kebolehan mereka ini tidak mungkin berlaku melainkan mengikut sunatullah, dan cara yang tidak melampaui adat kebiasaan daripada sifat Allah di dalam hal-hal ini, sebagaimana yang berlaku ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Ini dinyatakan di dalam al Quran;

“Dan ketika orang yang tidak beriman (kafir) itu membuat tipu daya kepada engkau untuk mencelakan engkau, hendak menangkap atau membunuh, atau mengusir engkau. Mereka membuat tipu daya, Allah membuat tipu daya yang paling baik.” (Al-Anfaal: 30)

Alangkah jahatnya kaum Yahudi yang sentiasa memusuhi Nabi Allah Isa a.s. Mereka selalu berusaha untuk menjahanamkan Isa dari dunia ini. Kenyataan ini dapat dilihat daripada dakwaan-dakwaan palsu mereka yang kononnya sudah berjaya dengan cemerlang bagi menghapuskan musuhnya (Nabi Isa a.s.).

Dakwaan-dakwaan karut mereka itu telah pula dipaparkan kenyataan oleh Allah S.w.t. di dalam firman-Nya; “Dan perkataan mereka sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa anak Mariam, rasulullah.” Sedangkan mereka tidak dapat membuktikan dengan jelasnya tentang kebenaran dakwaan-dakwaan mereka.

Allah S.w.t. menolak dakwaan karut kaum Yahudi itu dengan ditegaskan di dalam firman-Nya; “Dan tidak mereka membunuh dan mensalibkan, tetapi mereka telah dikelirukan.” (An-Nisaa’:157)

Allah menyatakan bahawa peristiwa pembunuhan yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi itu, sebagaimana terdapat di dalam kitab-kitab Injil telah menjadi samar dan keliru di kalangan penulis-penulis kitab Injil itu sendiri.

Memang tidak diragukan lagi tentang kesamaran kisah-kisah pembunuhan ke atas Nabi Isa a. s., baik Yahudi mahupun Nasrani sejak awal-awal lagi. Sudah menjadi adat kebiasaan sejak turun-temurun lagi bagi masyarakat pada zaman itu, mana-mana orang yang telah dihukum palang (salib) membawa kayu pemalangnya sendiri, memikul ke tempat upacara pensaliban itu dijalankan.

Selain daripada itu kita dapati para periwayat kitab-kitab Injil saling berselisihan di dalam keterangan mereka. Di antaranya meriwayatkan bahawa Isa alMasih sendiri telah membawa palang salibnya ke tempat palang itu, dan terus dipalang(disalib).

Sementara perlwayat-periwayat yang lain pula menyatakan bahawa al-Masih ada membawa kayu salibnya itu tetapi setelah sampai di pertengahan jalan, kayu salibnya itu telah dibawa oleh seorang lelaki yang lain bernama Samian, dan dialah yang akan disalibkan nanti. Dari sinilah bermula Nabi Isa a.s. meninggalkan kaumnya (pengikut-pengikutnya) dan pindah ke daerah lain serta wafat di sana sebagai manusia biasa.

Ada juga berperndapat, Nabi Isa a.s. mengembara ke sebelah Timur.

Menurut para ulama Ahmadiah, Isa bermastautin di Kashmir dan meninggal dunia setelah umurnya tua. Beliau terkenal sebagai seorang yang soleh.

NABI ISA DAN SALIB

Sebenarnya kisah-kisah penyaliban terhadap Nabi Isa a. s. itu amat meragukan. Allah s.w.t. telah menerangkan hal ini di dalam al-Quran surah An-Nisaa’ ayat 157; “Sesungguhnya bahawa orang-orang yang berselisih faham tentangnya masih di dalam ragu.”

Bagi mengelakkan kekeliruan dan keraguan ini, para mujtahid di kalangan ulama Nasrani telah mengambil satu sikap, iaitu: Melaksanakan dan mempersuaikan di antara ayat-ayat yang terkandung di dalam keempat-empat Injil tadi iaitu Mathews, Marcus, Lukes dan Yohana, yang mana di dalamnya terdapat riwayat-riwayat yang berselisihan.

Menguatkan kedudukan salah satu daripada riwayat-riwayat yang berlawanan itu daripada yang lain untuk mengesahkan dan menguatkan riwayat yangmengatakan bahawa Isa a .s. telah disalib.

Padahal persesuaian dan penguatan ini yang dilakukan di antara riwayat-riwayat itu hanyalah semata-mata terserah kepada daya pemikiran para mujtahidnya sahaja, bukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan ayat dan ini adalah sangkaan-sangkaan semata-mata (ittiba’ az-zan) bukan qat’i.

