Penjenayah Siber – Sebuah Cerpen Hasmini

Oleh Norhasmini Che Wil
hasminichewil@gmail.com

‘Aku bencikan manusia yang menggunakan undang-undang untuk memanipulasi orang lain. Kerana undang-undang, papa aku terpenjara di tirai besi. Kerana jenayah orang lain, papa aku yang menjadi mangsa. Aku kehilangan papa dan mama sekali gus. Maka, aku Ali Fattah selaku waris tunggal Datuk Asran akan membalas dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab atas penderitaan papa dan mama aku. Mangsa aku yang seterusnya adalah seorang perempuan yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku, Fatma Hanim…….’

Kata Kak Diya, dia mesti bangkit. Dia tidak boleh kalah pada emosi. Tidak jua pada ketakutan. Dia harus maju ke depan dengan berani. Selangkah demi selangkah. Cabaran perlu ditempuh. Bukan untuk dielak.

“Fatma, kau tak nak keluar malam ni? Pergi downtown, nak tak?” soal Laila, menyiku Fatma yang masih ralit menyiapkan kertas kerja.

“Aku banyak kerja.” Jawapan Fatma pendek. Fokusnya pada kertas kerja yang harus diselesaikan.
“Kau ni. Sampai bila nak jadi macam saintis? Terperuk dalam rumah je. Balik rumah, terus buat kerja. Tak ada life betul hidup kau ni. Tak bosan ke?” rungut Laila tidak puas hati.

“Aku tak lupa pesan kakak aku sebelum ni. Dia cakap kat aku, be a strong woman. Aku nak berpijak di bumi nyata, Ila. Kau tak faham. Kau tak lalui apa yang aku lalui.” Mata Fatma masih pada helaian kertas kerjanya.

“Nonsense. Kerana mamat bodoh tu, kau hukum diri kau macam ni?”

“Setahu aku orang yang terlibat dengan jenayah ni bukan orang bodoh. Boleh jadi kita yang bodoh kerana percayakan orang macam tu,” balas Fatma tegas.

“Yelah. Kau tu yang beria-ia nak kenal si hacker tak bertauliah tu. Hati kau yang sakit. Duit kau yang lebur.” Laila nampaknya masih menyimpan perasaan amarah terhadap Amar.

Fatma diam. Tangannya yang asyik bergerak sejak dari tadi terhenti seketika. Wajah Laila dipandang.

“Sebab aku bodoh, Ila. Kerana sayang, aku serahkan hati aku pada mamat tak guna tu. Tak sangka orang macam tu masih wujud kat dunia ni.”

“At least, dia pernah cakap dia sayangkan kau. Dia nak tinggalkan kerja tu demi kau. Dia nak berubah demi kau,” komen Laila.

“Tapi tak kan? Alih-alih dia tipu aku kan?”

“Aku nasihatkan kau dulu kau tak nak percaya cakap aku.” Laila berjauh hati. Dia sudah berbuih mulut memberi nasihat kepada Fatma namun temannya itu langsung tidak ambil kisah. Sudahnya, Fatma juga yang terluka.

Fatma mengeluh.

Terlalu sukar untuk mempercayai Amar adalah penjenayah siber yang menjadi buruan pihak berkuasa. Tetapi itulah fakta sebenar. Dan Amar telah mengaku secara bulat-bulat kepadanya sebelum mereka memutuskan pertunangan. Nasib baik dia tidak perlu menjawab apa-apa dengan keluarganya.

Sejak Amar menjelaskan perkara sebenar tentang dirinya, Fatma tidak lagi menerima kunjungan lelaki itu lagi sama ada di pejabat atau di rumahnya. Amar telah lesap. Dan dia juga tidak mahu mengambil tahu. Perginya Amar, pergilah juga hati yang pernah memegang takhta cinta lelaki itu.

“Ops. Sorry.”

Mata Fatma terangkat apabila barang-barang yang dibelinya habis bertaburan di lantai simen gara-gara dirinya dilanggar seseorang.

“Buta ke?” jerkah Fatma benar-benar marah. Lelaki yang melanggarnya itu memandang kecut. Tidak sangka wanita bertudung labuh itu mempunyai mulut yang berbisa. Mana santunnya sebagai muslimah?

“Sorry. Saya betul-betul minta maaf. Saya nak cepat ni,” tutur lelaki itu dalam keadaan bersalah. Dia turut membongkokkan badannya, membantu Fatma mengutip barang-barang yang berserakan itu. Sesekali dia mencuri pandang wajah itu melalui kaca mata hitam yang dipakainya.

