Antara Rakyat, Warga dan Pembayar Cukai

people1


DALAM satu postingnya di FB, seorang teman secara halus menyindir kumpulan tertentu (yang besar jumlahnya) kerana sering menggunakan istilah rakyat apabila merujuk kepada warga Malaysia. Katanya, rakyat adalah istilah yang hanya layak digunakan oleh raja kepada rakyatnya. Sekalipun, seseorang itu seorang pemimpin, tetapi

berbanding dengan raja, dia masih berstatus rakyat. Komunikasi sepatutnya masih antara rakyat sesama rakyat, cumanya beliau seorang pemimpin, maka ianya akan menjadi komunikasi antara pemimpin dengan warga, bukannya pemimpin dengan rakyat.

Hal ini amat jelas dilanggar sehinggakan dalam sebuah rancangan di TV1 minggu lepas berkenaan RTC di Kelantan, pegawai FAMA yang menjadi jurucakap kepada program tersebut pun merujuk penjual dan pembeli di RTC Tunjung itu sebagai ‘rakyat’. Ini sudah berlebih, kerana pegawai kerajaan sepatutnya hanya seorang hamba raja. Dalam bahasa Inggeris disebut civil servant. Servant bermakna orang suruhan dalam bahasa Melayu, disebut babu atau jongos dalam bahasa Indonesia. Tidak lebih dan tidak kurang.
Bukan sengaja istilah rakyat dicipta. Ia berada dalam konteks sejarah tertentu, bilamana British datang dan melonggarkan makna rakyat sedikit demi sedikit daripada rakyat kepada raja kepada ‘rakyat’ kepada pemimpin dalam sebuah Negara demokrasi. Namun, sudah menjadi kebiasaan sejak dini, pemimpin yang bukan raja menggunakan istilah rakyat. Istilah warga atau warganegara hanya ada dalam kad pengenalan dan sijil mati.
Parti-parti politik pula, menggunakan istilah rakyat dengan sangat leluasa. Mereka meletakkan istilah kuasa rakyat, perhimpunan rakyat, kesemuanya untuk rakyat seolah-olah rakyat adalah istilah keramat, yang suci. Manakala kumpulan yang lain meletakkan slogan rakyat diutamakan, masih lagi bermain dengan rakyat. Sebab itulah dalam mana-mana majlis, maka terdapat status yang sangat khusus antara dua kumpulan ini. Sangat jelas, di mana jika sekiranya pemimpin dilihat makan nasi berlauk, duduk bersila bersama ‘rakyat’ maka itu menandakan pemimpin itu seorang yang humble dan boleh turun ke bawah bersama-sama rakyat jembel.
Di Amerika serta Negara-negara maju yang lain, pemimpin mereka menggunakan istilah people yang seringkali bertukar ganti dengan taxpayer atau pembayar cukai. Itu pun dilakukan dengan sengaja. Orang Amerika memahaminya bukan sebagaimana kefahaman rakyat dan pemimpin kita memahaminya. People difahami sebagai warga, bukan rakyat. Istilah warga member makna yang bersifat lebih individu, manakala rakyat lebih bersifat perangkaan.
Warga lebih meletakkan tanggungjawab kepada individu sesebuah Negara, manakala rakyat meletakkan tanggungjawab yang amat besar kepada pemimpin untuk menjaga hal ehwal dan kebajikan ‘rakyat’. Mudahnya, warga bersifat individu, manakala rakyat akan berbunyi statistik yang kurang menyentuh sifat-sifat individu, berjurang, rendah dan sangat ramai. Dengan itu juga terciptanya istilah rakyat jelata. Dr Bakri Musa memberikan perspektif yang agak mudah dalam memahami interaksi warga dengan Negara dalam konteks Negara maju iaitu lebih ramai kumpulan yang menyumbang berbanding kumpulan penerima.
Kemuncak antara ketiga-tiga istilah itu ialah pembayar cukai yang bermakna warganegara yang bertanggungjawab penuh dan menganganggap servis yang mereka dapati dari Negara bukannya percuma. Kesemua perbelanjaan Negara hasil dari cukai terhadap warga disalurkan kepada perkhidmatan tertentu yang akan dianggap sebagai timbal balas kerajaan terhadap pembayar cukai. Dengan itu pembayar cukai, yang mendapat perkhidmatan dari Negara akan menilai setiap sen yang dibayar itu berbaloi dengan servis yang mereka perolehi dari Negara. Misalnya perkhidmatan keselamatan, adakah dengan cukai yang dibayar itu membolehkan mereka mendapat jaminan bahawa mereka akan benar-benar selamat. Perkhidmatan yang diberikan mencapai tahap kecekapan yang diharap oleh pembayar cukai. Begitu juga dengan perkhidmatan yang lain adakah mampu disampaikan dengan cekap dan memuaskan.
Pembayar cukai juga akan lebih mempunyai kuasa mendesak sekiranya perkhidmatan yang mereka peroleh tidak memuaskan. Selain itu, mereka akan menuntut ketelusan yang lebih tinggi sekiranya mereka merasakan sesuatu yang dilakukan pihak pengutip cukai (kerajaan) mendatangkan syak bahawa terdapat sesuatu yang dilakukan dengan tidak melalui peraturan yang sepatutnya.
Malaysia mungkin belum sampai ke tahap itu, namun kita sedang bergerak ke arahnya. Namun, nampaknya permainan istilah rakyat tidak bergerak sama. Kerajaan memerintah dan parti-parti pembangkang pun bergerak senada merebut undi ‘rakyat’ seakan-akan pemimpin parti pengganti kepada raja-raja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.