Oleh itu takwilan-takwilan yang dangkal dan menyeleweng seperti ini telah dinyatakan oleh Allah S.w.t. di dalam al-Quran surah an-Nisaa: 157;

“Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,hanyalah mengikut persangkaan sematamata dan mereka tidak pula yakin membunuhnya.”
Tetapi Allah telah selamatkan Isa daripada pembunuhan itu dengan diangkatkan ke sisi-Nya sebagaimana firman-Nya; “Bahkan Allah angkatkan ke sisiNya dan Allah adalah Maha Kuasa lagi Bijaksana.” (AnNisaa’:158)

Para ulama Islam di dalam menafsirkan kedua-dua ayat di atas terpisah kepada tiga pendapat. Kita memang ketahui bahawa al-Quran bukanlah merupakan kitab sejarah dan tidak juga buku cerita yang mengisahkan hal Nabi Isa a .s. sejelas-jelasnya. Tetapi al-Quran hanya menyebutkan sesuatu yang penting sahaja, iaitu menyatakan bahawa Isa telah terselamat daripada tangkapan, hukuman dan pembunuhan, serta terlepas daripada menjadi mangsa penyaliban.

Jadi hanya dengan ringkas sahaja Allah menegaskan bahawa ia telah mengangkat Isa a.s. ke sisi-Nya.

Inilah yang menyebabkan para ulama Islam telah berusaha sedaya upaya menjelaskannya, menjawab dan menafsirkan ayat-ayat seperti ini, dengan cerita-cerita seperti berikut:

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi Isa telah dilepaskan oleh Tuhan ketika dia mahu ditangkap oleh orang-orang Yahudi di taman.

Beliau telah menyembunyikan diri daripada orang yang akan menangkapnya. Yahuda adalah seorang muridnya yang amat mencintainya telah dijadikan Tuhan serupa dengan Nabi lsa, dan dialah yang ditangkap di taman…dan terus disalib. Nabi Isa terlepas daripada tangkapan itu lalu Allah mengangkatnya kelangit,kemudian pada akhir zaman nanti beliau akan turun lagi ke dunia untuk mengislamkan orang-orang Nasrani. Segolongan ulama lain pula berpendapat bahawa Nabi Isa terlepas daripada penyaliban sewaktu dibawa orang dari istana Filathus iaitu hakim besar menuju ke Gulguta iaitu tempat menjalankan hukuman salib.

Mulanya Nabi Isa sendiri memikul kayu salib itu, tetapi dipertengahan jalan kayu salib itu telah ditukar kepada orang lain membawanya, dan dialah yang disalib, sedangkan Nabi Isa diangkat Allah ke langit.

Sekumpulan ulama lagi yang banyak persesuaian pendapat dengan ulama tafsir moden berpendapat bahawa Nabi Isa memang benar telah ditangkap di taman itu, dan dibawa ke istana dan terus ke Bukit Gulguta lalu disalib di sana. Tetapi penyaliban ini telah digagalkan oleh Allah, ertinya tidak sampai mati.Diserupakan sahaja kepada mereka (orang-orang Yahudi) seakan-akan Isa sudah mati, padahal hanya pengsan sahaja kemudian Isa dikuburkan di dalam pemakaman Yusuf. Setelah Isa sedar daripada pengsannya beliau keluar sendiri atau dikeluarkan dari perkuburan dengan tidak diketahui atau dilihat oleh pengawal-pengawal makam itu. Setelah empat puluh hari Nabi Isa(mungkin setelah sembuh benar daripada bekas luka-luka penyalibannya) diperintahkan oleh Allah taala meninggalkan wilayah Palestin dan mengembara ketempat lain.

Cerita-cerita yang dikemukakan oleh para ulama tafsir seperti di atas ini adalah untuk menjelaskan maksud ayat-ayat al-Quran yang bersangkutan, tetapi semuanya adalah cerita Israiliat belaka.

Bagi kita, tidak perlu dan mustahak lagi untuk mencari cerita-cerita yang tidak sahih dan tidak mempunyai asas kukuh walau dari mana sekalipun sumbernya untuk dijadikan keterangan-keterangan dan mensyarahkan al-Quran.

Tidak perlu pula bagi kita membenarkan cerita-cerita yang sedemikian.

Sebaliknya, apa-apa yang diterangkan oleh al-Quran, dan yang kita dapati termaktub di dalam kitab-kitab al-Ihya selainnya, yang menyamai dengan maksud al-Quran itu sahaja yang pasti kita ingati, dan dijadikan sebagai pegangan.

Di dalam surah an-Nisaa’ :159 Allah berfirman: “Dan di antara ahli kitab itu ada yang beriman dengan Nabi Muhammad sebelum matinya (ahli kitab itu) dan pada hari kiamat (Muhammad) adalah saksi terhadap mereka.”

Setakat yang dapat saya lihat daripada kitab-kitab tafsir tentang pengertian ayat ini bolehlah dirumuskan sebagai kesimpulannya ialah bahawa kebanyakan para mufassirin mengatakan bahawa semua ahli kitab diwaktu Nabi Isa a.s. turun dari langit nanti, akan beriman kepadanya, yakni kepada Isa sehingga tidak tertinggal walau seorang pun.

Mereka kembalikan kata gantinama perkataan ‘bihi’ dan ‘mantahi’ pada ayat itu kepada Isa a .s., padahal sepatutnya itu dikembalikan kepada Muhammad yang bererti seperti berikut:

“Tidak ada seorang pun di kalangan ahli kitab melainkan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebelum ia mati.”