“Ada mata, buat apa? Jalan pakai lutut?” herdik Fatma lancang tanpa memikirkan di mana dia berada sekarang ini.

“Perempuan harus menjaga santunnya. Tak boleh mengeluarkan nada seperti ni. Jatuh martabat seorang muslimah macam awak.” Lelaki itu bersuara dengan nada sinis.

Teguran itu menyentap Fatma. Dia menentang wajah yang berhadapan dengannya itu.

“Buat apa kau sibuk tegur keperibadian aku? Kau ingat kau tu baik sangat ke? Kaum kau yang jadikan aku macam ni. Kau sama saja macam dia. Berlagak baik tapi tetap nak ambil kesempatan!” Fatma menghamburkan kata kesat. Dia tersenyum jengkel.

“At least, masih ada lelaki yang boleh dipercayai kan?” sangkal lelaki itu lembut.

Api tidak boleh dilawan dengan api. Parah jadinya. Ikutkan hati mahu sahaja dia membalas setiap herdikan perempuan yang berkata lancang itu.

“Depan perempuan baiklah korang tapi belakang perempuan….pijak semut pun tak mati. Kau nak menangkan kaum kau kan? Pergilah ajar semua kaum kau supaya berkelakuan baik!”

Fatma mendengus keras sebelum meninggalkan lelaki itu yang terkulat-kulat.
yahaya salim2
“Apa kena dengan perempuan tu?” bisik Ali Fattah perlahan sambil merenung langkah Fatma yang laju seperti kipas yang sedang berpusing itu. Namun senyuman tersungging di bibirnya. Mudah benar menjejaki peguam muda itu. Langkah pertama telah berjalan dengan lancar. Seterusnya adalah langkah kedua.

“Hai, Fatma. Muka masam tu kenapa?”

Teguran Laila mematikan niat Fatma untuk mengorak anak tangga. Dia menghela nafas panjang.

“Kenapa kau tanya? Aku kena langgar, Ila. Barang yang aku beli dah rosak. Aku nak minta ganti rugi tapi aku tak boleh nak kawal diri aku. Aku terus pergi macam tu je. Patutnya aku minta dia bayar balik segala kerugian yang aku tanggung. Kenapa bila aku cuba nak hadapi cabaran yang datang, aku juga yang rasa sakit? Aku yang rasa marah?”

“Kau yang tak pandai kawal emosi kau. Cuba relax and chill. Jangan bagi emosi kau tu menguasai kau, Fatma,” nasihat Laila kepada teman serumah merangkap juniornya di universiti dulu.

Sejak cintanya dikhianati Amar, temannya itu seolah-olah menghukum diri sendiri.

Fatma mengeluh berat. “Entahlah. Aku masih sakit hati, Ila. Sakit sangat sampai aku nak marahkan semua orang.”

“Fatma, nasihat aku satu je. Jangan menangkan sangat emosi kau tu. Kau juga yang merana nanti.”

Fatma sekadar angguk biarpun dia dapat merasakan hatinya belum mampu mengatasi rasa sakit.

“Anyway, yang langgar kau tu perempuan ke lelaki?” Laila bertanya.

“Lelaki. Dahlah. Malaslah nak cerita lagi. Buat sakit hati aku je. Apa gunanya maaf kalau hati aku masih menggelegak ni?” Fatma terus mengorak anak tangga. Laila hanya menjungkit bahu. Orang sedang hangin satu badan jangan ditegur.

“Lelaki. Dahlah. Malaslah nak cerita lagi. Buat sakit hati aku je. Apa gunanya maaf kalau hati aku masih menggelegak ni?”

“Eh, awak ni yang hari tu kan?”

Fatma menoleh pantas ke arah suara yang menegurnya. Lelaki itu! Kenapa nasibnya malang hari ini? Dipertemukan pula dengan lelaki yang telah membuat dirinya kerugian besar tempoh hari.

“Dah lupa yang saya langgar awak hari tu?” Ali Fattah mengingatkan insiden yang berlaku tempoh hari.

“Oh, kau yang langgar aku hari tu kan? Apa hal? Nak minta maaf lagi? Ke nak bayar ganti rugi?” soal Fatma bertubi-tubi dengan dingin.

“Saya….Aku Ali Fattah. Aku minta maaf pasal hari tu. Kau masih marah pasal hari tu?”

Fatma senyum sinis. “Soalan apa yang kau tanya aku ni? Marah ke tak, tak ada kaitan apa-apa dengan kau. Kau tak payah nak sibuk sangatlah,” ujarnya masih dingin.

“Cik Fatma Hanim…”

Gadis itu tersentak. Itu nama penuhnya. Bagaimana lelaki itu tahu? Dan lelaki itu siapa sebenarnya?

“Kau siapa? Macam mana kau kenal nama aku?” soal Fatma mula rasa cuak. Lelaki itu tidak dikenalinya tetapi lelaki itu tahu namanya? Satu perkara yang pelik!

“Aku Ali Fattah Datuk Asran. Dan kerja aku….Aku tak ada kerja.” Selamba sahaja Ali Fattah memperkenalkan dirinya. Setakat ini dia masih belum memiliki sebarang pekerjaan tetap kerana perniagaan arwah Datuk sedang diuruskan oleh Uncle Raza. Dia lebih suka orang lain mengenali dirinya sebagai orang biasa. Baginya harta kekayaan hanyalah pinjaman sementara sahaja. Bila-bila masa saja boleh dirampas pergi!

Fatma melopong. Ali Fattah? Anak kepada Datuk Asran yang dituduh menyeleweng wang berjuta-juta lima tahun yang lalu?

“Apa kau nak? Aku dah tak ada kaitan dengan semua tu,” soal Fatma dalam dia cuba mengusir rasa takut yang bertandang.

Ali Fattah tersenyum sinis. Nyata lebih sinis dari senyuman Fatma. Mudahlah kerjanya nanti. Nama Datuk Asran akan dibersihkan oleh perempuan itu sendiri. Perempuan yang telah menyebabkan papanya terkurung di dalam tirai besi!

“Tak ada kaitan? Tapi kau yang menang kes tu. Kau yang sumbat papa aku masuk penjara! Lima tahun aku tunggu saat ni! Lima tahun mama aku menderita sakit dan meninggal macam tu je! Semuanya sebab kau!

Kalau kau tak menangkan anak guam kau yang nyata bersalah tu, papa aku takkan meringkuk dalam penjara dan mati macam tu!” Suara Ali Fattah hampir seakan menjerit. Nasib baik mereka berada di kawasan yang terlindung daripada orang ramai.

Fatma telan liur yang dirasakan kelat.

“Jadi kau nak aku buat apa, Ali Fattah? Kes tu dah lama dah. Dan aku hanya jalankan tugas aku sebagai lawyer.”

“Kau makan duit haram, Fatma Hanim. Orang yang bersalah terlepas, sedangkan orang yang tak bersalah dah tak ada. Kau tak rasa bersalah ke?”

“Apa yang boleh aku buat lagi?”

“Senang je. Hapuskan Datuk Marzuki untuk aku.”

“Hah? Aku dah tak ada kaitan dengan Datuk Marzuki. Lima tahun dah kes tu berlalu. Kau nak aku hapuskan dia untuk kau?” Nada suara Fatma benar-benar terkejut dengan permintaan lelaki itu. Bagaimana dia mampu menghapuskan orang sudah tidak punya kaitan dengan dirinya? Sudah lima tahun kes itu selesai.

Datuk Marzuki juga telah hilang entah ke mana. Ali Fattah mahu dia menjatuhkan seseorang yang sudah hilang jejak khabar?

Ali Fattah menganggukkan kepala. Memang itu niat sebenarnya. Berpura-pura melanggar Fatma kemudian meminta perempuan itu melakukan sesuatu untuknya. Sebaik semuanya terlaksana seperti perancangan awalnya, Fatma akan ditawarkan dua perkara.

“Nonsense.”

“Apa yang mengarutnya, Fatma?”

Fatma mengangkat wajah. Memandang Laila dengan penuh serba-salah. Sekali lagi dia terlibat dalam perkara yang tidak baik. Dulu Datuk Marzuki. Kemudian, Amar. Dan kini
dia melakukannya untuk seorang lelaki bernama Ali Fattah. Waris perniagaan arwah Datuk Asran!

“Ila, kalau aku tolong seseorang buat benda tak baik untuk kebaikan semua, adakah aku dikira bersubahat?” Fatma meminta pandangan daripada Laila. Laila lebih arif dalam perkara yang berkaitan undang-undang berbanding dirinya.