Ini adalah lebih tepat, dan lebih logik berpandukan kepada pendapat-pendapat yang dibentangkan oleh para muhaqqiqin dan mufassirin seperti al-Allamah AnNasafi di dalam tafsirnya dan Imam Nawawi r.a. Di dalam sahih muslim, malahan kenyataan-kenyataan yang sedemikian juga dilihat kepada suasana t.urunnya ayat ini, ataupun dilihat kepada penyusunan ayat.

Nyatalah bahawa yang dimaksudkan dengan ahIi kitab yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu ialah kaum Yahudi Madinah semasa dengan Nabi s.a.w. sahaja, yang telah mendesak Nabi s.a.w. supaya menurunkan sebuah kitab dari langit.

Itulah keadaan iman kaum Yahudi Madinah ketika Nabi Muhammad s.a.w. , sama ada secara sukarela mahupun terpaksa.

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa yang dimaksudkan dengan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. di sini ialah iman dengan makna lughawi, yang membawa pengertiannya lebih umum daripada iman syar’i yang bererti mentasdikkan (membenarkan) ajaran yang dibawa oleh rasul.

Ini bererti bahawa keseluruhan ahli kitab yang berada di Madinah semasa hayat baginda Nabi s.a.w. itu terpaksalah tunduk dan patuh kepada hukum Nabi s.a.w. sama ada secara sukarela atau terpaksa, dengan terus masuk Islam atau sekadar mematuhi, atau menjunjung perlembagaan kerajaan Rasulullah s.a.w. secara lahir sahaja setelah bertelagah dan bertentangan.

Ataupun segala-gala perintah dan hukum-hukum Nabi s.a.w. dapat dilepaskan dengan jayanya di kalangan masyarakat Yahudi Madinah pada masa itu dengan kekuasaannya.

Bagindalah yang dimaksudkan oleh ayat dan juga pengertiannya, tidak lagi pula dijadikan ayat ini sebagai dalil kedatangan Isa a.s. di akhir zaman sebagai tanda kiamat hampir tiba dengan merujuk dan mengembalikan damir pada perkataan dan mautah itu kepada Isa sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli tafsir kerana perbuatan seperti ini merupakan taklif yang tidak sesuai dengan mafhumNya serta pula boleh mendorong perasaan seseorang Muslim alpa dan cuai serta hilang minat daripada beramal dengan alQuran.

Untuk anda mendapat kefahaman yang lebih jelas pula, anda lihat kembali kenyataan ayat yang berbunyi:

“Ahli kitab meminta kepada engkau supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari Iangit. Sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa lebih besar daripada itu. Mereka berkata perlihatkanlah Allah kepada kami secara terang-terang.” (An-Nisaa’ :153)

Maka apabila kita lihat kepada ayat 159, nyatalah kepada kita bahawa yang dimaksudkan dengan ahli kitab pada ayat ini ialah ahli kitab yang dimaksudkan pada ayat 153 sebelumnya, bukan ditujukan kepada keseluruhan ahli kitab, apatah lagi ahli kitab yang di akhir dunia sewaktu kiamat hampir tiba masanya.

Oleh itu, kenyataan para ahli tafsir seperti yang saya sebutkan di atas tadi di dalam menghuraikan maksud ayat ini tidak dapat diterima kerana sudah bercanggah dengan kenyataan ayat-ayat serta pula tidak masuk akal sama sekali.

Kebangkitan nabi Isa – bukan soal akidah

Suatu perkara penting yang patut kita sama-sama berfikir, merenung dan mengkaji kembali ialah sewaktu membaca al-Quran. Selalu kita dapati, dalam kandungan ayat-ayat yang memberi makna imbasan kepada sesuatu maksud iaitu tidak jelas maksudnya. Oleh sebab itu, mereka terpaksa mencari dan menyelongkar segala riwayat dan hadis, sekalipun kedua-dua sumber itu tidak sahih. Yang utama riwayat dan nas itu disandarkan kepada nabi.

Sebahagian para ulama bersikap sedemikian disebabkan oleh kelemahan yang teramat sangat bagi mereka untuk mengecam (kenal pasti) dan mengenali di antara hadis-hadis yang sahih dan tidak sahih. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pengambilan riwayat-riwayat yang tidak sahih bagi menerangkan maksud ayat-ayat yang samar pengertiannya sebagaimana masalah kedatangan Nabi Isa a.s di akhir zaman nanti (muncul Isa) dan sebagainya.

Pada masalah Isa a.s banyak terdapat riwayat yang tidak sahih dijadikan sandaran untuk mensabitkan biarpun riwayat-riwayat itu bercanggah dengan keterangan nas al-Quran.

Oleh sebab wujudnya riwayat-riwayat kedatangan Isa a.s dan juga ketibaan Imam Mahadi di dalam kitab-kitab hadis serta riwayat-riwayat, kisah seperti ini telah sebati dan menjadi pegangan akidah umat islam umumnya.

Akibatnya wujudlah satu pintu yang membolehkan berlakunya sesuatu yang tidak patut ke atas kitab suci al-Quran.

Sama ada disedari atau tidak, contohnya dalam kitab-kitab tafsir, terdapat para pentafsir yang mengambil apa sahaja ayat-ayat yang menampakkan makna imbasan yang secucuk dengan akidah yang mereka warisi. Dalam keadaan ini mereka terus mengambil maksud hadis tersebut mengikut akidahnya tanpa dihalusi terlebih dahulu.

Soal ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya dia (Isa) itu adalah pemberitahu tentang hari kiamat, sebab itu janganlah kamu ragu-ragu tentang hal itu.” al-Quran Zuhruf ayat 61

Beberapa ahli tafsir berpendapat bahawa maksud ayat ini menerangkan kedatangan Nabi Isa a.s kali kedua ke dunia ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat sudah hampir tiba masanya.

Pendapat-pendapat seperti ini berpunca daripada akidah yang sedia wujud bersemadi di dalam jiwa mereka.

Mereka tidak mempunyai dalil yang sahih kecuali hanya bersandarkan kepada riwayat-riwayat yang tidak terang yang mereka dapati dalam kitab-kitab hadis.

Dari itu mereka boleh meyakinkan dirinya bahawa Nabi Allah Isa a.s masih hidup dan berada di langit. Malah Nabi Isa a.s akan turun ke dunia buat kalinya keduanya kerana berpegang kepada riwayat-riwayat seperti yang tersebut.

Disebabkan akidah mereka seperti yang disebutkan, setelah mereka bertemu dan melihat ayat yang bermaksud: “sesungguhnya dia Isa itu adalah pemberitahu hari kiamat”, mereka terus mengertikan ayat ini dengan turunnya Nabi Allah Isa a.s ke dunia di akhir zaman nanti.

Sekali gus menunjukkan tanda kiamat hampir tiba. Pengertian seperti ini merupakan suatu kesilapan yang boleh menyelewengkan maksud ayat-ayat al-Quran. Nauzubillah.

Sebenarnya kalau anda menilai dengan cermat dan menghalusinya di samping menumpukan haluan pada ayat-ayat yang dituju semata-mata, nescaya anda akan dapati mafhum ayat tersebut dengan dhamirnya ‘ia mahu’ itu kembali kepada Ibnu Maryam (Isa). Bukannya membawa maksud kedatangan semula Isa a.s dari langit. Ini kerana ayat sebelumnya menegaskan, sebagaimana firman Allah melalui surah al-Zuhruf ayat 57 yang bermaksud: “Dan ketika anak Maryam dijadikan perbandingan, kaum engkau bersorak kerananya.”

Maka nyatalah dengan keterangan maksud pada awal surah al-Zuhruf ayat 61 ini, tidak ada makna sedikit pun dengan masalah nuzul Isa atau kedatangan Nabi Allah Isa a.s buat kali kedua ke dunia ini sebagai tanda kiamat sudah hampir tiba masanya.

Sedangkan yang dimaksudkan dengan perkataan ‘As-saah’(hari kiamat) pada ayat ini pula bukanlah seperti mana yang boleh diketahui umum iaitu berlakunya kemusnahan dan kehancuran alam semesta ini secara keseluruhannya. Tetapi yang dimaksudkan dengan perkataan ‘As-Saah’di sini ialah kebangkitan nabi kita sebagai nabi terakhir (penutup segala nabi), Muhammad s.a.w.

Oleh itu bererti, Nabi Allah Isa a.s amat mengentahui tentang adanya suatu perubahan alam yang besaar khususnya pada masa-masa akhir selepas peningalannya iaitu kebangkitan nabi besar, Muhammad s.a.w untuk menyambung kembali risalahnya hingga ke akhir zaman dunia.

Kenyataan ini dapat dilihat daripada keterangan-keterangan yang tercatat dalam kitab injil. Nabi Allah Isa a.s sendiri telah berkata-kata dalam injil yang bermaksud,

“sesungguhnya Ahmad akan berada di kalangan kamu. Pada suatu ketika mengajarkan kamu ilmu dan mendidik adat sopan manusia serta membersihakan akhlak mereka(21).
isa
Daripada maksud perkataan Nabi Allah Isa a.s ini, tidaklah benar soal kebangkitan di kalangan para ambia selain dari nabi besar Muhammad s.a.w .

Daripada huraian-huraian lanjut yang saya bentangkan di sini agak sudah mencukupi untuk anda meyakinkan di mana hakikat sebenarnya masalah ini dan dapatlah anda sebut sesuatu keputusan dengan akal fikiran yang terbaik yang tidak lagi boleh didatangi oleh syubhah dan kekeliruan.

Untuk lebih meyakinkan lagi, sukacita saya mempelawa saudara para pembaca agar bersama-sama meninjau dan melihat secara lebih dekat kepada kitab sahih al-Bukhari sendiri berhubung dengan masalah ini.

Di samping itu, bagaimanakah pula cara penjelasan dan teknik yang ditunjukkan didalam bahagian akhir kitab al- Bukhari.