“Kau cakap apa ni, Fatma? Jangan kau cakap kau nak tolong seseorang balas dendam?” Wajah Laila berubah.

“Aku just tanya. Minta pendapat kau. Sebagai pakar dalam law, kau rasa kalau aku terlibat dengan benda macam tu untuk protect diri aku, aku boleh didakwa ke?”

“Kau seorang lawyer. Takkan tu pun kau tak tahu? Takkan kau nak langgar undang-undang pula? Apa yang kau nak buat sebenarnya ni?”

Fatma menggeleng. Biarlah ianya menjadi rahsia. Laila tidak boleh tahu. Ali Fattah mungkin tidak menyukai orang lain turut masuk campur apatah lagi seorang peguam cemerlang seperti Laila.

Seperti yang dijanjikan, Fatma mengatur pertemuan dengan Datuk Marzuki di sebuah restoran ekslusif VVIP. Hanya tiga meja sahaja yang tersedia untuk bilik VIP itu. Cepat benar Ali Fattah menjejaki keberadaan Datuk Marzuki. Fatma kagum dengan helah lelaki itu. Ali Fattah memang licik. Selicik Amar. Dia yang belajar tinggi pun boleh tertipu!

“You Fatma. Kenapa you nak jumpa I ni? I bukan anak guam you lagi kan?” Datuk Marzuki bersuara.

Matanya galak memerhatikan seraut wajah bersih milik Fatma. Wajah itu telah lama menjadi idamannya namun sikap Fatma yang begitu menjaga adab seorang perempuan menyukarkannya untuk memiliki hati peguam muda itu.

Fatma menghela nafas. Perakam suara yang berada di dalam tas tangan yang telah disediakan oleh Ali Fattah mula dihidupkan.

“Datuk, I rasa kes ni dah lama tapi I tetap nak tahu. You kan pernah jadi anak guam I. Tapi you tak nak share apa-apa ke dengan I?” Tutur bicaranya lebih berhati-hati. Bimbang Datuk Marzuki mengesyaki sesuatu.

“Share apa? You dah dapat duit you. You nak apa lagi? Kalau you nak something, I boleh bagi tapi dengan satu syarat. You mesti jadi perempuan I la.” Datuk Marzuki mengenyitkan matanya.

“Tak. Maksud I, you sebenarnya bukak bisnes apa ya? Yelah, you kaya. Punya kereta mewah. Sampai I jealous tengok kemewahan you. You tak nak kongsi apa-apa ke dengan I. I pun teringin nak punya harta banyak macam you. Boleh?”

Datuk Marzuki angkat kening. Dia terhidu sesuatu daripada cara percakapan perempuan muda itu. Perlahan dan penuh berhati-hati. Selama lima tahun Fatma hilang dari khidmat guamannya namun tiba-tiba perempuan itu mahu bersemuka dengannya pula. Dan lebih mengejutkan, Fatma bertanya tentang perniagaan yang diusahakannya selama ini. Penuh lembut dan dia boleh nampak Fatma sedang menggunakan kuasa wanita untuk menundukkan lelaki tua sepertinya. Tersilap langkah, dia juga yang akan tersungkur nanti. Maka, dia harus berlakon di depan peguam muda itu. Sampai satu masa, Fatma yang bakal jatuh ke dalam jeratnya!

Senyuman terlukis di bibir tua Datuk Marzuki. “You serius ke nak jadi kaya macam I? Gaji you sebagai lawyer tak cukup ke? Senang cerita, jadi isteri I jelah. Amacam?”

“Datuk, sebenarnya I dah kahwin.”

Ekspresi wajah tua itu berubah mendadak. “Kahwin? Bila?” soalnya ingin tahu. Sayang benar umpannya terlepas!

“Dua tahun lepas. Suami I, Ali Fattah Datuk Asran. You ingat kan arwah Datuk Asran? I nikah dengan anak dialah.”

“Oh, jadi kau datang ni sebab nak balas dendam untuk lelaki tu?” tebak Datuk Marzuki mula takut.

Rahsianya hampir terbongkar gara-gara terbuai dengan tutur bicara manis si Fatma Hanim itu. Nada bicaranya juga sudah berubah kasar.

“Datuk, you tak buat salah kan? Kenapa you harus takut? Dan I nak balas dendam buat apa? Bukan you yang ambil duit berjuta-juta tu kan?” Fatma masih menjalankan ‘permainan’ yang hampir terlaksana itu.