Imam Bukhari menjelaskan masalah ini seperti berikut: “Bab ini beliau sebut lebih dahulu satu bab daripada bab. Beliau menegaskan pada bab pertama iaitu dengan katanya, “ berkata Ibnu Abbas r.a bahawa maksud perkataan “Mutawaffik” pada firman Allah ‘inni Mutawaffik’, diertikan dengan mematikan engkau, beliau menjadikan bab pertama sebagai mentafsirkn firman Allah pada ayat 117 surah al-Maidah yang bermaksud,, “…dan aku menjadi saksi ke atas mereka, selama aku hidup bersama mereka. Tatkala Engkau mewafatkanku, Engkaulah mengawas mereka. Engkau menjadi saksi di atas setiap sesuatu”.

Maka mati yang dimaksudkan pada ayat ini tidak mungkin sama sekali dipakai kembali kepada maksud mati seperti yang dikhayal-khayalkan oleh sebahagian kaum muslimin iaitu Nabi Allah Isa a.s turun kembali ke dunia dengan tugas-tugas risalahnya selepas beliau mati.

Soalnya, kalaulah yang dimaksudkan mati itu selepas daripada Nabi Isa a.s turun dari langit, maka tidak timbul soal Allah mengangkat Isa a.s ke langit dan mengawasi kaum bani Israel. Ini kerana kematian Isa a.s itulah yang membawa kepada pengawasan terhadap bani Israel. Yang pasti Nabi Allah Isa a.s tidak pernah pun berpesan kepada bani Israel supaya dia dan ibunya dijadikan sembahan.

Hal ini telah berlaku selepas ratusan tahun pertama sedangkan kematian Isa a.s berlaku sebelum ratusan tahun pertama lagi. Para ulama seperti ibnu Qayim, ibmu Taimiyah, Imam Bukhari,Imam Malik dan imam-Imam yang terkemuka, semuanya memberi pengakuan di atas kepastian kematian Nabi Isa a.s.

Imam Malik meneagaskan bahawa Isa a.s telah meninggal setelah berusia tiga puluh tiga tahun.

Demikianlah cara yang digunakan oleh Imam Bukhari.

Beliau tidak meletakkan tafsir ibnu al-Abas ini pada surah al-Imran kerana bertujuan agar ayat tersebut tidak diubah apabila ditafsirkan.

Sebaliknya beliau pindahkan perkataan Ibnu Abbas ke dalam bahagian tafsir surah al-Maidah yang bertujuan agar tidak ada lagi orang beranggapan bahawa maksud ‘Mutawaffik’ pada ayat itu adalah mati setelah turun dari langit.

Maka maksud daripada isyarat Imam Bukhari di sini ialah, perkataan ‘Mutawaffik’ yang ditambahkan dengan penjelasan perkataan ‘Mumaiyituka’ (mematikan engkau) ialah menayatakan kematian Nabi Isa a.s.

Ia telah pun berlaku dalam lingkungan ratusan tahun pertama lagi. Bukan ribuan tahun-tahun akan datang di saat berlakunya kemusnahan alam semesta ini.

Apabila ditinjau dan diselidiki pendapat-pendapat para ulama yang muhaqqiqin, mereka semua tidak mengisyaratkan agar soal kedatangan Isa a.s di masukkan ke dalam bahagian akidah islamiah.

Yang pasti bagi mereka yang bermazhab dengan mazhab ahli sunah serta berakidah dengannya, sohibul al-Muwaffiq dan sohibul al-dudiyah juga catatan Jalaluddin Diwani di dalam kitabnya, al-akaid al-dadudiyah tidak berani untuk berterus-terang supaya masalah Isa ini dimasukkan ke dalam bahagian akidah atau sebaliknya.

Bahkan difahamkan, daripada penjelasan selanjutnya, menunjukkan beliau sendiri tidak bersetuju apabila masalah ini dilibatkan dalam akidah.

Hanya dengan ringkas beliau menyebut di akhir kitabnya, dengan membawa dalil-dalil kenabian (nubuwah), nabi Muhammad s.a.w sebagai penutup para anbia iaitu ‘tida nabi selepas ini’.

Ini bersandarkan kepada firman Allah yang bermaksud, “pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan bagi kamu nikmat-nikmat kamu, dan Aku redha bagi kamu islam adalah agama kamu.”

Beliau menegaskan, dunia selepas kebangkitan nabi Muhammad s.a.w tidak memerlukan lagi kepada perutusan nabi-nabi selepasnya.

Kerana itu nabi Muhammad s.a.w dianggap sebagai nabi terakhir.

Katanya lagi ada pun kedatangan Isa a.s dengan membawa syariat nabi Muhammad s.a.w itu hanya untuk menguatkan hujah bahawa nabi Muhammad s.a.w adalah penyudah bagi segala nabi. Sekali gus kenyataan yang dibuat oleh para ahli akidah menunjukkan masalah Isa ini bukan masalah akidah. Tetapi hanya orang degil sahaja tetap berpegang dengan akidah datuk nenek mereka sekalipun perkara yang diakidahkan itu tidak mempunyai kenyataan-kenyataan dan nas-nas yang terang sebagaimana Allah melalui surah al-Zuhruf ayat 22 yang bermaksud,

“Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami memeluk sesuatu agama dan sudah tentu kami ikut sahaja jejak mereka”.