Sedikit masa lagi pasti Datuk Marzuki tersungkur jua! Bodohnya dia kerana berkeras membela lelaki pesalah itu sehinggakan menyebabkan pihak lawan yang nyata tidak bersalah menderita di dalam penjara. Bodohnya dia kerana mempercayai saksi dan bukti palsu yang dikemukakan Datuk Marzuki. Kebenaran telah terungkai. Dia sudah tahu siapa yang bersalah. Dokumen lama yang masih tersimpan di biliknya telah membongkarkan segala-galanya.

“Tak! Aku tak takut! Ali Fattah tak mampu takutkan aku! Dia tak ada bukti untuk dakwa aku. Tak ada!” Datuk Marzuki menggelengkan kepalanya berulang kali bagi menidakkan kenyataan bahawa dirinya yang bersalah.

Dan pada saat itu juga Ali Fattah menghampiri Datuk Marzuki. Sejak dari tadi lagi gelagat lelaki tua itu menjadi perhatian dan pengawasannya. Dia berpura-pura sebagai seorang pelanggan di salah sebuah meja yang tidak jauh dari Datuk Marzuki.

Tambahan pula, Datuk Marzuki tidak mengenali wajahnya. Kerjanya menjadi semakin mudah apabila Datuk Marzuki meledakkan rasa takutnya. Cukup untuk membuktikan lelaki itu yang bersalah untuk kes lima tahun yang lepas.

“Aku dah ada bukti, Datuk Marzuki. Cukup untuk aku sumbat kau dalam lokap. Aku nak kau mati dengan terseksa sepertimana kau biarkan arwah papa aku menderita!” Keras bicara penuh benci dari mulut Ali Fattah. Dia menyebak rambutnya yang dibiarkan terurai di bahagian dahi sebelah kanan bagi memperkenalkan wajah pewaris Asran Holding.

Datuk Marzuki membulatkan matanya. Memandang wajah pewaris tunggal Asran Holding. Wajah itu benar-benar mewarisi wajah arwah Datuk Asran! Berkulit sedikit cerah dan mempunyai tahi lalat di hujung kening sebelah kanan. Hampir seratus peratus wajah itu seperti Datuk Asran versi muda.

Tubuhnya mula menggigil apabila Fatma mengangkat tangan, menunjukkan perakam suara yang telah berjaya merekod setiap perbualannya dengan lelaki miang itu tanpa sebarang gangguan.

“Kau! Kau bangsat! Kau tolong aku lepaskan diri tapi akhinya kau khianati aku! Kau perempuan bangsat!” Datuk Marzuki meraung marah sambil cuba mendekati tubuh Fatma. Hampi sahaja tangannya mencecah pipi perempuan itu, tangannya terlebih dahulu dicengkam kuat oleh tangan Ali Fattah.

“Datuk, kita jumpa di court. Jika lima tahun lepas kau bebas atas pertolongan peguam bela Fatma Hanim, tapi kali ni kau akan masuk lokap dengan bantuan peguam yang sama.”

Pegangan Ali Fattah pada pergelangan tangan Datuk Marzuki terlerai. Dia melirik Fatma.

‘Well done, Fatma Hanim!’ Perempuan itu menyisipkan senyuman manis. ‘Terima kasih, Ali Fattah. Kau dah bantu aku untuk hilangkan rasa bersalah yang aku tanggung selama ini.’

Datuk Marzuki terduduk. Wajahnya diraup lemah. Hilang. Dia bakal kehilangan segala-galanya. Harta yang bertimbun kini bakal lenyap sekelip mata!

Perbicaraan berjalan dengan lancar. Dengan bukti yang kukuh, akhirnya Datuk Marzuki disabitkan bersalah di mahkamah. Dan beliau sendiri mengaku bersalah atas tuduhan palsu terhadap arwah Datuk Asran. Siapa sangka Datuk Marzuki yang selalu bersedekah dan menghulurkan sumbangan untuk orang lain terlibat dalam perkara sedemikian? Niat tidak menghalalkan cara. Kerana tamak, Datuk Marzuki kehilangan apa yang pernah menjadi miliknya sebelum ini.

“Kau dah tolong aku, Fatma. Tapi aku takkan berterima kasih pada kau walaupun aku berjaya bersihkan nama arwah papa aku dengan bantuan kau. Aku anggap itu memang tanggungjawab kau setelah apa yang terjadi lima tahun lepas,” tutur Ali Fattah tanpa memandang Fatma. Matanya asyik melatari keindahan ciptaan Allah S.W.T di kaki langit.