Oleh Ustaz Zainuddin Idris. Keluaran pertama pada 25 Januari 1976 dan keluaran kedua pada 22 Disember 1979. Kampung Binjai Jalan PCB Kota Bharu, Kelantan.

9 thoughts on “Nabi Isa Tidak Akan Bangkit Semula

  1. Nabi isa ialah manusia..dan manusia pasti mati. itulah sunah tuhan yang tidak akan berubah.
    mengikut sunah tuhan juga, setiap hari kiamat atau kebangkitan atau ketentuan pasti akan ada juruselamat/messiah untuk membetulkan akidah dan menegakkan din tuhan, dan din tuhan itu ada dalam taurat,injil dan alquran.
    penutup segala nabi bukanlah muhammad nabi terakhir tetapi nabi muhammad telah melengkapkan segala sifat nabi.

    Like

    • Nur Ain qistina Amni sufi kami akan cuba untuk mendapatkan keputusan yang baik untuk kesihatan diri kita sendiri. Saya akan berusaha 2,000 yen emm

      Like

    • Nabi isa masih hidup diangkat ke langit dan dia akan mati apabila terjadinya kiamat tiada satu makhluk yg akan hidup ketika kiamat walaupun malaikat, Jibril, syaitan malaikat maut

      Like

      • Dah jadi pegangan hampir semua ulama muktabar termasuk imam empat mazhaz ahlisunnahwaljamah, bahawa Nabi isa tidak mati sehingga hari kiamat sebaliknya yang disalib adalah salah seorang yang berpura-pura menjadi pengikut nabi isa. Diriwayatkan oleh sahabat dari nabi muhammad, orang-orang yang hendak menangkap nabi isa itu diselubungi kabus yang gelap sehingga menutup pandangan mata mereka saat mereka mengepung nabi isa. Lalu Allah menyelamatkan nabi isa dengan mengangkat dia kesisiNya sedangkan para Hawariyyun berada bersamanya dan diserupakan pengikutnya yang berkhianat itu menyerupai nabi isa. Sebab itu ada catatan kisah sejarah versi kristian/romawi sewaktu ditangkap orang yang dikatakan sebagai isa itu, menjerit mengatakan dia bukan isa kerana dia tidak tahu sebenarnya Allah menyerupakan dia dengan isa. Malah orang ramai menuduh dan menyangka nabi isa telah menjadi gila kerana ajaran sesatnya sehingga tidak mengakui lagi dirinya sebagai isa bin maryam sedangkan mereka semua ragu-ragu benarkah orang yang mereka tangkap itu nabi isa sedangkan mereka tidak tahu Allah telahpun menipu pandangan mata mereka dengan menjadikan orang yang mereka tangkap itu menyerupai nabi isa. Malah ada catatan dalam bible, sewaktu disalib orang itu merintih seakan berkata “Tuhanku, Tuhanku. kenapa engkau membiarkan aku?” Adakah nabi isa akan berkata demikian kalau dia yakin dengan kuasa Allah akan menyelamatkan dia dari disalib.
        .
        Cuba jelaskan pasal pula 10 tanda-tanda kiamat yang disebutkan dalam banyak hadis sahih tanda besar kiamat. Salah satu tanda besar kiamat adalah turunnya nabi isa kembali ke muka bumi. Sabda Nabi muhammad, tidak akan terjadinya kiamat sebelum turunnya Isa Ibnu Maryam.
        Turunnya bukan untuk bawa syariat atau ajaran baru tapi untuk membetulkan akidah dan ajaran umat kristian yang semakin bercelaru kepada ajaran islam yang sebenarnya. Dan isa akan menjadi pengikut nabi muhammad bersyahadah sebagaimana umat islam yang lain. sebagaimana kata nabi muhammad, kalau isa masih hidup sewaktu aku masih ada, isa mesti mengikut aku dan ajaran islam yang aku bawa.
        Dan salah satu tanda kiamat lagi akan keluarnya Yakjuj Makjuj dimasa turunnya Nabi Isa semula kebumi. Keluarnya Yakjuj dan Makjuj setelah runtuhnya tembok yang dibina oleh Zulkarnain, seperti yang tercatat dalam surah Al-Kahfi. Peristiwa ini saling berkaitan sebagai satu tanda kiamat. Kerana dimasa keluarnya Yakjuj Makjuj, tiada manusia yang akan selamat dari kezaliman yakjuj makjuj sebaliknya hanya yang bersama nabi isa sahaja diselamatkan dengan wahyu Allah. Dan nabi isalah yang dikatakan akan memohon doa kepada Allah mematikan yakjuj makjuj kerana doanya makbul sebagai seorang nabi. Atau anda tak percaya adanya hari kiamat dan mendustakan nabi muhammad dan ayat al-quran.
        Sebahagian orang Yahudi meyakini Nabi Isa telah mati, kerana menyangka Isa telahpun mati disalib malah Isa tidak dianggappun sebagai salah seorang nabi dari bani israel sebaliknya menuduh isa seorang yang sesat dan sebagai tukang tenung atau tukang sihir kerana memang zaman itu banyak tukang sihir dan tukang mengaku sebagai nabi. Dan orang yahudi sendiri mengaku mereka memanggil tukang tenung atau tukang sihir sebagai nabi atau prophet kerana bagi mereka nabi adalah orang yang boleh meramal dan membuat perkara luarbiasa.