Fatma menggenggam tangannya yang kedinginan. Malam ini agak sejuk daripada kebiasaannya. Angin bertiup perlahan menyapa tudung labuhnya.

“Aku minta maaf. Kerana aku buta hati, aku biarkan arwah Datuk Asran masuk penjara. Aku biarkan arwah menderita. Maafkan aku. Selama lima tahun hidup aku tidak tenang. Aku seperti seorang pesalah. Baru aku sedar, rupanya aku telah berbuat salah pada orang yang tak sepatutnya. Kalaulah arwah Datuk Asran masih ada, aku benar-benar nak minta maaf dengan dia. Tapi itu dah terlambat kan? Aku berterima kasih pada kau, Ali Fattah sebab kau dah bebaskan aku dari rasa bersalah aku ni.”

Ali Fattah menjeling sekilas gadis itu. Dia tidak mampu lagi menghukum Fatma. Dia bukan Tuhan. Dia hanya manusia biasa. Lazimlah manusia berbuat salah dalam hidup ini.

“Aku pernah cakap pada diri aku. Orang yang bertanggungjawab atas penderitaan arwah papa aku harus terhukum di tangan aku tapi sekarang aku fikir aku tak layak nak hukum kau atas apa yang dah berlaku. Kau dah bebas dari game aku, Fatma.”

Fatma menoleh ke sisi. Ali Fattah turut berbuat demikian. Mereka saling bertatapan.

“Ali Fattah, aku minta maaf. Dan terima kasih sebab sudi maafkan aku,” ujar Fatma dalam nada penuh kesyukuran.

Ali Fattah mencebik. “Aku tak cakap aku maafkan kau, wahai Cik Fatma Hanim. Aku just cakap aku tak nak hukum kau. I’m not a God. Itu je. Jangan nak salah faham pulak,” tukasnya selamba. Tangannya dimasukkan ke dalam poket jeannya.

“Tak apa. Aku kira kau maafkan aku la tu,” balas Fatma seraya meraup wajah. Syukur lelaki itu tidak menyimpan sebarang dendam terhadapnya.
images13
Ali Fattah melarikan pandangan. Dua perkara yang harus ditawarkan kepada Fatma sementelah tugas perempuan itu selesai terkubur begitu sahaja. Dia tidak berhak. Biarlah ianya menjadi rahsia antara tubuhnya dengan jiwanya.

“Lepas ni kau nak buat apa?” soal Fatma sekadar ingin tahu.

Ali Fattah menjungkit bahu. “Entah. Maybe aku akan jelajah satu dunia ni kut. Lagi pun, business is not my passion,” jawabnya bersahaja. Dia tidak berminat untuk menyambung dunia perniagaan arwah Datuk Asran. Sebenarnya menjadi pengembara adalah perancangannya sebelum ini. Tetapi jika menjelajah satu dunia tanpa teman seperti naik perahu bersendirian. Boring!

“Aku doakan kau dapat kebahagiaan kau, Ali Fattah,” ucap Fatma seraya senyum.

Lelaki itu menghela nafas kemudian mengalihkan pandangan. Matanya pada wajah Fatma. Bibirnya buat kesekian kalinya mengulum senyum. Tetapi senyuman yang penuh dingin dan kepuraan semata-mata.

“Berangan!”
Fatma terpisat-pisat. Ada pula Laila cakap dia berangan. Padahal dia masih memikirkan tentang rancangan percutiannya ke Jakarta. Seronoknya! Dia ingin merehatkan minda daripada kekangan kes-kes yang telah selesai. Ini masa untuknya bergembira dan melepaskan tekanan kerja. Have fun!
“Aku tak berangan, okey? Aku dok fikir kat mana aku nak shopping nanti. Kau jangan jealous, kawan!” Fatma menayangkan sengihnya. Teruja sangat-sangat!

Laila mencebir bibir. “Tak ada maknanya aku nak jealous. Nanti belikan buah tangan untuk aku tahu. Kau pergi dengan siapa nanti?”

“Sorang,” jawab Fatma sepatah.

“Eh, bukan berdua ke?”

Kening Fatma bertaut. “Huh?”