        Namun hanya Hawariyyun saja yang tahu, nabi Isa masih hidup dan diangkat ke langit kerana itu ada sebahagian pengikut nabi isa selepas itu mempercayai kedatangan semula nabi isa sebagai sebahagian janji Allah dan sabagai berita gembira kepada mereka sehinggala kepercayaan ini meresap dalam agama kristian yang telah diselewengkan. Namun bezanya kitab bible yang telah dikarang semula mengatakan nabi isa mati disalib sebagai menebus dosa umat manusia dan dia hidup semula 3@4 hari selepas ditanam kemudian dia naik kelangit menjelma sebagai Anak Tuhan dan akan turun untuk menyelamatkan orang kristian ikut keyakinan mereka, ini adalah bathil serta dikarang semula atas sangkaan mereka untuk menutup cerita yang sebenarnya tentang pengkhianatan mereka yang hendak menangkap dan membunuh nabi isa tapi digagalkan oleh Allah tanpa pengetahuan mereka.
        Isu persoalan turunnya kembali nabi isa tak timbul dalam masalah akidah sebaliknya lebih kepada furu’ sebab kita tak tau bila kiamat akan berlaku dan bila isa akan diturunkan hanya sebagai tanda berlakunya kiamat. Yang menjadi masalah akidah adalah keimanan kita kepada adanya hari kiamat dan pembalasan diakhirat.
        Kalau betul nabi muhammad ada menyebutkan nabi isa akan turun semula ke bumi sebagai satu tanda kiamat, maksudnya anda mendustakan nabi muhammad dan juga ayat Al-quran yang diturunkan oleh Allah.
        Peristiwa kelahiran Nabi isa, pengangkatannya kesisi Allah, kembalinya ke bumi dan sehingga dia meninggal adalah dianggap tanda dan bukti keterangan yang nyata akan kekuasaan Allah dan kebenaran ajaran Islam. Allah mampu menghidupkan dan mematikan sesiapa yang dikehendari. Tapi seperti iblis dan sebahagian besar para malaikat yang diberi umur yang panjang sehingga hari kiamat, Allah juga mampu memberi nabi isa umur yang panjang sedangkan umur nabi adam sahaja selepas diturunkan kebumi hidup lebih seribu tahun, apalagi nabi nuh hidup sehingga 950tahun. Ada riwayat mengatakan Nabi muhammad pernah berkata, nabi isa ketika diangkat kelangit akan hidup di sisi Allah selama 2 hari dilangit sebelum dia diturun semula ketika hampir berlakunya kiamat.
        Dan kena ingat waktu di langit disisi Allah adalah tidak sama dengan waktu di bumi, 1 hari dilangit bersamaan 1000 tahun waktu dibumi. Maksudnya sekarang ni nabi isa dah tinggal dilangit lebih 2000 tahun sejak peristiwa dia diangkat kelangit. Dan nabi muhammad kata umur ummatnya hanya 1 setengah hari disisi Allah, maksudnya lebih kurang 1500 tahun sejak nabi muhammad diutuskan menjadi rasul sehingga hampirnya hari kiamat. Dan tepatnya setelah 2022 tahun nabi isa diutuskan sebagai rasul dan dikatakan telah meninggal, tak sampai 50 tahunpun umur ummat nabi muhammad nak cecah 1500 tahun. Maksudnya, tak lama dahpun akan berlakunya peristiwa turunnya semula nabi isa kebumi lepas tu kiamat akan berlaku.
        Ya nabi isa masih hidup dengan jasadnya dilangit sebagaimana dia pernah hidup atas muka bumi. Dan nabi muhammad berjumpa dengan nabi isa dan nabi lain bukanlah secara rohani sebagaimana sangkaan sebahagian orang islam dan orang munafik zaman itu sebaliknya adalah dengan jasad dan dalam keadaan sedar. sebagaimana kata nabi muhammad, para anbiya itu mereka tidaklah mati melainkan tetap hidup disisi Allah. Siapa yang tak meyakini peristiwa isra mikraj itu berlaku dalam keadaan nabi sedar dan nabi di naikkan arasy bertemu Allah dengan jasadnya serta melihat zat Allah dengan mata kepalanya yang sebenar-benarnya nabi kata boleh termasuk dalam kalangan orang munafik. Kerana peristiwa ini sebagai tanda mukjizat kerasulan nabi muhammad sebagaimana termaktub dalam al-quran, surah Al-Isra ayat 1 yang menerangkan bagaimana Allah telah memperjalankan Nabi Muhammad ke Masjidil Aqsa dan mengisrakan baginda sehingga kenlangit ke tujuh iaitu arasy Allah hanya dalam satu malam. Ini untuk menunjukkan kekuasaan Allah itu membolehkan Dia melakukan apa saja yang dikehendakiNya sehinggakan Dia boleh membawa Nabi Muhammad menempuh perjalanan ke langit bersama malaikat jibrail hanya dengan sekelip mata.