“Pergi tengok kat luar rumah siapa yang tunggu kau tu,” arah Laila sebelum berlalu ke dapur. Di hujung bibir dia mengukir senyum. ‘Bertuahlah kau, Fatma ada orang nak temankan hati kering-kontang kau tu!’

“Eh, Ali? Kau buat apa kat depan rumah aku ni? Macam mana kau tahu rumah aku ni?” soal Fatma agak terkejut dengan kewujudan Ali Fattah di depan rumahnya. Tiba-tiba pula tu!

“Fatma, jom!” pelawa Ali Fattah tiba-tiba. Dia menunjukkan passport berwarna merah di tangannya.
“Jom?” Lagi Fatma tidak mengerti. “Ke mana? Bukan ke kau nak pergi jelajah satu dunia ke?”
“Betullah tu. Tapi aku nak pergi dengan kau. Boleh?” Ali Fattah senyum kosong.

“Hishh… Mana boleh. Kau bukannya ada apa-apa pun dengan aku. Tak baik tahu?” Fatma menggelengkan kepalanya. Berasa curiga dengan ajakan bersahaja lelaki itu. Pelik.

“Kalau macam tu, daripada tak ada apa-apa, kita ada-adakan la? Boleh?”

Fatma senyum. Lelaki ini. Pandai pula dia melawak.

“Lawak ke apa ni?”

“Hey, aku serius ni. Aku rasa menjelajah dengan teman lagi syok. Tak adalah bosan. Betul tak? Kita pergi sama-sama ya?”

“Macam mana kau tahu aku nak pergi bercuti ni?”

Ali Fattah menjungkit kedua-dua bahu. “Instinct kut.” Dia ketawa lepas.

“Pelik. Tapi tak boleh la. Kau bukan mahram aku. Tak boleh. Tak boleh.” Kepalanya digeleng lagi.

“Kau bukak pintu pagar ni kejap. Ada benda aku nak kasi kat kau,” arah Ali Fattah lembut. Fatma sekadar menurut.

“Nah. Aku tak pandai bab bagi something kat orang perempuan ni tapi aku harap something yang aku bagi kau ni kau balas aku dengan something yang boleh bahagiakan aku. Aku tunggu tau!” ‘Sesuatu’ yang menjadi rahsia itu bertukar tangan.

“Eh, kejap!” panggil Fatma apabila lelaki itu mula membuka pintu keretanya. Namun, Ali Fattah sekadar mengangkat tangan sebelum memandu pergi.

“Apa ni?” soal Fatma hairan tatkala balutan ‘sesuatu’ itu dibuka. Dia membuntangkan mata.

“Wah, cincin! Dia lamar kau erk?” Laila pula yang terlebih teruja.

Fatma senyum. “Ya kut.”

“Untunglah orang tu,” perli Laila sebelum ketawa halus. Bahunya ditampar perlahan oleh Fatma.

“Banyaklah kau untung. Tapi macam mana dia boleh hendakkan aku ni? Dahlah tu, propose aku macam ni. Tak romantik langsung. Huh.”

“Ali Fattah tu anak saudara aku. Aku yang recommend kau kat dia.” Ketawa Laila lepas sekali lagi.

Jadi, kemungkinan Laila juga tahu tentang ‘permainannya’ sebelum ini?

“Huh?”

Laila senyum.

Biarlah ianya menjadi rahsia antara dirinya dengan Ali Fattah. Sepertimana ianya menjadi rahsia bagi kes lima tahun yang lepas. Dia tidak layak menghukum. Fatma melakukannya kerana tugas. Kuasa menghukum bukan di tangan dia mahupun di tangan Ali Fattah. Biarlah menjadi rahsia Allah S.W.T. Dia lebih tahu.
Aku tak kenal cinta apatah lagi reti bercinta. Tapi setelah mengenal dirinya, aku sedar tak selamanya hati aku boleh membenci dirinya. Tak selamanya hati aku tak tergugat dengan kehadirannya. Dia yang membawa aku sengsara tapi dia juga mendatangkan rasa aneh yang luar biasa untukku. So, apa kata kita pergi menjelajah dunia ni dengan gelaran pengantin baru, Cik Fatma Hanim?-Ali Fattah.

“Oh Allah. Ali Fattah ni sengal jugak ya?” Fatma senyum sebelum jarinya disarungkan cincin lamaran lelaki itu. Kad yang menjadi coretan lelaki itu disimpan. Laila tersenyum bahagia.

Berbahagialah, kawan.

end.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.