        nabi isa akan diturunkan untuk menjadi saksi kepada ahli kitab yang masih hidup mengikut ajarannya serta meyakini Allah Tuhan Yang Esa, kerana ada sebahagian kecil orang yahudi dan kristian hari ini masih meyakini Tuhan hanyalah satu walaupun kitab suci dan ajaran mereka telah diselewengkan. Dia akan menyangkal dakwaan orang kristian yang mengatakan isa ibnu maryam anak Tuhan dengan hidup diakhir zaman sesuai mengikut ajaran nabi muhammad dan kemudian berkahwin serta meninggal sebagai bukti dia hanyalah manusia biasa yang tetap akan menemui ajal. Dia akan mengakui depan pengikut agama kristian bahawa islamla agama yang sempurna, dia akan bersaksi depan orang kristian nanti bahawa Tiada Tuhan Yang layak disembah selain Allah dan Muhammad Utusan Allah. Jadi dia akan berlepas diri dan tak bertanggungjawab keatas orang-orang yang mengatakan dia anak tuhan atau tuhan. Itulah tugas yang perlu diselesaikan oleh nabi Isa apabila turun kembali kemuka bumi. Tiada syariat baru atau ajaran baru yang akan dibawa baginda sebagai seorang rasul . kerana nabi isa sedia maklum sejak dia lantik menjadi Rasullullah, hanya agama islam yang dibawa oleh nabi muhammadlah ajaran paling sempurna. Dan tugas nabi isa sebagai rasul telahpun berakhir pada zaman dia untuk bani israel dan setelah nabi muhammad dilantik menjadi rasul sesuai dengan kata nabi muhammad setiap kaum telah diutuskan seorang rasul dan aku diutuskan untuk seluruh umat manusia.
        Tapi Isa tetap lah darjatnya seorang nabi disisi Allah dan disisi islam walaupun ia kemudiannya menjadi pengikut nabi muhammad kerana kita yakin nabi muhammad penutup kenabian dan penghulu segala nabi dan rasul. kerana itu sejak nabi adam sehingga nabi isa semuanya telah bersyahadat mengakui kerasulan nabi muhammad dan islam sebagai agama yang benar walaupun nabi muhammad belum dilahirkan kerana semua nabi mengetahui ruh nabi muhammad telah pun wujud dan para nabi terdahulu sudahpun diberitakan tentang kedatangan nabi muhammad sebagai rasul terakhir melalui kitab mereka supaya ummat mereka akan mengikut ajaran nabi muhammad jika keturunan mereka sempat hidup kehari ini.
        Hanya orang yahudi meyakini nabi isa telah mereka bunuh walaupun ada sebahagian yang meragui siapa yang mereka salib itu sebagaimana yang saudara nyatakan, Allah menyerupakan orang lain seakan nabi isa ketika disalib. Kerana itulah rabbai mereka bersama gereja Romawi menyelewengkan kitab injil dengan memalsukan peristiwa penyaliban nabi isa dan menghalalkan pembunuhan orang yang disangka nabi isa sebagai menebus dosa manusia untuk menutup keburukan yang telah mereka lakukan dan kerana merasa malu takut fitnah yang mereka lemparkan kepada nabi isa diketahui oleh orang awam. mereka sangat membenci nabi isa dan ajaran yang dibawa oleh nabi isa sehingga menyesatkan baginda. Sedangkan ajaran nabi musa dan kitab taurat telahpun mereka selewengkan demi menghalalkan cara hidup mereka yang semakin jauh dari ajaran nabi musa yang sebenar.
        Malah mereka menyombongkan diri dengan membunuh nabi lain seperti nabi Yahya. Kerana itulah Allah akan mendatangkan semula nabi Isa sebagai tanda kekuasaannya dan akan menghancurkan mereka sebelum hari kiamat sehancur-hancurnya sehingga tak ada sisapun keturunan yahudi yang tinggal kecuali sedikit saja yang beriman kepada Allah dan mengikut ajaran islam yang dibawa oleh nabi muhammad.
        Jadi permasalahan nabi isa masih hidup dan diangkat ke langit bagi Allah bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kuasa Allah dan kehendak Allah melebihi segalanya. Kerana pengangkatan dan kembalinya semula nabi isa ada lah tanda islam ajaran yang benar. Hanya dengan Kun Fayukun, Allah akan melaksanakan segala yang dikehendakinya. Sunnatullahnya Nabi isa tetap akan mati walaupun ajalnya ditangguhkan sebagaimana iblis dan para malaikat juga akan menemui ajal mereka dihari kiamat. Wallahu Alam.

        Like

  2. Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: Akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya) dan sesiapa yang Dia kehendaki: Akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.
    Surah AlAn’aam. Ayat 039.

    Like

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.